YouVersion Logo
Search Icon

KISAH RASUL-RASUL 10

10
Petrus dan Kornelius
1Seorang lelaki bernama Kornelius tinggal di Kaisarea. Dia kapten pasukan tentera Roma yang disebut Pasukan Italia. 2Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah. 3Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan, dengan jelas dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, “Kornelius!”
4Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan lalu bertanya, “Ada apa, tuan?”
Malaikat itu menjawab, “Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu. 5Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. 6Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.” 7Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hamba yang bekerja di rumahnya dan salah seorang pengawal peribadinya, yang juga takut akan Allah. 8Dia memberitahu mereka apa yang sudah berlaku, lalu menyuruh mereka pergi ke Yope.
9Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa. 10Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. 11Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. 12Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. 13Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!”
14Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.”
15Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.” 16Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit.
17Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. 18Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ.
19Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, “Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. 20Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.” 21Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?”
22Mereka menjawab, “Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.” 23Lalu Petrus menjemput mereka menginap di situ.
Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia. 24Sehari sesudah itu, mereka tiba di Kaisarea. Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu mereka. 25Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud di hadapannya. 26Tetapi Petrus menyuruh dia bangun, “Bangunlah,” katanya, “saya sendiri pun manusia.” 27Sementara bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. 28Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi. Tetapi Allah sudah menunjukkan bahawa saya tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram. 29Itulah sebabnya apabila saya dijemput, saya tidak berkeberatan datang. Katakanlah, mengapa tuan meminta saya datang?”
30Kornelius menjawab, “Tiga hari yang lalu, kira-kira pada pukul tiga petang saya sedang berdoa di rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar berdiri di hadapan saya. 31Dia berkata, ‘Kornelius! Allah sudah mendengar doamu, dan ingat akan kemurahan hatimu. 32Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.’ 33Itulah sebabnya saya segera menyuruh orang memanggil tuan, dan tuan sungguh baik hati kerana sudi ke mari. Sekarang kami berkumpul di sini di hadapan Allah, untuk mendengar apa sahaja yang akan tuan katakan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.”
Ucapan Petrus
34 Lalu Petrus berkata, “Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. 35Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya. 36Saudara-saudara tahu akan perkhabaran yang disampaikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Khabar itu Berita Baik tentang kedamaian melalui Yesus Kristus, Tuhan semua orang. 37Saudara-saudara mengetahui apa yang telah berlaku di seluruh Yudea, mulai dari Galilea, setelah baptisan yang diberitakan oleh Yohanes. 38Saudara-saudara tahu bahawa Allah telah memilih Yesus orang Nasaret itu dan memberi Dia Roh Allah dan kekuasaan. Yesus pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang dikuasai oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. 39Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. 40Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. 41Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, sesudah Dia bangkit daripada kematian. 42Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. 43Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.”
Orang Bukan Yahudi Menerima Roh Allah
44Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. 45Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. 46Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, 47“Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?” 48Oleh itu Petrus menyuruh mereka dibaptis demi nama Yesus Kristus. Kemudian mereka meminta supaya Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari.

Currently Selected:

KISAH RASUL-RASUL 10: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in