YouVersion Logo
Search Icon

YAKOBUS 2

2
Amaran tentang Prasangka
1Saudara-saudaraku! Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus, Tuhan kita yang mulia, janganlah beza-bezakan orang berdasarkan hal-hal yang lahir. 2Andaikan dua orang datang ke pertemuan kamu, yang seorang kaya dan berpakaian indah serta memakai cincin emas; yang seorang lagi miskin dan memakai pakaian buruk. 3Dengan hormat kamu menyambut orang kaya itu dan berkata kepadanya, “Silakan duduk di tempat yang terbaik ini.” Tetapi kamu berkata kepada orang miskin itu, “Berdirilah di sana, atau duduk di lantai dekat kakiku.” 4Dengan perbuatan itu, kamu membeza-bezakan orang di kalangan kamu dan kamu menilai orang berdasarkan fikiran yang jahat.
5Ketahuilah, saudara-saudara yang aku kasihi! Allah sudah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati Pemerintahan Allah seperti yang sudah dijanjikan-Nya kepada mereka yang mengasihi Dia. 6Tetapi kamu menghina orang miskin, padahal orang kayalah yang menindas kamu dan yang menyeret kamu ke hadapan hakim. 7Merekalah yang menghina nama yang terhormat, yang kamu terima daripada Tuhan.
8 Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mengamalkan hukum Pemerintahan Allah yang tertulis di dalam Alkitab, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” 9Tetapi jika kamu memperlakukan orang berdasarkan hal-hal yang lahir, kamu berdosa, dan menurut Taurat, kamu telah melanggar hukum. 10Sesiapa yang melanggar salah satu perintah Taurat, melanggar seluruh Taurat. 11 Hal ini demikian, kerana Allah yang berfirman, “Janganlah berzina,” juga berfirman, “Janganlah membunuh.” Oleh itu, meskipun kamu tidak berzina, tetapi jika kamu membunuh, kamu telah melanggar hukum. 12Bercakaplah dan bertindaklah sebagai orang yang akan diadili oleh Allah menurut hukum yang membebaskan manusia. 13Hal itu demikian kerana pada masa Allah menghakimi manusia, Dia tidak akan mengasihani orang yang tidak berbelas kasihan. Tetapi orang yang berbelas kasihan tidak akan dihukum oleh Allah.
Iman dan Perbuatan
14Saudara-saudaraku! Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, “Saya beriman,” jika perbuatannya tidak membuktikan imannya. Iman semacam itu tidak dapat menyelamatkan dia. 15Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan. 16Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, “Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!” - jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya. 17Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia!
18Mungkin ada yang berkata, “Ada orang yang mempunyai iman, dan ada pula yang mengamalkan perbuatan baik.” Aku akan menjawab, “Tunjukkanlah seorang yang mempunyai iman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, lalu dengan perbuatanku yang baik, aku akan menunjukkan bahawa aku beriman.” 19Kamu percaya bahawa Allah hanya satu. Bagus! Roh-roh jahat pun percaya akan hal itu dan gementar kerana takut. 20Alangkah bodohnya kamu! Adakah perlu dibuktikan bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia? 21 Mengapakah Allah berkenan kepada nenek moyang kita Abraham? Allah berkenan kepada Abraham kerana perbuatan Abraham, iaitu mempersembahkan Ishak, anaknya di atas mazbah, sebagai persembahan kepada Allah. 22Kamu tidak nampakkah bahawa Abraham menunjukkan imannya dengan perbuatannya? Oleh itu, iman Abraham menjadi sempurna. 23 Perkara itu sesuai dengan ayat Alkitab, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana imannya Allah menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak Allah.” Itulah sebabnya Abraham disebut sahabat Allah. 24Jelaslah sekarang bahawa Allah berkenan kepada seseorang kerana perbuatan orang itu, dan bukan hanya kerana imannya.
25 Demikian juga halnya dengan Rahab, wanita pelacur itu. Allah berkenan kepada Rahab kerana perbuatannya. Rahab menyambut pengintip-pengintip Israel dan menolong mereka melarikan diri melalui jalan lain.
26Oleh itu, sebagaimana tubuh tanpa roh adalah tubuh yang mati, demikian juga iman tanpa perbuatan adalah iman yang sia-sia!

Currently Selected:

YAKOBUS 2: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in