YouVersion Logo
Search Icon

PENGKHUTBAH 12

12
1Oleh itu ingatlah Pencipta kamu semasa kamu masih muda, sebelum masa sengsara tiba dan kamu berkata, “Aku tidak menikmati hidup.” 2Pada masa itu mata kamu tidak lagi terang sehingga cahaya matahari, bulan dan bintang menjadi pudar. Kesusahan bagaikan awan mendung akan membayangi kamu. 3Lengan yang telah melindungi kamu akan gementar; kaki kamu yang kuat akan menjadi lemah. Gigi kamu terlalu sedikit untuk mengunyah makanan dan mata kamu terlalu rabun untuk melihat dengan jelas. 4Telinga kamu akan menjadi pekak, sehingga kamu tidak dapat mendengar keriuhan di jalan raya. Kamu tidak akan dapat mendengar bunyi orang mengisar di kilang, atau bunyi muzik. Tidur kamu tidak nyenyak lagi; kamu terjaga setiap kali burung berkicau. 5Kamu akan takut mendaki tempat yang tinggi, dan kamu harus berjalan dengan hati-hati. Rambut kamu akan beruban, kaki kamu akan kamu seret waktu berjalan, dan segala hasrat dan keinginan hilang.
Kita menuju ke tempat tinggal kita yang terakhir, lalu orang menangis di sepanjang jalan. 6Rantai perak akan putus dan lampu emas jatuh dan pecah; tali timba di perigi putus dan kendi hancur berkecai. 7Tubuh kita akan kembali menjadi debu di bumi. Nafas kehidupan kita akan kembali kepada Allah yang memberikannya kepada kita.
8Memang semua itu sia-sia, kata Si Pemikir.
Kesimpulan
9Tetapi Si Pemikir itu bijak; oleh itu baginda terus mengajar orang hal yang diketahuinya. Baginda mengkaji peribahasa dan menguji kebenarannya. 10Baginda berusaha untuk menggunakan perkataan yang menyenangkan. Walau bagaimana pun perkataan yang ditulisnya jujur. 11Ucapan orang bijak seperti tongkat tajam yang digunakan oleh gembala untuk menggiring domba, dan kumpulan peribahasa kukuh seperti paku yang terpasak dalam. Semua itu diberikan oleh Allah, satu-satunya Gembala kita.
12Hai anakku, ada lagi yang perlu engkau ketahui: kitab tidak habis-habis ditulis, dan terlalu banyak menelaah pelajaran akan meletihkan kamu.
13Inilah kesimpulan daripada semuanya: Hormatilah Allah, dan taatilah segala perintah-Nya, kerana bagi maksud itulah manusia diciptakan. 14Allah akan mengadili semua perbuatan kita, yang baik, yang jahat, mahupun yang tersembunyi.

Currently Selected:

PENGKHUTBAH 12: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in