1 RAJA-RAJA 2
2
Pesan Raja Daud yang Terakhir kepada Raja Salomo
1Apabila Raja Daud sudah hampir mangkat, baginda memanggil Raja Salomo, putera baginda, dan memberikan pesannya yang terakhir. 2Raja Daud bertitah, “Masa kemangkatan beta sudah sampai. Hendaklah engkau yakin dan berani. 3Lakukanlah apa yang diperintahkan TUHAN, Allahmu kepadamu. Taatilah semua hukum dan perintah-Nya yang tertulis di dalam Taurat Musa, supaya ke mana sahaja engkau pergi, engkau akan berjaya dalam segala usahamu. 4Jika engkau taat kepada TUHAN, Dia akan menepati janji yang dibuat-Nya ketika Dia memberitahu beta bahawa keturunan beta akan memerintah Israel, selama mereka benar-benar mentaati semua perintah-Nya dan setia terhadap-Nya dengan segenap hati dan jiwa mereka.
5 Ada satu perkara lagi. Engkau masih ingat perbuatan Yoab terhadap beta. Dia membunuh dua orang panglima tentera Israel, Abner anak Ner dan Amasa anak Yeter. Engkau masih ingat cara dia membunuh mereka pada masa damai untuk membalas dendam pembunuhan pada masa perang. Dia telah membunuh orang yang tidak bersalah, tetapi sekarang betalah yang harus menanggung akibat perbuatannya dan betalah yang menderita. 6Engkau tahu apa yang harus dilakukan; jangan biar dia meninggal secara biasa.
7 Tetapi hendaklah engkau berlaku baik terhadap anak-anak Barzilai, orang Gilead itu. Tanggunglah keperluan mereka kerana mereka baik terhadap beta ketika beta melarikan diri daripada abangmu Absalom.
8 Ada lagi seorang yang bernama Simei anak Gera, dari kota Bahurim di wilayah Benyamin. Dia mengutuk beta dengan kejam pada waktu beta pergi ke Mahanaim. Tetapi apabila dia datang berjumpa dengan beta di Sungai Yordan, beta berjanji demi TUHAN bahawa beta tidak akan membunuh dia. 9Tetapi jangan biar dia terlepas daripada hukuman. Engkau tahu apa yang harus dilakukan; pastikanlah supaya dia dihukum mati.”
Raja Daud Mangkat
10Raja Daud mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. 11 Baginda menjadi raja Israel selama empat puluh tahun: baginda memerintah di Hebron selama tujuh tahun, dan di Yerusalem selama tiga puluh tiga tahun. 12 Kemudian Raja Salomo menjadi raja menggantikan Raja Daud, ayahandanya. Kekuasaan Raja Salomo sebagai raja menjadi kukuh.
Adonia Meninggal
13Selepas itu Adonia anak Hagit, pergi berjumpa dengan Batsyeba, bonda Raja Salomo. Batsyeba bertanya kepada Adonia, “Adakah kedatanganmu ini dengan maksud baik?”
“Ya,” jawab Adonia. 14Adonia berkata lagi, “Ada sesuatu yang hendak saya minta daripada puan.”
“Apakah itu?” tanya Batsyeba.
15Adonia berkata, “Puan tahu bahawa sayalah yang seharusnya menjadi raja, dan itulah yang diharapkan oleh setiap orang Israel. Tetapi perkara itu tidak berlaku, dan adik saya pula yang menjadi raja, kerana itulah kehendak TUHAN. 16Sekarang saya ada satu permintaan; tolong jangan tolak permintaan saya ini.”
17 “Apakah permintaanmu itu?” tanya Batsyeba.
Adonia menjawab, “Tolonglah mohon kepada Raja Salomo - saya tahu raja tidak akan menolak permintaan puan - supaya membenarkan saya berkahwin dengan Abisag, gadis dari Sunem itu.”
18“Baiklah,” jawab Batsyeba. “Saya akan menyampaikan permintaanmu kepada raja.”
19Kemudian Batsyeba menghadap Raja Salomo untuk menyampaikan hal itu bagi pihak Adonia. Raja berdiri menyambut bondanya dan bersujud di hadapannya. Raja Salomo duduk di atas takhtanya, lalu menyediakan sebuah takhta lagi di sebelah kanan untuk bonda baginda. 20Batsyeba berkata, “Bonda ingin meminta sesuatu yang kecil saja daripadamu; tolong jangan tolak permintaan bonda.”
“Apakah permintaan bonda?” tanya Raja Salomo. “Saya tidak akan menolak permintaan bonda.”
21Batsyeba berkata, “Benarkanlah abangmu Adonia berkahwin dengan Abisag.”
22Raja Salomo bertanya, “Mengapakah bonda menyuruh saya memberikan Abisag kepada Adonia? Itu sama saja dengan meminta saya menyerahkan takhta saya kepadanya. Bukankah dia abang saya? Lagi pula, Imam Abyatar dan Yoab berpihak kepadanya!” 23Kemudian Raja Salomo bersumpah demi TUHAN, titahnya, “Biarlah Allah membunuh beta jika beta tidak menjatuhkan hukuman mati kepada Adonia kerana meminta perkara itu! 24TUHAN telah mengukuhkan kedudukan beta di atas takhta ayahanda beta, Raja Daud. TUHAN telah menepati janji-Nya dan telah memberikan kerajaan ini kepada beta dan keturunan beta. Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa Adonia akan mati pada hari ini juga!”
25Kemudian Raja Salomo memberikan perintah kepada Benaya, lalu Benaya pergi membunuh Adonia.
Abyatar Dipecat dan Yoab Meninggal
26 Selepas itu Raja Salomo bertitah kepada Imam Abyatar, “Pulanglah ke kampung halamanmu di Anatot. Kamu sepatutnya dihukum mati, tetapi beta tidak akan menjatuhkan hukuman itu kepadamu sekarang, kerana ketika kamu masih bersama dengan ayahanda beta, kamu menjaga Tabut Perjanjian TUHAN, dan kamu ikut menderita bersama dengan ayahanda beta.” 27 Raja Salomo memecat Abyatar daripada pekerjaannya sebagai imam TUHAN. Dengan demikian, berlakulah apa yang difirmankan TUHAN di Silo tentang Imam Eli dan keturunannya.
28Yoab mendengar apa yang telah berlaku. (Dia telah berpihak kepada Adonia, tetapi dia tidak berpihak kepada Absalom.) Oleh itu dia lari ke Khemah TUHAN dan memegang unjuran-unjuran mazbah. 29Berita tentang Yoab yang telah pergi ke Khemah TUHAN dan berada di sisi mazbah, disampaikan kepada Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh orang untuk menanyakan Yoab sebabnya dia pergi ke Khemah TUHAN. Yoab menjawab bahawa dia lari kepada TUHAN kerana dia takut akan Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh Benaya membunuh Yoab. 30Benaya pergi ke Khemah TUHAN lalu berkata kepada Yoab, “Raja menyuruh kamu keluar.”
Yoab menjawab, “Tidak. Saya mahu mati di sini.”
Benaya balik kepada raja dan memberitahu baginda jawapan Yoab.
31Raja bertitah, “Laksanakanlah apa yang dikatakan Yoab. Bunuhlah dia dan kebumikanlah dia. Dengan demikian beta dan keturunan Raja Daud yang lain tidak lagi bertanggungjawab terhadap perbuatan Yoab ketika dia membunuh orang yang tidak bersalah. 32TUHAN akan menghukum Yoab kerana pembunuhan yang dilakukannya tanpa pengetahuan Raja Daud, ayahanda beta. Yoab membunuh dua orang yang tidak bersalah, dua orang yang lebih baik daripadanya: Abner panglima tentera Israel dan Amasa panglima tentera Yehuda. 33Hukuman atas kematian dua orang pahlawan itu akan ditanggung oleh Yoab dan keturunannya sampai selama-lamanya. Tetapi TUHAN akan sentiasa memberikan kejayaan kepada keturunan Raja Daud yang duduk di atas takhta baginda.”
34Kemudian Benaya pergi ke Khemah TUHAN, lalu membunuh Yoab. Yoab dikebumikan di rumahnya di luar kota. 35Kemudian Raja Salomo melantik Benaya menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab, dan melantik Imam Zadok untuk menggantikan Abyatar.
Simei Meninggal
36Selepas itu Raja Salomo memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Binalah sebuah rumah bagimu sendiri di sini, di Yerusalem. Tinggallah di situ dan jangan tinggalkan kota. 37Jika engkau keluar dan menyeberangi sungai kecil Kidron, tentu engkau akan dibunuh, dan engkau sendirilah yang bertanggungjawab terhadap kematianmu.”
38“Baiklah tuanku,” jawab Simei. “Hamba akan taat kepada titah tuanku.” Maka Simei tinggal lama di Yerusalem.
39Tetapi tiga tahun kemudian, dua orang abdi Simei lari kepada Raja Akhis anak Maakha, raja Gat. Apabila Simei mendengar bahawa abdi-abdinya berada di Gat, 40dia menunggang keldainya lalu pergi kepada Raja Akhis di Gat untuk mencari mereka. Setelah dia menjumpai mereka, dia membawa mereka pulang. 41Apabila Raja Salomo mendengar hal yang dilakukan Simei, 42baginda memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Tidakkah beta menyuruh engkau bersumpah demi TUHAN bahawa engkau tidak sekali-kali akan meninggalkan Yerusalem? Beta telah memberikan amaran kepadamu bahawa jika engkau berbuat demikian engkau akan mati! Tidakkah engkau telah bersetuju dan berkata bahawa engkau akan taat kepada titah beta? 43Mengapakah engkau mungkir janji dan melanggar perintah beta? 44Engkau tentu tahu akan segala kesalahanmu terhadap Raja Daud, ayahanda beta. Sekarang TUHAN akan menghukum engkau kerana perbuatanmu itu. 45Tetapi Dia akan memberkati beta dan mengukuhkan kerajaan Raja Daud selama-lamanya.”
46Selepas itu Raja Salomo memerintahkan Benaya supaya pergi membunuh Simei. Kini Raja Salomo berkuasa penuh dalam kerajaan baginda.
Currently Selected:
1 RAJA-RAJA 2: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.