2 SAMUEL 5
5
Raja Daud Menjadi Raja Israel dan Yehuda
(1 Taw 11.1-9, 14.1-7)
1Kemudian semua suku Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Mereka berkata kepada baginda, “Kami ini kerabat tuanku. 2Sejak dahulu, bahkan ketika Raja Saul masih raja kami, tuanku telah pun memimpin tentera Israel berperang. TUHAN juga sudah berjanji kepada tuanku bahawa tuanku akan memimpin umat-Nya dan menjadi raja mereka.” 3Demikianlah semua pemimpin Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Raja Daud mengadakan perjanjian dengan mereka, lalu mereka melantik baginda menjadi raja Israel. 4Raja Daud berusia tiga puluh tahun ketika menjadi raja, dan baginda memerintah selama empat puluh tahun. 5 Baginda memerintah di Hebron sebagai raja Yehuda selama tujuh tahun setengah, dan di Yerusalem sebagai raja seluruh Israel dan Yehuda selama tiga puluh tiga tahun.
6 Pada suatu hari Raja Daud dan anak buah baginda berangkat untuk menyerang Yerusalem. Orang Yebusi yang tinggal di situ menyangka bahawa Raja Daud tidak sanggup mengalahkan kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Engkau tidak sekali-kali dapat masuk ke sini. Bahkan orang buta dan tempang pun dapat mengusir engkau.” ( 7Tetapi Raja Daud benar-benar dapat merampas Sion, kubu pertahanan mereka. Sejak itulah kubu itu dinamakan “Kota Daud.”)
8Pada hari itu Raja Daud bertitah kepada anak buahnya, “Adakah sesiapa di sini yang membenci orang Yebusi seperti beta membenci mereka? Cukup bencikah dia sehingga dia ingin sekali membunuh mereka? Jika begitu, masuklah melalui saluran air dan seranglah orang buta dan orang tempang yang beta benci itu.” (Itulah sebabnya orang berkata, “Orang buta dan orang tempang dilarang masuk ke dalam Rumah TUHAN.”)
9Setelah Raja Daud merampas kubu Sion, baginda tinggal di situ dan menamakannya “Kota Daud.” Baginda membina kota di sekeliling kubu itu, bermula dari sebelah timur bukit yang ditimbusi tanah. 10Raja Daud semakin lama semakin kuat kerana TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa menolong baginda.
11Raja Hiram, dari negeri Tirus, mengutus duta-dutanya kepada Raja Daud. Raja Hiram memberi Raja Daud kayu sedar, tukang-tukang kayu, dan tukang-tukang batu untuk membina istana. 12Oleh itu Raja Daud sedar bahawa TUHAN telah mengukuhkan diri baginda sebagai raja Israel, dan telah menjadikan kerajaan baginda makmur untuk kepentingan umat TUHAN.
13Setelah Raja Daud pindah dari Hebron ke Yerusalem, baginda mempunyai lebih banyak lagi isteri dan gundik, serta putera dan puteri. 14Inilah putera-putera Raja Daud yang dilahirkan di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo, 15Yibhar, Elisua, Nefeg, Yafia, 16Elisama, Elyada, dan Elifelet.
Kemenangan terhadap Orang Filistin
(1 Taw 14.8-17)
17Apabila orang Filistin mengetahui bahawa Raja Daud telah dilantik menjadi raja Israel, tentera mereka keluar untuk menangkap baginda. Tetapi apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda pergi berlindung di sebuah tempat yang berkubu. 18Orang Filistin tiba di Lembah Refaim dan menduduki lembah itu. 19Raja Daud bertanya kepada TUHAN, “Haruskah aku menyerang orang Filistin? Adakah Engkau akan memberi aku kemenangan?”
“Seranglah!” jawab TUHAN. “Aku akan memberi engkau kemenangan.”
20Oleh itu Daud pergi ke Baal-Perasim dan mengalahkan orang Filistin. Baginda bertitah, “TUHAN sudah merempuh pertahanan musuh beta, seperti banjir melanda segala sesuatu dalam seketika.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Baal-Perasim. 21Apabila orang Filistin lari dari situ, mereka meninggalkan patung-patung berhala mereka. Kemudian Raja Daud dan anak buahnya mengambil patung-patung itu.
22Tidak lama kemudian orang Filistin kembali ke Lembah Refaim dan menduduki tempat itu lagi. 23Sekali lagi Raja Daud bertanya kepada TUHAN. TUHAN menjawab, “Jangan serang mereka dari sini. Tetapi berjalanlah mengelilingi tempat ini dan seranglah mereka dari belakang, dekat pokok-pokok kertau. 24Apabila engkau mendengar bunyi seperti derap orang berbaris di puncak pokok-pokok itu, mulakan serangan kerana Aku akan berjalan di hadapanmu untuk mengalahkan tentera Filistin.” 25Raja Daud menurut perintah TUHAN dan baginda berjaya mengalahkan orang Filistin dari Geba sampai ke Gezer.
Currently Selected:
2 SAMUEL 5: BMDC
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.