2 TIMOTIUS 1:8-12
2 TIMOTIUS 1:8-12 BM
Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuhan kita dan juga janganlah malu akan aku, yang dipenjarakan kerana Kristus. Sebaliknya, hendaklah engkau dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, turut menderita untuk Berita Baik itu. Allah menyelamatkan dan memanggil kita menjadi umat-Nya sendiri, bukan kerana apa yang sudah kita lakukan, tetapi kerana tujuan-Nya dan rahmat-Nya sendiri. Dia memberikan kita rahmat-Nya melalui Kristus Yesus sebelum dunia ini diciptakan. Tetapi sekarang rahmat-Nya telah dinyatakan kepada kita dengan kedatangan Penyelamat kita, Kristus Yesus. Yesus sudah mengalahkan kuasa kematian dan membawa hidup yang kekal melalui Berita Baik itu. Allah sudah melantik aku menjadi rasul dan guru untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Itulah sebabnya aku menderita semua ini. Tetapi aku tetap yakin, kerana aku mengenal siapa yang aku percayai. Aku yakin bahawa Dia berkuasa menjaga apa yang telah dipercayakan-Nya kepadaku sehingga Hari Kiamat.