YouVersion Logo
Search Icon

AYUB 20

20
Zofar
1Kemudian Zofar menjawab,
2“Ayub, aku berasa tersinggung olehmu;
kini aku ingin segera memberikan jawapanku.
3Kata-katamu sungguh menghina,
tetapi aku tahu menjawabnya.
4Tentu engkau tahu bahawa sejak zaman purba,
sejak manusia mula-mula ditempatkan di bumi,
5kebahagiaan orang jahat tidak tahan lama;
kegembiraan orang derhaka seketika sahaja.
6Walaupun kebesaran mereka sampai ke angkasa,
sehingga kepala mereka sampai ke mega,
7namun mereka akan lenyap selama-lamanya,
menghilang dari dunia dengan cara yang terhina.
Orang yang telah mengenal mereka akan bertanya,
‘Ke mana mereka pergi?’
8Mereka akan hilang seperti mimpi,
lenyap seperti penglihatan pada malam hari.
9Mereka tidak lagi kelihatan;
mereka tiada lagi di tempat tinggal mereka.
10Anak-anak mereka akan mengganti apa sahaja
yang telah dicuri mereka daripada orang papa.
11Dahulu badan mereka muda dan perkasa,
tetapi mereka akan menjadi debu belaka.
12-13Kejahatan sungguh manis bagi mereka,
sehingga disimpan di dalam mulut untuk dinikmati mereka.
14Tetapi di dalam perut makanan itu menjadi pahit,
seperti racun yang mendatangkan maut.
15Mereka memuntahkan kekayaan yang telah dicuri mereka;
Allah mengeluarkannya bahkan dari dalam perut mereka.
16Apa yang ditelan orang jahat seperti racun yang membawa bencana;
mereka mati seperti dipatuk ular berbisa.
17Mereka tidak akan menikmati minyak zaitun yang berlimpah,
ataupun susu dan madu yang bertumpah-ruah.
18Mereka harus menyerahkan segala yang telah dikerjakan mereka;
mereka tidak berpeluang menikmati kekayaan mereka,
19sebab mereka telah menindas dan membiarkan orang miskin,
dan merampas rumah yang dibina orang lain.
20Ketamakan mereka tidak mengenal batas,
maka mereka tidak akan pernah puas.
21Apabila mereka makan, tidak pernah ada sisa,
tetapi, kini berakhirlah kemakmuran mereka.
22Pada puncak kejayaan mereka,
duka dan derita datang menimpa mereka.
23Semasa mereka makan segala yang dikehendaki mereka,
Allah akan menjadi murka dan menghukum mereka.
24Apabila mereka cuba mengelakkan diri daripada pedang besi,
panah gangsa akan melukakan mereka.
25Anak panah menembusi badan mereka;
hujung panah yang berkilat menitiskan darah mereka,
dan ketakutan akan mencengkam hati mereka.
26Segala yang telah dikumpulkan mereka musnah;
api yang tidak dinyalakan tangan manusia
membakar mereka serta semua keluarga mereka.
27Langit menyatakan dosa mereka,
dan bumi bangkit melawan mereka.
28Segala kekayaan mereka akan musnah
kerana dilanda kemurkaan Allah.
29Begitulah kesudahan orang yang durjana,
kesudahan yang ditentukan Allah bagi mereka.”

Currently Selected:

AYUB 20: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in