YAKOBUS 1:12-25
YAKOBUS 1:12-25 BM
Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan. Apabila mereka berjaya mengatasi cubaan itu, mereka akan menerima pahala berupa kehidupan yang sudah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Allah.” Hal ini demikian kerana Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Allah sendiri tidak menggoda orang. Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian. Janganlah kamu tertipu, saudara-saudara yang aku kasihi! Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun. Dengan kehendak-Nya sendiri Dia menjadikan kita melalui firman-Nya yang benar. Itulah sebabnya kita mendapat kedudukan yang utama antara semua makhluk ciptaan-Nya. Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, buanglah segala kebiasaan buruk dan kelakuan yang jahat. Berserahlah kepada Allah dan terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu, kerana firman itu dapat menyelamatkan kamu. Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya. Sebaliknya, lakukanlah apa yang difirmankan-Nya. Seseorang yang mendengar firman Allah tetapi tidak melakukannya, adalah seperti seorang yang melihat dirinya sendiri di depan cermin. Dia menatap dirinya baik-baik, lalu pergi dan langsung lupa akan rupanya. Berita Baik itu hukum Allah yang sempurna dan dapat membebaskan manusia. Seseorang yang mendalami hukum itu dan melakukannya, akan diberkati Allah dalam segala perkara yang dilakukannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.