Bilangan 9
9
Peraturan tentang Perayaan Paskah
1 # Kel 12:1-13. Dalam bulan pertama pada tahun kedua setelah keluarnya orang Israel dari Tanah Mesir, TUHAN berfirman kepada Musa di Gurun Sinai, 2“Hendaklah orang Israel merayakan Paskah pada waktu yang sudah ditetapkan. 3Rayakanlah pada waktu yang ditetapkan, iaitu pada waktu senja pada hari keempat belas bulan ini, menurut segala ketetapan dan peraturannya.” 4Maka Musa menyuruh orang Israel merayakan Paskah. 5Maka orang Israel merayakan Paskah pada waktu senja hari keempat belas dalam bulan pertama, di Gurun Sinai sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
6Namun demikian, ada beberapa orang yang bernajis kerana telah menyentuh mayat lantas mereka tidak dapat merayakan Paskah pada hari itu. Maka datanglah mereka menghadap Musa dan Harun pada hari itu juga 7lalu berkata kepada Musa, “Kami memang bernajis kerana telah menyentuh mayat, tetapi mengapa kami dicegah untuk mempersembahkan persembahan kepada TUHAN dalam kalangan orang Israel pada waktu yang ditetapkan?”
8Jawab Musa kepada mereka, “Tunggulah dahulu, aku akan mendengar apa yang diperintahkan TUHAN mengenai kamu.”
9Maka berfirmanlah TUHAN kepada Musa, 10“Katakanlah kepada orang Israel, ‘Jika ada seseorang daripada kalangan kamu atau dalam kalangan kaum kerabat kamu yang bernajis kerana menyentuh mayat atau berada dalam perjalanan jauh, hendaklah dia juga merayakan Paskah untuk TUHAN. 11Mereka harus merayakannya pada waktu senja hari keempat belas dalam bulan kedua. Hendaklah mereka makan korban Paskah dengan roti yang tidak beragi dan sayur pahit. 12#Kel 12:46; Yoh 19:36.Mereka tidak boleh meninggalkan sisa sedikit pun sampai pagi hari, dan sebatang tulang pun tidak boleh dipatahkan mereka yakni hendaklah mereka merayakan Paskah menurut segala ketetapan perayaan hari Paskah. 13Sebaliknya, jika ada orang yang tidak bernajis yang bukan dalam perjalanan namun dia lalai merayakan Paskah, maka hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya, kerana dia tidak mempersembahkan persembahan kepada TUHAN pada waktu yang ditetapkan maka perlulah dia menanggung dosanya.
14Jika seorang pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu mahu merayakan Paskah untuk TUHAN, maka hendaklah dia merayakannya menurut segala ketetapan dan peraturan Paskah. Ketetapan yang sama berkuat kuasa atas kamu semua, baik pendatang mahupun warga asli.’ ”
Awan yang melitupi Khemah Suci
15Pada hari Khemah Suci didirikan, awan melitupi Khemah Suci itu, khemah kesaksian. Pada waktu maghrib sehingga pagi hari esoknya, di atas Khemah Suci ada sesuatu yang kelihatan seperti api. 16Demikianlah selalu terjadi: Awan melitupi Khemah itu, dan pada malam hari ada sesuatu yang kelihatan seperti api. 17Apabila awan itu terangkat dari atas khemah, maka orang Israel pun berangkat, dan di mana sahaja awan itu berhenti, di situ pulalah orang Israel berkhemah. 18Maka orang Israel berangkat berpandukan firman TUHAN dan mereka juga berkhemah berpandukan firman TUHAN. Selama awan itu tetap berada di atas Khemah Suci, selama itulah mereka terus berkhemah. 19Sekalipun awan itu berhenti cukup lama di atas Khemah Suci, maka orang Israel menunaikan kewajipan mereka terhadap TUHAN dan tidak berangkat. 20Ada kalanya awan itu hanya berhenti beberapa hari di atas Khemah Suci. Jadi, berpandukan firman TUHAN mereka berkhemah dan berpandukan firman TUHAN jugalah mereka berangkat. 21Ada kalanya awan itu berhenti dari petang sampai pagi, dan ketika awan itu terangkat pada pagi harinya, mereka pun berangkat. Baik siang mahupun malam, apabila awan itu terangkat, mereka pun berangkat. 22Tidak kiralah sama ada dua hari, sebulan, atau lebih lama lagi awan itu berhenti di atas Khemah Suci, orang Israel akan tetap berkhemah dan tidak akan berangkat. Tetapi sebaliknya, apabila naik sahaja awan itu, mereka pun berangkat. 23Berpandukan firman TUHAN mereka berkhemah dan berpandukan firman TUHAN jugalah mereka berangkat. Mereka menunaikan kewajipan mereka terhadap TUHAN berpandukan firman TUHAN dengan perantaraan Musa.
Currently Selected:
Bilangan 9: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited