YouVersion Logo
Search Icon

YEREMIA 8

8
1Pada masa itu tulang-tulang para raja dan pegawai pemerintah di Yehuda, dan juga tulang-tulang para imam, nabi, serta penduduk Yerusalem yang lain akan dikeluarkan dari kubur. 2Tujuannya bukan untuk dikumpulkan dan dikuburkan lagi, melainkan untuk dibiarkan di tanah sebagai baja. Tulang-tulang mereka akan bertaburan di bawah sinaran matahari, bulan, dan bintang-bintang yang dicintai, dilayani, disembah dan dimintai petunjuk oleh mereka. 3Orang daripada bangsa jahat ini yang masih hidup, yang telah Kucerai-beraikan ke berbagai-bagai tempat, akan lebih suka mati daripada hidup. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
Dosa dan Hukuman
4TUHAN menyuruh aku menyampaikan kata-kata ini kepada umat-Nya, “Apabila orang jatuh, tentu mereka akan bangun lagi. Apabila orang sesat di jalan, tentu mereka akan kembali ke pangkal jalan. 5Tetapi mengapa kamu, umat-Ku, terus-menerus meninggalkan Aku dan tidak kembali kepada-Ku? Kamu berpegang teguh kepada berhala kamu dan tidak mahu kembali kepada-Ku. 6Aku telah mendengar baik-baik, tetapi kamu tidak bercakap jujur. Tiada seorang pun antara kamu menyesali perbuatannya yang jahat. Tiada seorang pun yang berkata, ‘Apakah kesalahanku?’ Kamu semua mengikuti jalan sendiri seperti kuda meluru ke medan pertempuran. 7Burung bangau pun tahu waktunya untuk pulang; burung tekukur, burung layang-layang, dan burung murai juga tahu masanya untuk berpindah tempat. Tetapi kamu, umat-Ku, tidak mengetahui hukum yang Kuberikan kepada kamu. 8Berani betul kamu berkata bahawa kamu bijaksana dan mengetahui hukum-Ku! Lihatlah, hukum-Ku sudah diubah oleh guru-guru agama yang tidak jujur. 9Para cerdik pandai di kalangan kamu akan dipermalukan; mereka akan bingung dan terjebak. Mereka tidak mahu menerima firman-Ku; sekarang, kebijaksanaan apakah yang masih ada pada mereka? 10Oleh itu, Aku akan memberikan ladang mereka kepada pemilik yang baru, dan isteri mereka kepada orang lain. Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang. 11 Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi semuanya sama sekali tidak baik dan tidak aman. 12 Hai umat-Ku, adakah kamu malu kerana telah melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, kamu sama sekali tidak tahu malu; kamu sudah tebal muka! Oleh itu, kamu akan jatuh seperti orang lain; riwayat kamu akan tamat apabila Aku menghukum kamu. Aku, TUHAN telah berfirman.
13Aku ingin sekali mengumpulkan umat-Ku seperti orang mengumpulkan hasil tanah mereka. Tetapi umat-Ku seperti pokok anggur dan pokok ara yang tidak berbuah, bahkan daun-daunnya pun sudah layu. Itulah sebabnya Aku telah membenarkan orang bangsa asing datang dan menguasai negeri mereka.”
14Umat Allah berkata, “Mengapa kita tidak berbuat apa-apa? Marilah kita lari ke kota-kota berkubu; biarlah kita mati di sana. TUHAN, Allah kita telah mengambil keputusan untuk membiarkan kita binasa. Dia telah memberi kita racun untuk diminum kerana kita berdosa terhadap-Nya. 15Sia-sia sahaja kita mengharapkan kedamaian dan masa penyembuhan, kerana yang datang hanya ketakutan. 16Musuh sudah berada di kota Dan; dengus kuda mereka sudah kedengaran. Seluruh negeri ketakutan apabila kuda mereka meringkik. Musuh sudah datang untuk menghancurkan seluruh negeri kita, dan juga kota kita serta semua penduduknya.”
17TUHAN berfirman, “Perhatikanlah! Sekarang Aku mengirim ular ke tengah-tengah kamu untuk mematuk kamu, ular berbisa yang tidak dapat dipukau.”
Yeremia Sedih Memikirkan Bangsanya
18Hatiku sedih dan pedih,
kedukaanku tidak dapat diubati.
19Dengarlah! Di seluruh negeri
aku mendengar bangsaku berseru,
“Tiadakah TUHAN di Sion lagi?
Di manakah raja Sion kini?”
TUHAN, raja mereka menjawab,
“Mengapa kamu membangkitkan kemurkaan-Ku?
Aku murka kerana kamu menyembah berhala kamu
dan bersujud kepada dewa-dewa asing
yang sama sekali tidak berguna.”
20Umat Israel berseru,
“Musim panas dan musim menuai sudah berlalu,
tetapi kami belum diselamatkan.”
21Hatiku hancur kerana bangsaku hancur;
aku berkabung; aku sangat kecewa.
22Tiadakah ubat di Gilead?
Tiadakah doktor di sana?
Mengapakah bangsaku tidak sembuh?

Currently Selected:

YEREMIA 8: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in