YouVersion Logo
Search Icon

ULANGAN 7

7
Umat Pilihan Allah
(Kel 34.11-16)
1 “TUHAN, Allah kamu akan membawa kamu ke tanah yang akan kamu duduki, dan Dia akan mengusir banyak bangsa dari tanah itu. Semasa kamu bergerak maju, Dia akan mengusir tujuh bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu: orang Het, Girgasi, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi. 2Apabila TUHAN, Allah kamu menyerahkan bangsa-bangsa ini kepada kamu, dan kamu mengalahkan mereka, kamu mesti membunuh mereka semua. Jangan ikat perjanjian dengan mereka, dan jangan kasihani mereka. 3Jangan berkahwin dengan mereka, dan jangan biar anak-anak kamu berkahwin dengan mereka, 4kerana mereka akan menjauhkan anak-anak kamu daripada TUHAN, sehingga anak-anak kamu itu menyembah tuhan-tuhan lain. Jika hal itu berlaku, TUHAN akan murka terhadap kamu dan membinasakan kamu dengan serta-merta. 5 Oleh itu, robohkanlah mazbah-mazbah bangsa-bangsa itu, hancurkanlah tiang-tiang batu keramat, tumbangkanlah lambang-lambang Dewi Asyera, dan bakarlah berhala-berhala mereka. 6 Lakukanlah hal itu, kerana kamu milik TUHAN, Allah kamu. Dari antara semua bangsa di bumi, Dia memilih kamu untuk menjadi umat-Nya yang istimewa.
7TUHAN mengasihi kamu, dan memilih kamu bukan kerana bilangan kamu lebih besar daripada bangsa-bangsa lain; sebenarnya kamu bangsa yang terkecil di bumi. 8Tetapi TUHAN mengasihi kamu, dan Dia hendak memenuhi janji yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu. Itulah sebabnya Dia menyelamatkan kamu dengan kuasa-Nya yang besar, dan membebaskan kamu daripada diperhambakan oleh raja Mesir. 9Ingatlah bahawa TUHAN, Allah kamu satu-satunya Allah, dan Dia setia. Dia akan menepati perjanjian-Nya dan sentiasa menunjukkan kasih-Nya kepada seribu generasi orang yang mengasihi Dia, dan yang taat kepada hukum-Nya, 10 tetapi Dia tidak akan teragak-agak menghukum orang yang membenci Dia. 11Oleh itu, taatilah apa yang sudah diajarkan kepada kamu; patuhilah semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini.”
Berkat bagi Orang yang Taat
(Ul 28.1-14)
12“Jika kamu mendengarkan hukum ini dan melaksanakannya dengan setia, maka TUHAN, Allah kamu akan terus menepati perjanjian yang dibuat-Nya dengan kamu dan menunjukkan kasih-Nya kepada kamu, sebagaimana yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu. 13Dia akan mengasihi dan memberkati kamu, supaya bilangan kamu bertambah-tambah dan kamu beroleh banyak anak. Dia akan memberkati ladang kamu supaya kamu mendapat gandum, wain, dan minyak zaitun. Dia akan memberkati kamu dengan memberi kamu ternakan dan domba yang banyak. Dia akan memberi kamu segala berkat ini di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu, menurut janji-Nya kepada nenek moyang kamu. 14Tiada bangsa mana pun di dunia ini yang akan diberkati dengan berlimpah-limpah seperti kamu. Tiada seorang pun di kalangan kamu akan mandul, dan semua ternakan kamu akan membiak. 15TUHAN akan melindungi kamu daripada segala penyakit. Dia tidak akan membiarkan kamu menghidap penyakit dahsyat seperti yang kamu alami di Mesir, tetapi Dia akan menimpakan penyakit itu kepada semua musuh kamu. 16 Binasakanlah semua bangsa yang diserahkan oleh TUHAN, Allah kamu ke bawah kuasa kamu, dan jangan kasihani mereka. Jangan sembah tuhan-tuhan mereka, kerana perbuatan itu akan mendatangkan bencana.
17Jangan berfikir bahawa bilangan bangsa-bangsa itu lebih besar daripada kamu, dan bahawa kamu tidak dapat mengusir mereka. 18Jangan takut akan mereka. Ingatlah akan perbuatan TUHAN, Allah kamu terhadap raja Mesir dan semua rakyatnya. 19Ingatlah akan malapetaka dahsyat yang kamu nampak dengan mata sendiri, mukjizat dan perbuatan ajaib, serta kuasa besar dan keperkasaan yang digunakan oleh TUHAN, Allah kamu untuk membebaskan kamu. Sebagaimana Dia membinasakan orang Mesir dahulu, begitu juga Dia akan membinasakan semua bangsa yang kamu takuti sekarang. 20Dia akan menimbulkan kecemasan di kalangan mereka, dan membinasakan mereka yang melarikan diri dan pergi bersembunyi. 21Oleh itu, jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; Dia Allah yang agung, dan yang harus ditakuti. 22Sedikit demi sedikit TUHAN, Allah kamu akan mengusir bangsa-bangsa itu semasa kamu bergerak maju. Kamu tidak dapat membinasakan mereka dengan sekaligus, kerana jika kamu berbuat demikian, bilangan binatang liar akan meningkat dan menjadi ancaman kepada kamu. 23TUHAN akan menyerahkan musuh kepada kamu, dan Dia akan menyebabkan mereka cemas sehingga mereka dibinasakan. 24Dia akan menyerahkan raja-raja mereka kepada kamu. Kamu akan membunuh mereka, dan mereka akan dilupakan oleh manusia. Tiada seorang pun dapat menahan kamu; kamu akan membinasakan setiap orang. 25Bakarlah berhala-berhala mereka. Jangan ingini emas atau perak yang ada pada berhala mereka, dan jangan ambil benda-benda itu untuk diri kamu sendiri. Jika kamu mengambilnya, kamu akan ditimpa bencana, kerana TUHAN membenci penyembahan berhala. 26Jangan bawa satu pun berhala itu ke rumah kamu. Jika kamu membawanya, kutuk yang menimpa berhala-berhala itu akan menimpa kamu juga. Kamu mesti membenci dan menghina berhala, kerana berhala-berhala itu dikutuk oleh TUHAN.”

Currently Selected:

ULANGAN 7: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in