YouVersion Logo
Search Icon

2 TAWARIKH 33

33
Raja Manasye, Raja Yehuda
(2 Raj 21.1-9)
1Raja Manasye berusia dua belas tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh lima tahun. 2 Raja Manasye berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat-Nya menduduki negeri itu dahulu. 3Raja Manasye membina semula tempat-tempat penyembahan berhala yang telah dimusnahkan oleh ayahandanya Raja Hizkia. Raja Manasye membina mazbah untuk menyembah Baal dan membuat patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menyembah bintang-bintang. 4 Raja Manasye membina mazbah-mazbah untuk dewa-dewa di dalam Rumah TUHAN, tempat yang ditentukan TUHAN sebagai tempat beribadat kepada-Nya untuk selama-lamanya. 5Raja Manasye juga membina mazbah-mazbah di kedua-dua halaman Rumah TUHAN untuk menyembah bintang-bintang. 6Baginda mempersembahkan putera-puteranya di Lembah Hinom sebagai korban yang dibakar. Baginda mengamalkan ilmu tilik dan sihir; baginda berhubungan dengan ahli-ahli nujum dan bomoh. Raja Manasye sangat berdosa terhadap TUHAN dan membangkitkan kemurkaan-Nya. 7Baginda meletakkan sebuah patung di dalam Rumah TUHAN, padahal tentang tempat itulah Allah telah berfirman kepada Raja Daud dan Raja Salomo puteranya demikian, “Rumah-Ku di Yerusalem ini, yang telah Kupilih dari antara dua belas wilayah suku Israel, ialah tempat yang Kutentukan sebagai tempat beribadat kepada-Ku selama-lamanya. 8 Jika umat-Ku Israel taat kepada segala perintah-Ku serta menurut seluruh Taurat yang diberikan kepada mereka oleh Musa, hamba-Ku, maka Aku tidak akan membiarkan mereka diusir dari tanah yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka.” 9Raja Manasye menyebabkan penduduk Yehuda lebih berdosa daripada bangsa-bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu ketika umat-Nya memasuki negeri itu.
Raja Manasye Bertaubat
10Walaupun TUHAN memberikan amaran kepada Raja Manasye dan rakyatnya, namun mereka tidak mahu menghiraukan amaran itu. 11Oleh itu TUHAN membiarkan panglima-panglima tentera negeri Asyur menyerang Yehuda. Mereka menangkap Raja Manasye dengan kaitan, membelenggu baginda, lalu membawa baginda ke Babel. 12Dalam penderitaannya Raja Manasye merendahkan diri, lalu kembali kepada TUHAN, Allahnya, dan berdoa memohon pertolongan-Nya. 13Allah mengabulkan doa Raja Manasye dan membenarkan baginda kembali ke Yerusalem serta memerintah lagi. Perbuatan Allah itu meyakinkan Raja Manasye bahawa TUHAN itu Allah.
14Selepas itu Raja Manasye meninggikan tembok luar di sebelah timur Kota Daud, bermula dari lembah dekat Mata Air Gihon, lalu terus ke utara sehingga Pintu Gerbang Ikan dan kawasan dalam kota yang dinamakan Ofel. Baginda juga menugaskan seorang pegawai tentera untuk mengetuai satu pasukan askar di tiap-tiap kota berkubu di Yehuda. 15Raja Manasye menyingkirkan patung-patung dewa bangsa lain serta berhala telah diletakkannya di Rumah TUHAN. Baginda membongkar mazbah-mazbah dewa yang didirikan di bukit tempat letaknya Rumah TUHAN, dan di tempat-tempat lain di Yerusalem. Baginda membawa semua benda itu ke luar kota, lalu membuang semuanya. 16Raja Manasye membaiki mazbah tempat beribadat kepada TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN dan korban kesyukuran di situ. Baginda memerintah semua penduduk Yehuda supaya beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. 17Walaupun rakyat masih mempersembahkan korban di tempat-tempat penyembahan yang lain, tetapi persembahan itu untuk TUHAN.
Akhir Pemerintahan Raja Manasye
(2 Raj 21.17-18)
18Segala perbuatan Raja Manasye, doa baginda kepada Allahnya, dan perkhabaran-perkhabaran nabi yang disampaikan kepadanya atas nama TUHAN, Allah Israel, telah dicatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel. 19Doa raja dan jawapan Allah bagi doa itu, dosa raja sebelum baginda bertaubat, perbuatannya yang jahat, tempat penyembahan berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera yang dibuatnya, serta berhala-berhala yang disembahnya, telah dicatat di dalam kitab Sejarah Nabi-Nabi. 20Raja Manasye mangkat lalu dimakamkan di istana; puteranya Amon menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Amon, Raja Yehuda
(2 Raj 21.19-26)
21Amon berumur dua puluh dua tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua tahun. 22Seperti ayahandanya Raja Manasye, Raja Amon juga berdosa terhadap TUHAN dan menyembah berhala yang disembah ayahandanya. 23Tetapi Raja Amon tidak merendahkan diri seperti ayahandanya dan tidak kembali kepada TUHAN, malahan baginda lebih berdosa daripada ayahandanya.
24Pegawai-pegawai Raja Amon berkomplot melawan baginda lalu membunuh baginda di istana. 25Kemudian penduduk Yehuda pula membunuh pegawai-pegawai itu dan melantik Yosia, putera Raja Amon, menjadi raja.

Currently Selected:

2 TAWARIKH 33: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in