YouVersion Logo
Search Icon

Filipi 3:12-21

Filipi 3:12-21 AVB

Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Kristus Yesus. Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus. Oleh itu, semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apa pun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu. Tetapi setakat yang telah kita capai, marilah kita menempuhnya demikian juga. Saudara-saudara, bersatulah menurut teladanku, dan perhatikan mereka yang hidup selaras dengan teladan yang kami berikan. Kerana, seperti yang sudah sering kukatakan kepadamu, dan sekarang kukatakan lagi dengan tangisku, ramai orang hidup sebagai seteru kepada salib Kristus. Kesudahan mereka adalah kebinasaan, tuhan mereka adalah perut mereka, kemuliaan mereka adalah dalam keaiban mereka. Mereka menumpukan fikiran kepada perkara dunia. Tetapi kewargaan kita adalah di syurga, dari situ kita menanti-nantikan Penyelamat, Tuhan Yesus Kristus. Dia akan mengubah tubuh kita yang hina ini supaya serupa dengan tubuh-Nya yang mulia, melalui kuasa-Nya yang dapat menaklukkan segalanya kepada diri-Nya.