YouVersion Logo
Search Icon

1 KORINTUS 2

2
Berita tentang Kristus yang Disalibkan
1Saudara-saudaraku! Semasa aku datang kepada kamu untuk memberitakan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia, aku tidak menggunakan kebijaksanaan dunia ini ataupun kata-kata yang susah difahami. 2Aku berbuat demikian kerana ketika aku bersama-sama kamu, aku mengambil keputusan untuk memberitakan Yesus Kristus sahaja, terutama kematian-Nya pada kayu salib. 3 Oleh itu, ketika aku datang kepada kamu, aku lemah dan gementar kerana ketakutan. 4Aku tidak mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik itu dengan kata-kata menurut kebijaksanaan manusia. Tetapi aku menyampaikannya dengan cara yang membuktikan bahawa Roh Allah berkuasa. 5Oleh itu, kepercayaan kamu kepada Kristus tidak berdasarkan kebijaksanaan manusia, tetapi berdasarkan kuasa Allah.
Kebijaksanaan Allah
6Walaupun demikian, aku juga berkata-kata tentang kebijaksanaan kepada mereka yang mempunyai kehidupan rohani yang matang. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia ini, ataupun kebijaksanaan roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini. Kekuasaan roh-roh itu akan lenyap. 7Kebijaksanaan yang aku sampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah. Kebijaksanaan itu tidak diketahui oleh umat manusia, tetapi Allah sudah menyediakannya untuk kebahagiaan kita, sebelum Dia menjadikan dunia ini. 8Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalibkan Tuhan yang mulia. 9 Tetapi seperti yang tertulis di dalam Alkitab,
“Apa yang belum pernah dilihat atau didengar,
atau terlintas dalam fikiran manusia,
itulah yang disediakan oleh Allah untuk orang yang mengasihi Dia.”
10Tetapi melalui Roh-Nya, Allah menyatakan rancangan-Nya kepada kita. Roh Allah menyelidiki segala sesuatu, bahkan rancangan Allah yang paling tersembunyi sekalipun. 11Sebagaimana roh seseorang mengetahui isi hati orang itu, begitu juga hanya Roh Allah mengetahui segala sesuatu tentang Allah. 12Kita tidak menerima roh dunia ini, tetapi kita menerima Roh Allah, supaya kita mengetahui semua yang telah dikurniakan Allah kepada kita.
13Oleh itu, ketika kami menjelaskan hal-hal tentang Allah kepada orang yang mempunyai Roh Allah, kami tidak berkata-kata menurut kebijaksanaan manusia, tetapi menurut ajaran Roh Allah. 14Sesiapa yang tidak mempunyai Roh Allah, tidak dapat menerima kurnia daripada Roh Allah, kerana orang seperti itu tidak dapat memahaminya dan menganggapnya suatu kebodohan sahaja. Kurnia daripada Roh Allah hanya dapat dinilai secara rohani. 15Sesiapa yang mempunyai Roh Allah dapat menilai segala sesuatu, tetapi tiada seorang pun dapat menilai orang itu. 16 Di dalam Alkitab tertulis,
“Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan?
Siapakah yang dapat menasihati Dia?”
Tetapi kita mempunyai fikiran Kristus!

Currently Selected:

1 KORINTUS 2: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in