YESAYA 5
5
Lagu tentang Ladang Anggur
1Dengarlah nyanyianku,
tentang sahabatku dan ladang anggurnya:
Sahabatku mempunyai sebidang ladang anggur
di bukit yang sangat subur.
2 Dia mencangkul tanahnya
dan membuang batu-batunya;
dia menanam anggur pilihan,
dan membina menara penjagaan.
Dia menggali sebuah lubang
untuk memeras buah anggurnya.
Lalu dia menunggu sehingga buah anggur masak,
tetapi tiap-tiap buah itu masam.
3Oleh itu sahabatku berkata, “Hai penduduk Yerusalem dan Yehuda, hakimilah aku dan ladang anggurku. 4Adakah hal lain yang harus aku buat, tetapi belum aku lakukan untuk ladang anggurku itu? Mengapakah buah masam yang dihasilkannya, dan bukan buah yang baik seperti yang aku harapkan?
5Inilah yang hendak aku lakukan pada ladang anggurku itu: aku akan mencabut pagar di sekelilingnya, merobohkan tembok yang melindunginya, dan membiar binatang liar memakannya dan memijak-mijaknya. 6Aku akan membiarkannya ditumbuhi lalang. Aku tidak akan memangkas pokok anggur ataupun menggemburkan tanahnya lagi. Sebaliknya aku akan membiarkannya ditutupi semak berduri. Bahkan aku akan melarang awan menurunkan hujan ke atasnya.”
7Israel ialah ladang anggur TUHAN Yang Maha Kuasa;
orang Yehuda ialah pokok anggur yang ditanam-Nya.
Dia mengharapkan mereka melakukan yang baik,
tetapi mereka melakukan pembunuhan.
Dia mengharapkan mereka melakukan yang benar,
tetapi yang kedengaran adalah suara mangsa mereka meminta keadilan.
Kejahatan yang Dilakukan Manusia
8Malanglah kamu! Kamu membeli rumah dan ladang untuk menambah milik kamu. Tidak lama lagi habislah tempat tinggal bagi orang lain. Kamu sahaja yang akan menduduki negeri itu. 9Aku mendengar TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Semua rumah yang besar dan indah ini akan menjadi reruntuhan tanpa penghuni. 10Pokok-pokok anggur yang tumbuh di tanah seluas sepuluh hektar akan menghasilkan lapan liter wain sahaja. Seratus lapan puluh liter benih hanya akan menghasilkan lapan belas liter gandum.”
11Malanglah kamu! Kamu bangun pagi-pagi dan mula minum minuman keras. Lalu kamu mabuk sehingga larut malam. 12Dalam pesta-pesta kamu ada bunyi kecapi, gambus, tamburin, dan seruling, dan juga minuman wain, tetapi kamu tidak tahu akan apa yang sedang dilakukan oleh TUHAN. 13Kamu akan dibuang sebagai orang tawanan. Para pemimpin akan mati kelaparan dan rakyat jelata akan mati kehausan. 14Mulut alam maut terbuka lebar-lebar untuk menelan orang bangsawan di Yerusalem bersama-sama rakyat jelata yang ramai-ramai bersuka ria.
15Tiap-tiap orang akan dipermalukan, dan semua orang yang sombong akan direndahkan. 16Demikianlah TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kebesaran-Nya dengan melakukan apa yang benar, serta menyatakan kesucian-Nya dengan menghakimi umat-Nya. 17Di tengah-tengah reruntuhan kota, anak domba akan meragut rumput dan anak kambing akan mendapat padang rumput yang hijau.
18Malanglah kamu! Kamu tidak mahu meninggalkan dosa. 19Kamu berkata, “Marilah kita lihat apa yang akan dilakukan TUHAN. Biarlah Dia segera melakukan hal yang telah difirmankan-Nya. Biarlah Allah Israel, Allah yang suci melaksanakan rancangan-Nya.”
20Malanglah kamu! Kamu memutarbalikkan yang baik dan yang jahat, yang gelap dan yang terang, serta yang pahit dan yang manis.
21Malanglah kamu! Kamu fikir, kamu bijak dan sangat pandai!
22Malanglah kamu, hai jaguh minum. Kamu berani dan hebat apabila mencampur minuman keras! 23Tetapi manakala kamu diberikan rasuah sedikit sahaja, kamu bersedia melepaskan orang yang bersalah, serta mencegah orang yang tidak bersalah menerima keadilan. 24Oleh itu sebagaimana jerami dan rumput kering mudah terbakar, demikian juga akar kamu akan reput dan bunga kamu layu, lalu diterbangkan angin, kerana kamu telah menolak ajaran TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Allah yang suci. 25TUHAN murka terhadap umat-Nya. Dia hendak menghukum mereka. Gunung akan goncang dan mayat akan berselerakan di tengah jalan seperti sampah. Namun kemurkaan TUHAN belum lagi berakhir. Dia akan terus menghukum umat-Nya.
26Lihatlah TUHAN memberikan tanda kepada bangsa yang jauh. Dia bersiul memanggil mereka dari hujung bumi dan mereka datang dengan segera! 27Tiada satu orang pun penat atau tersandung. Mereka tidak pernah mengantuk atau tidur. Mereka selalu siap untuk berperang. 28Anak panah mereka tajam dan busur mereka siap dilenturkan. Kuku kuda mereka keras seperti batu api, dan roda kereta kuda mereka berputar secepat angin puting beliung. 29Askar-askar mereka mengaum seperti singa yang menerkam dan melarikan mangsanya supaya tiada sesiapa dapat melepaskan mangsa itu.
30Apabila masanya tiba kelak, tempikan mereka terhadap Israel sekeras deru laut. Lihatlah, seluruh negeri itu diliputi kegelapan dan kecemasan! Cahaya menjadi kegelapan!
Currently Selected:
YESAYA 5: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.