YouVersion Logo
Search Icon

KISAH RASUL-RASUL 16

16
Timotius Mengikut Paulus dan Silas
1Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius tinggal di situ. Ibunya, orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. 2Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. 3Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani. 4Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. 5Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah.
Di Troas: Paulus Melihat Suatu Penglihatan
6Kerana Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia, mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia. 7Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan mereka. 8Oleh itu mereka terus pergi ke Troas melalui Misia. 9Pada malam itu dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia berdiri di hadapannya dan memohon, “Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!” 10Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia.
Di Filipi: Lidia Percaya kepada Allah
11Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake, dan hari berikutnya ke Neapolis. 12Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. 13Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. 14Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. 15Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, “Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.” Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya.
Paulus Dipenjarakan di Filipi
16Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya. 17Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, “Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!” 18Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!” Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu. 19Apabila pemilik-pemiliknya sedar bahawa kesempatan untuk mendapat wang sudah lenyap, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret kedua-dua mereka menghadap pihak berkuasa di padang kota. 20Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, “Kedua-dua orang ini orang Yahudi. Mereka menyebabkan kekacauan di kota kita. 21Mereka mengajarkan adat resam yang bertentangan dengan hukum kita. Kita orang Roma dan tidak dapat menerima atau menurut adat resam itu!” 22Orang ramai pun turut menyerang Paulus dan Silas.
Pegawai-pegawai kerajaan mengoyak pakaian Paulus dan Silas lalu menyuruh orang mencambuk mereka. 23Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat. 24Setelah menerima perintah itu, ketua penjara itu menahan mereka di bilik penjara yang paling dalam, dan mengenakan pasung pada kaki mereka.
25Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. 26Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. 27Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. 28Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, “Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!”
29Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. 30Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?”
31Paulus dan Silas menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan - kamu dan keluargamu!” 32Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. 33Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis. 34Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah.
35Keesokan paginya, pegawai-pegawai kerajaan Roma menyuruh pegawai-pegawai polis ke penjara untuk menyampaikan perintah supaya Paulus dan Silas dibebaskan.
36Ketua penjara itu memberitahu Paulus, “Pergilah dengan sejahtera, kerana pegawai-pegawai kerajaan sudah memberikan perintah supaya tuan berdua dibebaskan.”
37Tetapi Paulus berkata kepada pegawai-pegawai polis itu, “Kami warganegara Roma! Kami tidak didapati bersalah, tetapi kami sudah dicambuk di hadapan orang ramai, lalu dimasukkan ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam! Kami tidak mahu! Pegawai-pegawai kerajaan Roma itu sendiri harus ke mari dan membebaskan kami.”
38Pegawai-pegawai polis itu melaporkan hal itu kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma. Apabila mereka mendengar bahawa Paulus dan Silas warganegara Roma, mereka takut. 39Oleh itu mereka datang meminta maaf. Kemudian mereka memimpin Paulus dan Silas keluar dari penjara, dan meminta supaya mereka meninggalkan kota itu. 40Paulus dan Silas meninggalkan penjara itu lalu pergi ke rumah Lidia. Di situ mereka berjumpa dengan pengikut-pengikut Yesus, dan setelah menggalakkan orang di situ, Paulus dan Silas berangkat.

Currently Selected:

KISAH RASUL-RASUL 16: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in