AMSAL 2
2
Faedah Memiliki Hikmat
1Hai anakku, terimalah apa yang aku ajarkan dan jangan lupa akan perintahku. 2Dengarlah apa yang bijaksana dan cubalah memahaminya. 3Ya, mohonlah dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat pengetahuan dan mintalah pengertian. 4Carilah perkara itu seperti mencari perak dan harta terpendam. 5Barulah kamu akan tahu maknanya takut kepada TUHAN, dan kamu akan mendapat pengetahuan tentang Allah. 6TUHANlah yang memberikan hikmat. Pengetahuan dan pengertian berasal daripada-Nya. 7Dia memberikan pertolongan dan perlindungan kepada orang yang tulus hati dan jujur. 8Dia melindungi orang yang berlaku adil, dan mengawal orang yang setia kepada-Nya.
9Jika kamu mendengar nasihatku, kamu akan tahu apa yang benar, adil, dan tidak berat sebelah. Kamu akan tahu apa yang harus kamu buat. 10Kamu akan menjadi bijaksana, dan pengetahuanmu akan menyukakan hatimu. 11Pengertian dan kecerdasanmu akan melindungimu, 12serta mencegah kamu daripada melakukan perbuatan yang salah, dan juga menjauhkan dirimu daripada orang yang bercakap bohong. 13Orang seperti itu telah meninggalkan cara hidup yang baik, dan mengambil jalan gelap yang penuh dengan dosa. 14Mereka mendapat keseronokan daripada perbuatan yang salah dan jahat. 15Mereka tidak dapat diharap dan tidak dapat dipercayai.
16Kamu akan dapat menolak godaan perempuan jalang yang berusaha untuk memikat kamu dengan kata-kata manis. 17Perempuan itu tidak setia kepada suaminya, dan telah melupakan janjinya kepada Allah. 18Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke arah maut. Pergi ke sana sama seperti pergi ke dunia orang mati. 19Orang yang melawat perempuan itu tidak pernah kembali ke jalan yang menuju kehidupan. 20Oleh itu, haruslah kamu ikut teladan orang baik, dan hendaklah kamu hidup menurut kehendak Allah. 21Orang yang hidup menurut kehendak Allah, iaitu orang yang tulus hati akan hidup di negeri yang dijanjikan Allah. 22Tetapi orang jahat dan berdosa akan dilempar keluar dari negeri itu oleh Allah, seperti rumput dicabut dari tanah.
Currently Selected:
AMSAL 2: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.