YouVersion Logo
Search Icon

2 TAWARIKH 35

35
Raja Yosia Merayakan Paska
(2 Raj 23.21-23)
1Raja Yosia merayakan Paska di Yerusalem untuk menghormati TUHAN. Pada hari keempat belas bulan pertama, mereka menyembelih domba untuk perayaan itu. 2Baginda memberi para imam tugas-tugas yang harus dilakukan mereka di Rumah TUHAN, dan menggalakkan mereka supaya melakukan pekerjaan itu dengan baik. 3Orang Lewi, iaitu guru-guru Israel yang telah dikhaskan untuk TUHAN, mendapat perintah ini daripada Raja Yosia, “Letakkanlah Tabut Perjanjian yang suci itu di Rumah TUHAN, yang dibina Raja Salomo putera Raja Daud. Tidak usah lagi kamu membawanya dari tempat ke tempat, tetapi hendaklah kamu mengabdikan diri kepada TUHAN, Allah kamu dan umat-Nya Israel. 4 Jalankanlah kewajipan kamu di Rumah TUHAN, menurut puak kamu dan tugas yang telah diberikan Raja Daud dan puteranya Raja Salomo. 5Aturlah puak kamu supaya kamu dapat menolong tiap-tiap keluarga orang Israel. 6Kamulah yang harus menyembelih domba dan kambing untuk Perayaan Paska. Oleh itu sucikanlah diri kamu dan sediakanlah korban-korban itu, supaya sesama kamu umat Israel dapat melaksanakan apa yang diperintahkan TUHAN melalui Musa.”
7Raja Yosia menyumbangkan 30,000 ekor domba, anak domba, dan anak kambing, serta 3,000 ekor lembu jantan daripada ternakan baginda sendiri, kepada rakyat yang hadir di situ supaya mereka dapat mempersembahkan korban untuk Perayaan Paska. 8Pegawai-pegawai Yosia juga memberikan sumbangan kepada rakyat, para imam, dan orang Lewi. Pegawai-pegawai yang bertugas di Rumah TUHAN, iaitu Imam Agung Hilkia, Zakharia, dan Yehiel, memberikan 2,600 ekor anak domba dan anak kambing, serta 300 ekor lembu jantan, kepada para imam untuk dipersembahkan pada masa perayaan itu. 9Pemimpin-pemimpin orang Lewi, iaitu Konanya, Semaya dan Netaneel saudaranya, Hasabya, Yeiel, dan Yozabad, memberikan 5,000 ekor anak domba dan anak kambing, serta 500 ekor lembu jantan, kepada orang Lewi untuk dipersembahkan pada perayaan itu.
10Apabila semuanya telah disiapkan untuk perayaan Paska, para imam, dan orang Lewi mengambil tempat masing-masing seperti yang diperintahkan oleh raja. 11Selepas kambing dan domba disembelih, orang Lewi menguliti semuanya; kemudian para imam memercikkan darah binatang itu di atas mazbah. 12Mereka membahagikan binatang-binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, kepada tiap-tiap kumpulan keluarga, supaya mereka dapat mempersembahkannya menurut peraturan Taurat Musa. 13 Orang Lewi memanggang korban-korban untuk Perayaan Paska di atas api, menurut peraturan, dan merebus korban-korban khas di dalam kuali, periuk, dan belanga, lalu dengan segera dagingnya dibahagi-bahagikan kepada rakyat. 14Selepas itu barulah orang Lewi membahagikan daging untuk mereka sendiri dan imam-imam keturunan Harun, kerana sampai malam para imam sibuk membakar binatang-binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan membakar lemak daripada korban-korban itu. 15 Beberapa orang pemuzik daripada puak Asaf dalam suku Lewi, iaitu Asaf, Heman, dan Yedutun nabi raja itu, mengambil tempat mereka seperti yang ditetapkan Raja Daud. Pengawal-pengawal yang bertugas di pintu gerbang Rumah TUHAN tidak usah meninggalkan tempat-tempat kawalan mereka kerana orang Lewi yang lain telah menyediakan keperluan Perayaan Paska untuk mereka. 16Demikianlah semua hal itu dilakukan pada hari itu untuk menyembah TUHAN, merayakan Perayaan Paska, dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh Raja Yosia. 17 Selama tujuh hari semua orang Israel yang hadir di situ merayakan Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi. 18Sejak zaman Nabi Samuel, belum pernah Paska dirayakan secara besar-besaran seperti itu. Tiada seorang pun di kalangan raja-raja Israel yang pernah merayakan Perayaan Paska seperti yang dirayakan oleh Raja Yosia, para imam, orang Lewi, dan penduduk Yehuda, Israel, serta Yerusalem, 19pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia.
Akhir Pemerintahan Raja Yosia
(2 Raj 23.28-30)
20Selepas Raja Yosia melakukan segala hal itu bagi Rumah TUHAN, Raja Nekho dari Mesir memimpin tenteranya untuk bertempur di Karkemis dekat Sungai Efrat. Raja Yosia cuba menghalang Raja Nekho, 21tetapi Raja Nekho mengirim berita ini kepadanya, “Perang ini tidak berkaitan dengan tuanku, raja Yehuda. Beta datang bukan untuk melawan tuanku, tetapi melawan musuh beta sendiri. Allah telah menyuruh beta bertindak dengan cepat. Dia sendiri memihak beta, oleh itu jangan lawan beta. Jika tuanku melawan beta, Allah akan memusnahkan tuanku.” 22Tetapi Raja Yosia berkeras untuk pergi berperang. Baginda tidak menghiraukan firman Allah melalui Raja Nekho. Raja Yosia menyamar lalu bertempur di dataran rendah Megido.
23Dalam pertempuran itu, Raja Yosia dipanah oleh askar Mesir. Lalu baginda bertitah kepada hamba-hambanya, “Beta cedera parah! Bawalah beta keluar dari sini.” 24Mereka memindahkan Raja Yosia dari kereta kudanya ke kereta kuda yang lain, lalu membawanya ke Yerusalem. Raja Yosia mangkat di Yerusalem lalu dimakamkan di makam diraja. Semua penduduk Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana kemangkatan baginda.
25Nabi Yeremia mengarang sebuah lagu ratapan bagi Raja Yosia. Di Israel sampai sekarang, lagu itu dinyanyikan oleh para penyanyi, baik lelaki mahupun perempuan, dalam peringatan perkabungan untuk Raja Yosia. Lagu itu dimasukkan dalam kumpulan lagu ratapan.
26Semua perbuatan Raja Yosia, baik kasihnya kepada TUHAN, ketaatannya kepada Taurat 27mahupun sejarah hidupnya dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel dan Yehuda.

Currently Selected:

2 TAWARIKH 35: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in