YouVersion Logo
Search Icon

HAGAI 1

1
Perintah TUHAN untuk Membina Semula Rumah TUHAN
1 Pada tahun kedua pemerintahan Darius sebagai raja Persia, pada hari pertama bulan keenam, TUHAN berfirman melalui Nabi Hagai. Perkhabaran TUHAN itu ditujukan kepada Zerubabel anak Sealtiel, gabenor Yehuda, dan juga kepada Imam Agung Yosua anak Yozadak.
2TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada Hagai, “Bangsa ini berkata bahawa belum masanya untuk membina semula Rumah-Ku.” 3Kemudian dengan perantaraan Nabi Hagai, TUHAN berfirman kepada umat-Nya, 4“Hai umat-Ku, mengapa kamu tinggal di dalam rumah mewah, sedangkan Rumah-Ku masih reruntuhan? 5Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kamu! 6Kamu sudah menabur banyak benih, namun tuaian kamu sedikit. Kamu mempunyai makanan, tetapi tidak cukup untuk mengenyangkan kamu. Kamu mempunyai wain, tetapi tidak cukup untuk memuaskan hati. Kamu mempunyai pakaian, tetapi tidak cukup untuk memanaskan badan. Upah yang diterima kaum buruh tidak cukup untuk menyara hidup mereka. 7Tidakkah kamu sedar mengapa segala perkara itu berlaku? 8Sekarang, naiklah ke bukit-bukit untuk mengambil kayu balak, lalu binalah semula Rumah-Ku. Maka Aku akan berkenan kepada kamu, dan Aku akan disembah lagi dengan cara yang sepatutnya.
9Kamu mengharapkan tuaian banyak, tetapi yang kamu dapat sedikit sekali. Apabila kamu membawa tuaian itu pulang, Aku meniupnya sehingga habis dibawa angin. Mengapa Aku melakukan hal itu? Aku melakukannya kerana Rumah-Ku masih reruntuhan, sedangkan kamu semua sibuk membina rumah masing-masing. 10Itulah sebabnya hujan tidak turun sehingga tiada tanaman yang dapat tumbuh. 11Aku sudah mendatangkan kemarau ke negeri ini sehingga bukit, ladang gandum, ladang anggur, kebun zaitun dan segala tumbuhan di negeri ini menjadi kering. Manusia, haiwan, dan segala tanaman kamu ditimpa kemarau.”
Umat Israel Mentaati Perintah TUHAN
12Kemudian Zerubabel dan Yosua serta segenap umat Israel yang sudah kembali dari pembuangan di Babilonia, mentaati kata-kata Nabi Hagai, utusan TUHAN itu. Mereka melakukan apa yang diperintahkan TUHAN kepada mereka, kerana mereka takut akan TUHAN. 13Kemudian Hagai menyampaikan firman TUHAN kepada mereka bahawa TUHAN sudah berjanji akan menyertai mereka. 14Demikianlah TUHAN menggerakkan hati Zerubabel, gabenor Yehuda itu, Imam Agung Yosua, dan semua orang yang sudah kembali dari pembuangan supaya membina Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah mereka. 15Mereka mula bekerja pada hari kedua puluh empat bulan keenam dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius.

Currently Selected:

HAGAI 1: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

Video for HAGAI 1