YouVersion Logo
Search Icon

2 MAKABE 8

8
Yudas Makabe Memberontak
(1 Mak 3.1-26)
1Yudas Makabe dan para pengikutnya dengan diam-diam menyusup ke kampung-kampung. Mereka memanggil kaum kerabat mereka dan mengumpulkan lebih kurang 6,000 orang Yahudi yang tetap setia kepada agama mereka. 2Mereka memohon kepada Tuhan supaya Dia menolong umat-Nya yang sekarang ditindas oleh semua bangsa, dan untuk mengasihani Rumah-Nya yang dicemarkan oleh orang jahat, 3dan juga supaya Dia berbelas kasihan pada kota Yerusalem yang sudah dimusnahkan dan hampir diratakan dengan tanah, dan mendengarkan teriakan orang yang dibunuh. 4Mereka mohon juga supaya Tuhan menunjukkan kebencian-Nya terhadap yang jahat dengan membalas perbuatan orang yang mengutuk Allah dan dengan kejam membunuh bayi-bayi yang tidak bersalah.
5Sesudah Yudas mengatur pasukannya, bangsa-bangsa lain tidak dapat mengalahkan dia kerana kemurkaan Tuhan terhadap Israel sudah berubah menjadi belas kasihan. 6-7Yudas melancarkan serangannya dengan tiba-tiba, dan biasanya dia lebih berjaya pada waktu malam. Kampung-kampung dan kota-kota dibakarnya, tempat-tempat yang strategik direbutnya, dan banyak musuh dipaksanya lari. Yudas menjadi termasyhur di mana-mana kerana keberaniannya.
Nikanor Dikirim untuk Melawan Yudas
8Apabila Filipus, gabenor Yudea, melihat bahawa Yudas semakin maju dan semakin sering mendapat kemenangan, dia menulis surat kepada Ptolemeus, gabenor Siria Besar, dan Fenisia supaya datang membela kepentingan kerajaan. 9Ptolemeus dengan segeranya melantik Nikanor anak Patroklus, seorang daripada kalangan sahabat raja yang utama. Nikanor disuruh memimpin sebuah pasukan tentera yang terdiri daripada 20,000 orang daripada berbagai-bagai bangsa untuk memusnahkan seluruh bangsa Yahudi. Ptolemeus juga melantik Gorgias, panglima yang mempunyai banyak pengalaman perang supaya ikut bersama. 10Raja Antiokhus harus membayar cukai 68,500 kilogram perak kepada orang Roma, dan Nikanor bercadang untuk membayarnya dengan menjual tawanan perang Yahudi sebagai hamba. 11Maka dia dengan segera mengirimkan berita ke kota-kota di pesisir bahawa mereka dapat membeli hamba-hamba Yahudi dengan harga kurang daripada satu kilogram perak bagi seorang. Dia tidak tahu bahawa dia akan ditimpa hukuman Allah Yang Maha Kuasa.
Yudas Mendengar tentang Rancangan Nikanor
12Yudas mendapat khabar bahawa Nikanor dan pasukannya sudah berangkat menuju ke Yerusalem. Yudas mengumumkan kepada anak buahnya bahawa tentera musuh sudah dekat. 13Lalu orang yang pengecut dan yang tidak percaya kepada keadilan Allah lari meninggalkan tempat itu. 14Yang lain menjual segala yang masih ada pada mereka lalu bersama-sama berdoa kepada Tuhan supaya Dia menyelamatkan mereka daripada Nikanor penjahat itu, yang sudah pun menjual mereka sebelum pertempuran bermula. 15Mereka memohon, sekiranya Tuhan tidak mahu bertindak demi mereka sendiri, maka Dia menyelamatkan mereka demi perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang mereka dan kerana Dia, Allah Yang Agung dan Mulia, telah memilih mereka menjadi umat-Nya. 16Lalu Yudas mengumpulkan anak buahnya sebanyak 6,000 orang dan memberi semangat kepada mereka supaya jangan cemas atau takut melihat banyak orang asing yang datang berperang melawan mereka tanpa alasan. Sebaliknya, mereka harus berjuang dengan gagah berani, 17dan tidak lupa bagaimana bangsa asing telah berbuat jahat terhadap Rumah Tuhan, mencemuh dan menyengsarakan kota Yerusalem dan menghapuskan adat istiadat nenek moyang. 18Kata Yudas, “Mereka bergantung kepada senjata dan keberanian mereka. Tetapi kita menaruh kepercayaan kepada Allah Yang Maha Kuasa yang dapat membinasakan bukan sahaja pasukan musuh itu, bahkan seluruh dunia dengan hanya satu anggukan kepala-Nya.”
19Kemudian Yudas mengingatkan mereka akan segala pertolongan Tuhan pada zaman leluhur mereka, misalnya pada masa Sanherib, ketika 185,000 orang musuh dibinasakan; 20dan dalam pertempuran melawan orang Galatia di Babilonia yang melibatkan 8,000 orang Yahudi yang telah menolong 4,000 orang Makedonia. Ketika orang Makedonia terhimpit, 8,000 orang itu membunuh 120,000 orang Galatia dan mendapat banyak barang rampasan perang. Mereka berjaya kerana pertolongan Allah.
Yudas Mengalahkan Nikanor
(1 Mak 3.55—4.27)
21Kata-kata Yudas meneguhkan hati anak buahnya, sehingga mereka bersedia mati untuk agama dan tanah air. Lalu Yudas membahagikan tenteranya menjadi empat bahagian, 22setiap bahagian berjumlah lebih kurang 1,500 orang, diketuai oleh dia sendiri dan saudara-saudaranya, iaitu Simon, Yusuf, dan Yonatan. 23Dia menyuruh Eleazar membacakan Kitab Suci dan kemudian memberi semboyan ini, “Dengan pertolongan Allah”. Lalu dia sendiri memimpin bahagian pertama melawan Nikanor.
24Allah Yang Maha Kuasa ada di pihak mereka. Oleh itu mereka berjaya membunuh lebih daripada 9,000 orang tentera musuh dan mencederakan sebahagian besar tentera Nikanor. Lalu seluruh tentera Nikanor dipaksa lari. 25Mereka juga merampas wang orang yang datang untuk membeli mereka sebagai hamba. Lalu mereka mengejar musuh hingga jauh tetapi mereka harus kembali kerana waktu tidak mengizinkan. 26Maklumlah ketika itu hampir malam Sabat. 27Sesudah mengumpulkan senjata dan merampas perlengkapan musuh, mereka merayakan Sabat. Mereka memuji-muji Tuhan dan bersyukur kepada-Nya kerana Dia telah melindungi mereka hingga hari itu dan sudah mula menunjukkan belas kasihan-Nya kepada mereka. 28Selepas hari Sabat, sebahagian daripada barang rampasan dibahagi-bahagikan kepada mangsa-mangsa penganiayaan, para janda, dan yatim piatu. Sisanya dibahagi-bahagikan kepada sesama mereka dan keluarga mereka. 29Kemudian mereka bersama-sama berdoa dan memohon kepada Tuhan Yang Maha Pemurah supaya Dia berdamai sepenuhnya dengan hamba-hamba-Nya.
Yudas Mengalahkan Timotius dan Bakhides
30Dalam pertempuran melawan tentera Timotius dan Bakhides, orang Yahudi membinasakan lebih daripada 20,000 orang pasukan musuh. Mereka merebut beberapa buah kubu yang tinggi dan mendapat banyak barang rampasan yang dibahagikan mereka dalam bahagian-bahagian yang sama; sebahagian untuk mereka sendiri, dan sebahagian lagi untuk para janda, yatim piatu, orang tua, dan mangsa-mangsa penganiayaan. 31Semua senjata musuh dikumpulkan dengan saksama, dan disimpan di tempat yang strategik, sedangkan barang rampasan yang lainnya dibawa ke Yerusalem. 32Mereka juga membunuh komandan tentera Timotius, iaitu orang yang sangat jahat, yang telah mendatangkan banyak kesusahan terhadap orang Yahudi. 33Dalam perayaan kemenangan yang diadakan di tanah air mereka, orang Yahudi membakar beberapa orang yang telah membakar pintu-pintu gerbang Rumah Tuhan. Kalistenes yang telah melarikan diri ke sebuah rumah kecil juga turut terbakar. Dengan demikian dia mendapat hukuman yang setimpal dengan kejahatannya.
34Dengan cara itu Nikanor, orang keparat yang membawa seribu orang saudagar untuk membeli orang Yahudi, 35dengan pertolongan Tuhan dikalahkan oleh orang yang dipandangnya sangat hina. Dia menanggalkan pakaian kebesarannya dan melarikan diri seperti hamba pelarian. Dengan melalui jalan-jalan di pedalaman dia sampai di Antiokhia. Dia dapat melepaskan diri sedangkan seluruh tenteranya dibinasakan. 36Orang itu yang berusaha untuk membayar cukai kepada Roma dengan menjual penduduk Yerusalem, memberitakan bahawa orang Yahudi mempunyai Allah Yang Maha Kuasa sebagai Pembela, dan bahawa mereka tidak dapat dikalahkan kerana mentaati hukum-hukum yang ditetapkan Allah.

Currently Selected:

2 MAKABE 8: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in