YouVersion Logo
Search Icon

KEJADIAN 20

20
Abraham dan Raja Abimelekh
1Abraham berpindah dari Mamre ke bahagian selatan Kanaan, lalu menetap di antara Kades dan Syur. Beberapa lama kemudian, semasa dia tinggal di Gerar, 2 dia berkata bahawa isterinya Sara ialah adiknya. Oleh itu, Raja Abimelekh dari kota Gerar menyuruh utusannya membawa Sara kepadanya. 3Pada suatu malam Allah menampakkan diri kepada Raja Abimelekh dalam mimpi dan berfirman, “Engkau akan mati kerana engkau sudah mengambil wanita ini; dia sudah bersuami.”
4Tetapi Raja Abimelekh belum lagi menjamah wanita itu, lalu raja itu berkata, “Ya Tuhan, aku tidak bersalah! Adakah Tuhan akan membinasakan aku dan rakyatku? 5Abraham sendiri berkata bahawa wanita itu adiknya, dan wanita itu pun berkata bahawa Abraham abangnya. Aku melakukan hal ini dengan hati nurani yang bersih, kerana itu aku tidak bersalah.”
6Allah menjawab dalam mimpi itu, “Ya, Aku tahu bahawa engkau melakukannya dengan hati nurani yang bersih; oleh itu Aku sudah mencegah engkau daripada berdosa terhadap Aku dan tidak membiarkan engkau menjamah wanita itu. 7Tetapi sekarang, kembalikanlah wanita itu kepada suaminya. Suaminya seorang nabi, dan dia akan berdoa untukmu supaya engkau tidak mati. Tetapi jika engkau tidak mengembalikannya, ingat, engkau dan segenap rakyatmu akan mati.”
8Awal pagi esoknya Raja Abimelekh memanggil semua pegawainya dan memberitahu mereka segala kejadian itu. Mereka sangat ketakutan. 9Kemudian Raja Abimelekh memanggil Abraham dan bertanya, “Apakah yang sudah kamu lakukan terhadap kami? Apakah kesalahan yang sudah beta lakukan terhadapmu, yang menyebabkan kamu mendatangkan bencana ini kepada beta dan kerajaan beta? Tidak patut kamu berbuat demikian kepada beta. 10Mengapa kamu melakukannya?”
11Abraham menjawab, “Hamba berfikir bahawa di sini tiada sesiapa pun yang takut kepada Allah, sehingga hamba akan dibunuh oleh orang yang menginginkan isteri hamba. 12Sebenarnya, dia memang adik hamba. Kami satu bapa tetapi berlainan ibu; kemudian kami berkahwin. 13Oleh itu, apabila Allah menyuruh hamba keluar dari rumah bapa hamba, lalu mengembara ke negeri asing, hamba berkata kepada isteri hamba, ‘Tunjukkanlah kesetiaanmu kepadaku dengan berkata kepada setiap orang bahawa aku ini abangmu.’ ”
14Selepas itu Raja Abimelekh mengembalikan Sara kepada Abraham, dan pada masa itu juga dia memberikan hamba, domba, dan lembu kepada Abraham. 15Raja itu bertitah kepada Abraham, “Inilah seluruh negeri beta; tinggallah di mana saja kamu kehendaki.” 16Baginda bertitah kepada Sara, “Beta memberikan seribu keping perak kepada abangmu sebagai bukti kepada semua orang yang ada bersama-samamu bahawa kamu benar-benar tidak bersalah.”
17-18TUHAN sudah membuat semua wanita di istana Raja Abimelekh mandul kerana peristiwa yang berlaku kepada Sara, isteri Abraham. Kemudian Abraham berdoa kepada Allah, lalu Allah menyembuhkan Raja Abimelekh, isterinya, dan hamba-hamba perempuannya, sehingga wanita-wanita itu dapat melahirkan anak lagi.

Currently Selected:

KEJADIAN 20: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in