1 SAMUEL 29
29
Daud Disuruh Pulang oleh Orang Filistin
1Orang Filistin mengumpulkan seluruh tentera mereka di Afek, sedangkan umat Israel berkhemah dekat mata air di Lembah Yizreel. 2Lima orang raja Filistin maju berbaris dengan pasukan-pasukan yang terdiri daripada seratus orang dan seribu orang. Daud dan anak buahnya berbaris di belakang bersama dengan Raja Akhis. 3Apabila para panglima orang Filistin nampak Daud dan anak buahnya, mereka bertanya, “Mengapa semua orang Ibrani ini berada di sini?”
Raja Akhis menjawab, “Ini Daud, bekas pegawai Raja Saul dari Israel. Dia sudah agak lama tinggal bersama dengan beta. Sejak dia datang kepada beta sampai hari ini, belum pernah beta mendapati dia bersalah.”
4Tetapi para panglima Filistin itu marah dengan Raja Akhis. Mereka berkata kepadanya, “Suruhlah dia pulang ke kota yang tuanku berikan kepadanya. Jangan benarkan dia ikut kita berperang. Siapa tahu pada masa pertempuran kelak, dia akan mengkhianati kita. Bukankah itu peluang yang terbaik baginya untuk memujuk hati rajanya dengan membunuh anak buah kita? 5 Dialah Daud, dan untuk dialah para wanita dahulu menari sambil bernyanyi begini,
‘Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh,
tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh.’ ”
6Raja Akhis memanggil Daud dan bertitah kepadanya, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup, yang disembah Israel bahawa kamu setia kepada beta. Beta suka kamu mengikut beta dalam pertempuran ini kerana sejak kamu datang kepada beta, belum pernah kamu bersalah terhadap beta. Tetapi raja-raja yang lain tidak berkenan kepadamu. 7Oleh itu pulanglah dengan sejahtera dan jangan lakukan sesuatu yang menimbulkan kemurkaan raja-raja itu.”
8Daud menjawab, “Apakah kesalahan hamba? Tuanku mengatakan bahawa sejak hamba datang kepada tuanku, hamba belum pernah bersalah terhadap tuanku. Jika demikian, mengapakah hamba tidak dibenarkan berperang melawan musuh-musuh tuanku?”
9Raja Akhis menjawab, “Kamu tahu bahawa beta menganggap kamu setia seperti malaikat Allah. Tetapi raja-raja yang lain itu sudah mengambil keputusan bahawa kamu tidak boleh ikut kami berperang. 10Oleh itu pada hari esok, kamu semua yang sudah meninggalkan Raja Saul dan datang kepada beta, mesti bangun pagi-pagi lalu segera berangkat setelah matahari terbit.”
11Oleh itu Daud dan anak buahnya berangkat pada awal pagi keesokan harinya, lalu pulang ke negeri orang Filistin. Tentera Filistin meneruskan perjalanan mereka ke Yizreel.
Currently Selected:
1 SAMUEL 29: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.