1 YOHANES 5
5
Kemenangan Kita atas Dunia
1Sesiapa percaya bahawa Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu anak Allah. Sesiapa yang mengasihi seorang bapa, mengasihi anak bapa itu juga. 2Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah: Kita mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya. 3 Apabila kita mentaati perintah Allah, maka kita mengasihi Allah. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita, 4kerana setiap anak Allah dapat mengalahkan dunia ini. Kita mengalahkan dunia ini dengan iman kita. 5Siapakah dapat mengalahkan dunia ini? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah.
Kesaksian tentang Yesus Kristus
6Yesus Kristuslah yang datang ke dunia dengan air baptisan-Nya dan dengan darah kematian-Nya. Dia datang bukan dengan air sahaja, tetapi dengan air dan darah. Roh Allah sendiri memberikan kesaksian bahawa hal itu benar, kerana Roh tidak pernah berdusta. 7Ada tiga saksi: 8Roh Allah, air dan darah; dan ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama. 9Kita percaya kepada kesaksian manusia; tetapi kesaksian Allah lebih kuat lagi. Itulah kesaksian yang diberikan oleh Allah tentang Anak-Nya. 10Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Anak Allah, mempunyai kesaksian itu di dalam hatinya. Tetapi sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, menjadikan Allah pendusta, kerana orang itu tidak percaya kepada apa yang difirmankan Allah tentang Anak-Nya. 11 Inilah kesaksian itu: Allah sudah memberi kita hidup sejati dan kekal, dan hidup itu berasal daripada Anak-Nya. 12Sesiapa yang mempunyai Anak Allah, mempunyai hidup itu; dan sesiapa yang tidak mempunyai Anak Allah, tidak mempunyai hidup itu.
Hidup Sejati dan Kekal
13Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada Anak Allah, supaya kamu tahu bahawa kamu sudah mempunyai hidup sejati dan kekal. 14Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya. 15Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apa yang kita minta daripada-Nya.
16Jika kamu melihat seorang saudara seiman melakukan dosa yang tidak mengakibatkan orang itu kehilangan hidup sejati dan kekal, hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya memberi dia hidup itu. Hal ini berkenaan dengan orang yang dosa mereka tidak mengakibatkan mereka kehilangan hidup itu. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan orang kehilangan hidup itu. Aku tidak berkata bahawa kamu harus berdoa kepada Allah tentang hal itu. 17Semua perbuatan salah itu dosa, tetapi ada dosa yang tidak mengakibatkan orang kehilangan hidup sejati dan kekal.
18Kita tahu bahawa tidak seorang pun daripada anak-anak Allah terus-menerus berbuat dosa, kerana Anak Allah melindunginya dan Iblis tidak dapat berbuat apa-apa terhadapnya.
19Kita tahu bahawa kita milik Allah, meskipun seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.
20Kita tahu bahawa Anak Allah sudah datang dan sudah memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Allah yang benar. Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yang benar, dan inilah hidup sejati dan kekal.
21Anak-anakku, jauhkanlah diri kamu daripada berhala!
Currently Selected:
1 YOHANES 5: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.