YouVersion Logo
Search Icon

AMSAL 6

6
Nasihat-Nasihat Lain
1Anakku, jika kamu berjanji menjamin hutang orang lain, 2maka kamu terikat oleh kata-katamu atau terjerat oleh janjimu sendiri. 3Kalau begitu anakku, kamu sudah dalam kuasa orang itu. Tetapi inilah caranya kamu dapat melepaskan diri: pergilah segera kepadanya dan mohonlah dia membebaskan kamu. 4Jangan tidur ataupun rehat sebelum kamu berbuat demikian. 5Selamatkanlah dirimu daripada perangkap itu seperti burung atau kijang melepaskan diri daripada pemburu.
6Orang yang malas harus belajar daripada cara hidup semut. 7Semut tidak mempunyai pemimpin, atau ketua, ataupun penguasa, 8tetapi semut menyimpan makanan pada musim menuai sebagai persediaan semasa tidak ada makanan. 9Berapa lamakah orang malas hendak berbaring? Bilakah dia akan bangun? 10Dia berkata, “Aku hendak tidur sekejap saja. Aku hendak berpangku tangan dan berehat sebentar.” 11 Tetapi sementara dia tidur, dia akan ditimpa kemiskinan yang datang seperti perompak yang bersenjata.
12Orang yang jahat dan tidak berguna membohong di sana sini. 13Mereka mengenyitkan mata dan memberikan isyarat untuk menipu kamu, 14sementara merancang kejahatan dalam fikiran mereka yang sesat. Mereka menimbulkan kekacauan di merata tempat. 15Kerana perbuatan mereka itu, bencana akan menimpa mereka dengan mengejut, dan mereka akan dihancurkan sama sekali.
16-19Ada tujuh perkara yang dibenci oleh TUHAN dan tidak dapat dibiarkan-Nya:
sikap yang sombong,
mulut yang membohong,
tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah,
fikiran yang merancang hal-hal jahat,
kaki yang bergegas menuju kejahatan,
saksi yang terus-menerus berdusta,
dan orang yang menyebabkan perkelahian antara sahabat.
Amaran tentang Zina
20Hai anakku, lakukanlah perintah bapamu, dan jangan lupakan ajaran ibumu. 21Ingatlah dan simpanlah kata-kata mereka dalam hatimu. 22Ajaran mereka akan memimpin kamu dalam perjalanan, melindungi kamu pada waktu malam, dan menasihati kamu pada waktu siang. 23Petunjuk mereka bagaikan lampu yang terang, dan teguran mereka menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu. 24Dengan demikian kamu dijauhkan daripada perempuan jalang dan daripada pujukan isteri orang lain. 25Jangan kamu tergoda oleh kecantikan mereka, atau terpikat oleh kerlingan mata mereka. 26Pelacur dapat kamu bayar dengan harga sebuku roti sahaja, tetapi berzina dengan isteri orang lain harus kamu bayar dengan nyawa.
27Jika kamu memangku api, pakaianmu terbakar. 28Jika kamu berjalan di atas bara api, kakimu terbakar. 29Demikian juga bahayanya jika seorang lelaki tidur dengan isteri orang lain. Sesiapa yang melakukan hal itu akan menanggung akibatnya. 30Orang tidak menghina pencuri yang mencuri makanan kerana lapar; 31walaupun demikian, jika pencuri itu tertangkap, dia mesti menggantinya tujuh kali ganda dan dia mesti menyerahkan segala miliknya. 32Tetapi seorang lelaki yang berzina sangat bodoh. Lelaki itu membinasakan dirinya sendiri. 33Dia akan dihina dan dipukul orang. Dia akan dipermalukan selama-lamanya. 34Seorang suami paling marah apabila dia cemburu. Dendamnya tidak mengenal batas. 35Dia tidak mahu menerima ganti rugi; pemberian sebanyak apa pun tidak dapat meredakan kemarahannya.

Currently Selected:

AMSAL 6: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in