YOHANES 4
4
Yesus dan Wanita Samaria
1Orang Farisi mendengar bahawa Yesus mendapat dan membaptis lebih ramai pengikut daripada Yohanes. ( 2Sebenarnya Yesus tidak membaptis sesiapa pun melainkan para pengikut-Nya yang melakukan hal itu.) 3Apabila Yesus tahu bahawa orang Farisi sudah mendengar hal itu, Dia meninggalkan Yudea lalu kembali ke Galilea. 4Dalam perjalanan-Nya ke sana Yesus harus melalui Samaria.
5 Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. 6-8Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.
Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.”
9 Wanita Samaria itu menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?” (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.)
10Yesus menjawab, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.”
11“Tuan,” kata wanita itu, “tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? 12Nenek moyang kami, Yakub, memberikan perigi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?”
13Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; 14tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.”
15Wanita itu berkata, “Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air.”
16Yesus menjawab, “Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.”
17Wanita itu menjawab, “Saya tidak bersuami.”
Lalu Yesus berkata, “Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. 18Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.”
19Wanita itu berkata, “Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi. 20Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.”
21Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. 22Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. 23Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa. 24Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.”
25Wanita itu berkata kepada Yesus, “Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.”
26Yesus menjawab, “Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.”
27Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, “Mahu apa?” atau bertanya kepada Yesus, “Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?”
28Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar. 29Dia berkata, “Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?” 30Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus.
31Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, “Guru, silalah makan!”
32Tetapi Yesus menjawab, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.”
33Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, “Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?”
34Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku. 35Kamu berkata, ‘Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.’ Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai! 36Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama. 37Benarlah pepatah ini: ‘Yang seorang menanam, yang lain menuai.’ 38Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.”
39Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, “Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.” 40Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari.
41Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya. 42Mereka berkata kepada wanita itu, “Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.”
Yesus Menyembuhkan Anak Lelaki Pegawai Kerajaan
43Setelah Yesus tinggal di sana selama dua hari, Dia pergi ke Galilea. 44 Yesus berkata, “Seorang nabi tidak dihormati di negerinya sendiri.” 45 Apabila Dia tiba di Galilea, orang di sana menyambut Dia. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada Perayaan Paska.
46 Kemudian Yesus kembali ke Kana di Galilea, tempat Dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai kerajaan; anak lelakinya sedang sakit di Kapernaum. 47Apabila dia mendengar bahawa Yesus telah datang ke Galilea dari Yudea, dia pergi menjumpai Yesus. Dia meminta Yesus pergi ke Kapernaum dan menyembuhkan anaknya yang hampir meninggal. 48Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang luar biasa, kamu tidak percaya.”
49Pegawai itu menjawab, “Tuan, marilah pergi dengan saya sekarang, sebelum anak saya meninggal.”
50Lalu Yesus berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.”
Orang itu percaya kepada kata-kata Yesus lalu pergi. 51Dalam perjalanannya ke rumah, hamba-hamba orang itu menjumpai dia, dan berkata bahawa anak lelakinya sudah sembuh.
52Lalu pegawai itu bertanya pukul berapa anaknya mula sembuh. Mereka menjawab, “Kelmarin pada pukul satu petang demamnya hilang.” 53Bapa anak itu teringat bahawa pada masa itu Yesus berkata kepadanya, “Anakmu akan sembuh.” Lalu dia dan keluarganya percaya kepada Yesus.
54Inilah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus di Galilea setelah Dia datang dari Yudea.
Currently Selected:
YOHANES 4: BMDC
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.