YouVersion Logo
Search Icon

1 KORINTUS 6

6
Membuat Tuntutan Mahkamah terhadap Saudara Seiman
1Jika seseorang di kalangan kamu bersengketa dengan saudara seiman, dia seharusnya tidak membawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah. Dia harus meminta umat Allah menyelesaikan perkara itu. 2Kamu tentu tahu bahawa umat Allah akan mengadili dunia ini! Jika kamu akan mengadili dunia ini, kamu tentu dapat mengadili perkara yang kecil. 3Kamu tentu tahu bahawa kita akan mengadili malaikat-malaikat! Oleh itu kita harus dapat mengadili perkara kehidupan sehari-hari! 4Jika timbul perkara seperti itu, adakah kamu akan mengemukakannya kepada orang yang sama sekali tidak mempunyai kedudukan di kalangan jemaah? 5Sungguh memalukan! Setidak-tidaknya tentu ada seorang di kalangan kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan persengketaan antara sesama orang Kristian. 6Tetapi sebaliknya, seorang Kristian membawa seorang saudara seiman ke mahkamah, dan meminta orang bukan Kristian menyelesaikan perkara mereka.
7Sebenarnya persengketaan di kalangan kamu yang memerlukan penyelesaian mahkamah, menunjukkan bahawa kamu tidak hidup berdasarkan ajaran Kristus. Lebih baiklah kamu diperlakukan dengan tidak adil atau dirugikan. 8Tetapi kamu sendiri yang memperlakukan orang lain dengan tidak adil, dan kamu sendiri yang merugikan orang lain. Bahkan kamu melakukannya terhadap saudara seiman! 9Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak melakukan kehendak Allah tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Janganlah tipu diri kamu sendiri. Orang yang berbuat cabul, atau yang menyembah berhala, atau yang berzina, atau yang bersemburit, 10atau yang mencuri, atau yang tamak, atau yang selalu mabuk, atau yang mengumpat orang, atau yang merompak - semua orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. 11Demikianlah keadaan beberapa orang antara kamu dahulu. Tetapi Tuhan Yesus Kristus dan kuasa Roh daripada Allah kita membersihkan kamu daripada dosa, menjadikan kamu umat Allah, dan membolehkan kamu berbaik semula dengan Allah.
Gunakanlah Tubuh Kamu untuk Memuliakan Allah
12 Mungkin seseorang berkata, “Aku dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah bagi kita. Aku pun dapat berkata bahawa aku dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi aku tidak akan membiarkan sesuatu pun memperhamba diriku. 13Seorang lain berkata, “Makanan untuk perut dan perut untuk makanan.” Betul, tetapi Allah akan meniadakan kedua-duanya. Tubuh kita tidak boleh digunakan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, dan Tuhan akan memelihara tubuh kita. 14Allah sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, demikian juga Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.
15Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu anggota tubuh Kristus. Oleh itu, bolehkah aku mengambil anggota tubuh Kristus lalu menjadikannya anggota tubuh seorang pelacur? Sekali-kali tidak! 16 Atau mungkinkah kamu tidak tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur, menjadi satu dengan pelacur itu? Di dalam Alkitab tertulis dengan jelas, “Kedua-duanya menjadi satu.” 17Tetapi seseorang yang menyatukan diri dengan Tuhan, roh orang itu menjadi satu dengan Roh Tuhan.
18Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan cabul. Semua dosa lain yang dilakukan orang, tidak dilakukan terhadap tubuh mereka. Tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul, berdosa terhadap tubuhnya sendiri! 19 Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah. Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. 20Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah.

Currently Selected:

1 KORINTUS 6: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in