YouVersion Logo
Search Icon

HAKIM-HAKIM 20

20
Umat Israel Bersedia untuk Berperang
1Segenap umat Israel dari Dan di sebelah utara, sampai ke Bersyeba di sebelah selatan, dan juga dari Gilead di sebelah timur, menyahut panggilan itu. Mereka berkumpul sebagai satu umat di hadapan TUHAN di Mizpa. 2Semuanya 400,000 orang askar bersenjata yang menjadi pasukan berjalan kaki. Para pemimpin daripada setiap suku Israel turut hadir di perhimpunan umat Allah itu. 3Sementara itu orang suku Benyamin mendengar bahawa segenap umat Israel yang lain telah berkumpul di Mizpa.
Umat Israel berkata, “Ceritakanlah bagaimana jenayah itu terjadi.” 4Orang Lewi yang gundiknya terbunuh itu menjawab, “Saya dengan gundik saya singgah dan bermalam di Gibea, di wilayah Benyamin. 5Tiba-tiba penduduk Gibea datang mencari saya pada waktu malam. Mereka mengepung rumah itu kerana hendak membunuh saya. Tetapi kemudian mereka memperkosa gundik saya sehingga dia meninggal. 6Saya mengambil mayatnya dan memotong-motongnya, lalu mengirimnya kepada dua belas suku Israel, masing-masing satu potong. Saya melakukan hal itu kerana orang Gibea telah melakukan perbuatan jahat dan memalukan di tengah-tengah umat Israel. 7Semua yang hadir di sini orang Israel. Sekarang, katakanlah apa yang harus kita lakukan.”
8Semua orang yang berkumpul di situ berdiri, lalu dengan serentak mereka berkata, “Tidak seorang pun daripada kita akan pulang ke khemah atau ke rumah. 9Inilah yang akan kita lakukan: Kita akan mengundi untuk menentukan orang yang harus menyerang Gibea. 10Sepuluh peratus daripada jumlah lelaki Israel harus menyediakan makanan untuk askar-askar yang pergi bertempur. Sedangkan yang lainnya harus menghukum Gibea kerana kejahatan yang telah dilakukan mereka antara umat Israel.” 11Demikianlah umat Israel bersatu untuk menyerang kota itu.
12Umat Israel mengutus beberapa orang ke seluruh wilayah Benyamin untuk menyampaikan berita ini, “Kejahatan apakah yang berlaku antara kamu? 13Serahkanlah semua orang yang sumbang laku dari Gibea itu supaya kami membunuh mereka dan membasmi kejahatan itu dari Israel.” Tetapi orang Benyamin tidak mempedulikan kata-kata umat Israel yang lain itu. 14Malah orang Benyamin datang ke Gibea dari semua kota Benyamin untuk memerangi umat Israel yang lain. 15-16Pada hari itu orang Benyamin mengumpulkan sebanyak 26,000 orang askar dari kota-kota mereka. Penduduk Gibea pula memilih 700 orang lelaki yang kidal. Tiap-tiap orang itu cekap menghumban batu dengan menggunakan penghumban. Jika mereka menghumban, tidak pernah meleset sedikit pun walau sehelai rambut. 17Pada pihak orang Israel lain, sebanyak 400,000 orang askar yang terlatih sudah berkumpul.
Berperang Menentang Suku Benyamin
18Umat Israel pergi ke tempat ibadat di Betel dan bertanya kepada Allah, “Suku manakah yang patut mula-mula menyerang orang Benyamin?”
TUHAN menjawab, “Suku Yehuda.”
19Umat Israel berangkat esok paginya dan berkhemah dekat kota Gibea. 20Mereka pergi menyerang tentera Benyamin, dan menempatkan angkatan perang berhadapan dengan kota itu. 21Tentera Benyamin keluar dari kota Gibea, lalu menyerang dan membunuh 22,000 orang askar Israel pada hari itu. 22-23Oleh sebab kekalahan itu, umat Israel pergi lagi ke tempat ibadat dan menangis di hadapan TUHAN sehingga malam. Mereka bertanya lagi kepada Allah, “Haruskah kami berperang lagi dengan orang Benyamin, saudara kami itu?”
TUHAN berfirman, “Ya.”
Oleh itu semangat orang Israel bangkit semula dan mereka mengatur barisan mereka seperti pada hari pertama. 24Mereka pergi menyerang tentera Benyamin untuk kali kedua. 25Untuk kali kedua pula orang Benyamin keluar dari Gibea lalu menyerang orang Israel. Kali ini mereka membunuh 18,000 orang askar Israel yang terlatih. 26Sekali lagi umat Israel pergi ke Betel dan menangis di hadapan TUHAN. Mereka berpuasa di sana sehingga malam. Mereka mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 27-28Pada masa itu Tabut Perjanjian Allah terletak di Betel, dan Pinehas anak Eleazar, cucu Harun bertugas sebagai imam. Kemudian umat Israel bertanya kepada TUHAN, “Haruskah kami berperang lagi dengan suku Benyamin, saudara kami itu? Atau haruskah kami menghentikan pertempuran ini?”
TUHAN menjawab, “Berperanglah! Esok Aku akan memberi kamu kemenangan atas mereka.”
29Setelah mendengar jawapan itu, umat Israel menempatkan askar-askar mereka di sekitar Gibea untuk menyerang hendap. 30Pada hari yang ketiga mereka menyerang tentera Benyamin, sambil mengatur barisan menghadap Gibea seperti yang dilakukan pada hari-hari sebelumnya. 31Orang Benyamin keluar untuk berperang dan mereka diumpan supaya menjauhi kota. Seperti yang sudah-sudah, mereka mula membunuh askar-askar Israel di kawasan terbuka di luar kota pada jalan yang menuju ke Betel dan Gibea. Mereka membunuh kira-kira tiga puluh orang Israel. 32Oleh itu orang Benyamin berkata, “Kami telah mengalahkan umat Israel seperti yang sudah-sudah.”
Padahal umat Israel sengaja mengundurkan diri untuk mengumpan askar-askar Benyamin ke jalan-jalan di luar kota. 33Apabila tentera umat Israel telah undur dan berkumpul semula di Baal-Tamar, askar-askar mereka yang ditempatkan di sekitar Gibea itu tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian di kawasan berbatu di sekeliling kota. 34Mereka itu askar yang terpilih dari seluruh Israel; jumlahnya 10,000 orang. Kemudian terjadilah satu pertempuran yang sengit ketika 10,000 orang itu menyerang Gibea. Orang Benyamin sama sekali tidak menyangka bahawa mereka tidak lama lagi akan kalah. 35TUHAN memberi umat Israel kemenangan atas tentera Benyamin. Pada hari itu umat Israel membunuh 25,100 orang askar Benyamin. 36Barulah orang Benyamin sedar bahawa mereka telah kalah.
Cara Orang Israel Menang
Sebahagian besar daripada tentera Israel dengan sengaja telah mengundurkan diri daripada tentera Benyamin. Mereka berharap kepada askar-askar di tempat-tempat persembunyian di sekitar Gibea. 37Askar-askar yang bersembunyi itu cepat-cepat masuk menyerang kota Gibea dan membunuh semua orang yang di dalam kota itu. 38Induk tentera telah bermuafakat dengan pasukan yang bersembunyi, bahawa apabila mereka nampak asap yang tebal naik dari kota itu, 39induk tentera harus berbalik dan menyerang musuh. Pada saat itu tentera Benyamin telah membunuh 30 orang askar Israel. Mereka berfikir, “Kami telah mengalahkan mereka seperti yang sudah-sudah.” 40Tetapi tiba-tiba asap yang tebal mengepul naik dari tengah-tengah kota itu. Orang Benyamin terperanjat apabila mereka menoleh ke belakang dan nampak seluruh kota mereka terbakar. 41Ketika itu juga tentera Israel balik menyerang mereka, lalu keadaan tentera Benyamin menjadi kacau-bilau. Mereka sedar bahawa mereka akan kalah. 42Mereka mengundurkan diri daripada tentera Israel lalu lari ke arah padang gurun tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan diri. Mereka dikepung oleh induk tentera Israel dan pasukan askar yang pada saat itu sedang keluar dari kota. Orang Benyamin menderita kekalahan yang amat teruk. 43Tentera Israel mengepung dan mengejar tentera Benyamin terus-menerus sampai ke suatu tempat di sebelah timur Gibea. Sambil mengejar, mereka membunuh 4418,000 orang askar Benyamin yang gagah perkasa. 45Tentera Benyamin yang lain balik lalu lari ke arah padang gurun, ke gunung-gunung batu di Rimon. Sebanyak 5,000 orang daripada mereka dibunuh di tengah jalan. Tentera Israel masih mengejar askar-askar Benyamin sampai ke Gidom dan 2,000 orang daripada mereka terbunuh. 46Sejumlah 25,000 orang askar Benyamin dibunuh pada hari itu, semuanya gagah berani.
47Tetapi 600 orang dapat melarikan diri ke padang gurun, ke gunung-gunung batu di Rimon. Mereka tinggal di sana selama empat bulan. 48Kemudian tentera Israel kembali lagi dan membunuh semua orang Benyamin yang lain - lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan binatang-binatang. Mereka membakar semua kota di daerah itu.

Currently Selected:

HAKIM-HAKIM 20: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in