YouVersion Logo
Search Icon

1 RAJA-RAJA 14

14
Putera Raja Yerobeam Mangkat
1Pada masa itu, Abia, putera Raja Yerobeam jatuh sakit. 2Raja Yerobeam bertitah kepada isterinya, “Menyamarlah supaya tiada sesiapa pun mengenali engkau. Pergilah ke Silo, tempat tinggal Ahia, nabi yang bernubuat bahawa aku akan menjadi raja Israel. 3Bawalah untuknya sepuluh buku roti, beberapa ketul kuih, dan sebotol madu. Tanyalah dia apa yang akan terjadi kepada anak kita. Dia akan memberitahu engkau.”
4Maka isteri Raja Yerobeam pergi ke rumah Ahia di Silo. Ahia tidak dapat melihat lagi kerana sudah lanjut usia. 5TUHAN telah memberitahu Ahia bahawa isteri Raja Yerobeam akan datang untuk bertanya kepadanya tentang puteranya yang sakit. TUHAN telah memberitahu dia apa yang harus dikatakannya.
Apabila isteri Raja Yerobeam tiba, dia berpura-pura menjadi orang lain. 6Tetapi apabila Ahia mendengar dia datang di pintu, Ahia berkata, “Sila masuk. Hamba tahu bahawa tuanku ialah isteri Raja Yerobeam. Mengapa berpura-pura menjadi orang lain? Hamba ada berita buruk untuk tuanku. 7Pergilah beritahu Raja Yerobeam bahawa demikianlah firman TUHAN, Allah Israel kepada baginda, ‘Aku memilih engkau antara rakyat, dan Aku menjadikan engkau raja umat-Ku Israel. 8Aku mengambil kerajaan Daud daripada keturunannya dan memberikannya kepadamu. Tetapi engkau tidak seperti hamba-Ku Daud. Dia setia kepada-Ku dan taat kepada perintah-Ku. Dia hanya melakukan apa yang Aku kehendaki. 9Dosamu lebih besar daripada orang yang memerintah sebelum engkau. Engkau telah menolak Aku. Engkau membangkitkan kemurkaan-Ku apabila engkau membuat berhala dan patung daripada logam. 10 Oleh sebab itu Aku akan mendatangkan malapetaka kepada keturunanmu. Aku akan membunuh semua keturunanmu yang lelaki, baik yang muda mahupun yang tua. Aku akan melenyapkan keluargamu. Mereka akan disapu habis seperti najis. 11Semua anggota keluargamu yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan burung. Aku, TUHAN telah berfirman.’ ”
12Ahia meneruskan lagi kata-katanya kepada isteri Raja Yerobeam, “Sekarang, pulanglah. Secepat sahaja tuanku masuk ke kota, putera tuanku akan mangkat. 13Segenap umat Israel akan meratapi dan memakamkan putera raja. Putera itulah satu-satunya anggota keluarga Raja Yerobeam yang akan dimakamkan secara terhormat, kerana putera itu sahaja yang diperkenankan TUHAN, Allah Israel. 14TUHAN akan melantik seorang raja bagi Israel, dan raja itu akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam, mulai sekarang juga. 15TUHAN akan menghukum umat Israel sehingga mereka tergoyang-goyang seperti gelagah di dalam air. TUHAN akan mencabut umat Israel dari tanah yang baik ini, yang diberikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Dia akan menghamburkan mereka di seberang Sungai Efrat, kerana mereka telah membangkitkan kemurkaan-Nya ketika mereka membuat patung Dewi Asyera. 16TUHAN akan meninggalkan Israel, kerana Raja Yerobeam telah berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa.”
17Kemudian isteri Raja Yerobeam kembali ke Tirza. Tepat pada saat isteri raja itu masuk ke rumahnya, putera raja mangkat. 18Umat Israel meratapi dan memakamkan putera itu seperti firman TUHAN yang disampaikan oleh hamba-Nya, Nabi Ahia.
Raja Yerobeam Mangkat
19Segala perbuatan Raja Yerobeam, peperangan yang dimenanginya dan pemerintahannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. 20Raja Yerobeam memerintah sebagai raja selama dua puluh dua tahun. Setelah baginda mangkat dan dimakamkan, Nadab, puteranya, menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Rehabeam, Raja Yehuda
(2 Taw 11.5—12.15)
21Raja Rehabeam putera Raja Salomo berusia empat puluh satu tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Raja Rehabeam memerintah selama tujuh belas tahun di Yerusalem, kota yang dipilih oleh TUHAN di antara seluruh kawasan Israel sebagai tempat beribadat kepada-Nya. Bonda Raja Rehabeam ialah Naama, seorang wanita Amon.
22Penduduk Yehuda berdosa terhadap TUHAN. Perbuatan mereka lebih membangkitkan kemurkaan TUHAN daripada segala perbuatan nenek moyang mereka. 23 Mereka membina tempat-tempat penyembahan dewa dan mendirikan tiang-tiang berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera untuk disembah di bukit-bukit dan di bawah pokok-pokok besar. 24 Di tempat-tempat itu mereka melakukan pelacuran sebagai penyembahan kepada dewa. Bahkan ada orang lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat itu sebagai pelacur. Penduduk Yehuda melakukan semua perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir TUHAN dahulu, ketika umat Israel menduduki negeri itu.
25Pada tahun kelima pemerintahan Raja Rehabeam, Raja Sisak dari Mesir menyerang Yerusalem. 26 Raja Sisak merampas semua harta di Rumah TUHAN dan di istana, termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Raja Salomo. 27Sebagai ganti perisai-perisai emas itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai gangsa. Raja mempercayakan semua itu kepada para pegawai yang mengawal pintu-pintu gerbang istana. 28Tiap-tiap kali raja masuk ke Rumah TUHAN, para pengawal mengangkat perisai-perisai itu, dan selepas itu, mereka mengembalikan semuanya ke bilik pengawal.
29Segala perbuatan Raja Rehabeam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. 30Raja Rehabeam dan Raja Yerobeam sentiasa berperang selama pemerintahan Raja Rehabeam. 31Raja Rehabeam mangkat dan dimakamkan di makam diraja di Kota Daud, lalu Abiam, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

Currently Selected:

1 RAJA-RAJA 14: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in