YouVersion Logo
Search Icon

2 TAWARIKH 31

31
Raja Hizkia Mengadakan Pembaharuan Agama
1Selepas perayaan itu selesai, segenap umat Israel pergi ke tiap-tiap kota di Yehuda. Mereka menghancurkan tugu-tugu berhala dan lambang-lambang yang ditahbiskan untuk Dewi Asyera. Mereka memusnahkan mazbah-mazbah dan tempat-tempat penyembahan berhala. Mereka melakukan hal yang sama di tempat-tempat lain di Yehuda, dan di wilayah Benyamin, Efraim, serta Manasye. Selepas itu mereka semua pulang ke tempat masing-masing.
2Raja Hizkia mendirikan semula kumpulan para imam dan orang Lewi. Tiap-tiap kumpulan diberikan tugas tertentu, termasuk tugas membakar korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mengambil bahagian dalam upacara ibadat di Rumah TUHAN, dan memuji serta mengucap syukur di beberapa tempat di dalam Rumah TUHAN. 3 Daripada ternakan baginda sendiri, Raja Hizkia menyumbang binatang-binatang yang diperlukan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN yang dipersembahkan pada setiap pagi dan petang, pada hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, dan juga pada perayaan-perayaan lain yang ditetapkan di dalam Taurat TUHAN.
4Selain itu, raja juga menyuruh penduduk Yerusalem memberikan persembahan-persembahan yang ditetapkan bagi para imam dan orang Lewi, supaya mereka dapat menumpukan segala perhatian kepada suruhan Taurat TUHAN. 5 Sebaik sahaja perintah itu diumumkan, umat Israel membawa persembahan gandum yang terbaik, wain, minyak zaitun, madu, dan hasil tanaman yang lain. Mereka juga membawa persepuluhan daripada apa sahaja milik mereka. 6Semua penduduk Yehuda membawa persepuluhan daripada kawanan lembu dan domba mereka. Mereka juga membawa banyak hadiah lain, yang dipersembahkan kepada TUHAN, Allah mereka. 7Pemberian itu mula dihantar pada bulan ketiga, dan terus bertambah selama empat bulan. 8Apabila Raja Hizkia dan pegawai-pegawai nampak betapa banyaknya pemberian yang telah diberikan, mereka memuliakan TUHAN dan memuji umat-Nya, orang Israel. 9Raja bertanya kepada para imam dan orang Lewi tentang pemberian itu, 10lalu Imam Agung Azarya, keturunan Zadok, berkata kepada raja, “Sejak rakyat membawa persembahan mereka ke Rumah TUHAN, makanan di situ cukup, bahkan banyak lagi lebihan. Kami mendapat semua pemberian ini kerana TUHAN telah memberkati umat-Nya.”
11Atas perintah raja, mereka menyediakan stor-stor di kawasan Rumah TUHAN, 12dan menyimpan semua persembahan dan persepuluhan di dalam stor-stor itu. Mereka memilih seorang Lewi bernama Konanya sebagai pengurus barang-barang itu, dan adiknya, Simei sebagai penolongnya. 13Sepuluh orang Lewi disuruh bekerja di bawah pengawasan mereka: Yehiel, Azazya, Nahat, Asael, Yerimot, Yozabad, Eliel, Yismakhya, Mahat, dan Benanya. Semua hal itu dilaksanakan menurut perintah Raja Hizkia dan Imam Agung Azarya. 14Kore anak Yimna, seorang Lewi yang dahulu menjadi ketua pengawal di Pintu Gerbang Timur Rumah TUHAN, ditugaskan menerima pemberian yang dipersembahkan kepada TUHAN serta membahagi-bahagikannya. 15Di kota-kota lain tempat tinggal imam, Kore dibantu dengan setia oleh orang Lewi berikut: Eden, Minyamin, Yesua, Semaya, Amarya, dan Sekhanya. Mereka membahagikan makanan itu dengan sama rata antara sesama orang Lewi menurut tugas mereka, 16dan tidak menurut puak. Semua orang lelaki yang berumur tiga puluh tahun ke atas, yang mempunyai tugas harian di Rumah TUHAN, juga diberikan bahagian masing-masing menurut kedudukan mereka. 17Imam-imam diberikan tugas menurut puak, tetapi orang Lewi yang berusia dua puluh tahun ke atas diberikan tugas menurut kumpulan. 18Mereka didaftarkan bersama-sama anak isteri mereka, dan orang lain yang di bawah tanggungan mereka, kerana mereka dimestikan bersedia setiap masa untuk melaksanakan tugas yang khas bagi TUHAN. 19Di kota-kota dan di padang-padang rumput yang di sekitar kota-kota itu, yang ditentukan bagi keturunan Harun, ada imam-imam yang bertanggungjawab untuk membahagikan makanan kepada semua kaum lelaki daripada keluarga imam, dan kepada semua orang yang terdaftar dalam senarai suku Lewi.
20Di seluruh Yehuda, Raja Hizkia melakukan apa yang adil, yang jujur, dan yang diperkenankan TUHAN, Allahnya. 21Raja Hizkia berjaya kerana semua yang dilakukannya untuk Rumah TUHAN atau untuk mentaati hukum Taurat, dilaksanakannya dengan sepenuh hati dan dengan kasih kepada Allahnya.

Currently Selected:

2 TAWARIKH 31: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in