YOHANES 14:25-31
YOHANES 14:25-31 BM
Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu. Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu. Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut. Kamu sudah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan kembali kepada kamu.’ Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan bersukacita kerana Aku pergi kepada Bapa, oleh sebab Bapa lebih besar daripada Aku. Demikianlah Aku memberitahukan semua ini kepada kamu sekarang, sebelum semuanya berlaku, supaya apabila berlaku kelak, kamu akan percaya kepada-Ku. Aku tidak boleh berkata-kata lebih lama lagi dengan kamu, kerana sudah tiba masanya penguasa dunia ini datang. Dia tidak berkuasa atas diri-Ku. Tetapi Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Marilah kita pergi dari sini.”