Imamat 22
22
Peraturan tentang persembahan korban
1TUHAN berfirman kepada Musa, 2“Katakanlah kepada Harun dan anak-anaknya agar mereka mengawasi diri terhadap persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel bagi-Ku, supaya jangan mereka mencemarkan nama-Ku yang suci. Akulah TUHAN. 3Katakanlah kepada mereka: Sesiapa pun daripada antara semua keturunanmu turun-temurun, yang dalam keadaan najis mendekati persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel untuk TUHAN, hendaklah dia disingkirkan daripada hadapan-Ku. Akulah TUHAN.
4Sesiapa pun daripada keturunan Harun yang sakit kusta atau yang mengeluarkan lelehan tidak boleh memakan persembahan-persembahan suci sebelum dia menjadi suci. Jika seseorang menyentuh sesuatu yang najis kerana mayat atau kerana orang yang keluar air maninya, 5dan jika seseorang menyentuh seekor binatang merayap yang menajiskan dia ataupun manusia yang menajiskan dia, baik apa-apa pun kenajisannya, 6maka orang itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Dia tidak boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kecuali jika dia sudah membasuh tubuhnya dengan air. 7Setelah matahari terbenam barulah dia menjadi suci, dan sesudah itu dia boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kerana itu memang makanannya. 8Dia tidak boleh memakan bangkai atau haiwan yang dikoyak-koyak binatang buas, kerana dengan demikian dia menjadi najis. Akulah TUHAN.
9Para imam wajib memegang teguh kewajipan mereka terhadap-Ku, supaya jangan mereka tanggung dosa sehubungan dengan hal itu lalu mati kerananya, iaitu atas sebab mereka mencemari kewajipan itu. Akulah TUHAN yang menyucikan mereka.
10Tiada sesiapa dalam kalangan bukan imam yang boleh memakan apa-apa persembahan suci dan begitu jugalah perantau yang menumpang kediaman imam ataupun pekerja upahannya tidak boleh memakan persembahan suci. 11Namun begitu, jika imam ada hamba dibelinya, hamba itu dan sesiapa juga yang lahir di rumah imam, boleh memakan apa yang dimakan oleh imam itu. 12Anak perempuan imam yang bersuamikan orang awam tidak boleh memakan persembahan khusus daripada segala persembahan suci. 13Namun demikian, jika anak perempuan imam itu menjadi balu atau bercerai tanpa mempunyai keturunan lalu kembali ke rumah ayahnya seperti pada masa mudanya, dia boleh makan apa yang dimakan ayahnya, tetapi semua orang awam tidak boleh memakannya.
14Jika seseorang tanpa sengaja memakan persembahan suci, maka hendaklah dia membayar ganti persembahan suci itu kepada imam dengan menambah seperlima daripada nilainya. 15Para imam tidak boleh mencemari segala persembahan suci yang dipersembahkan orang Israel kepada TUHAN, 16lantas dengan demikian mereka menyebabkan orang Israel menanggung kesalahan yang harus ditebus, apabila orang Israel itu memakan persembahan suci mereka. Akulah TUHAN yang menyucikan mereka.”
17TUHAN berfirman kepada Musa, 18“Berbicaralah kepada Harun dan anak-anaknya, dan kepada seluruh orang Israel, dan katakanlah kepada mereka, ‘Sesiapa pun dalam kalangan keturunan kaum Israel atau warga pendatang dalam kalangan orang Israel yang membawa persembahannya, baik korban nazar mahupun korban sukarela yang hendak dipersembahkannya sebagai korban bakaran kepada TUHAN, 19hendaklah dia mempersembahkan seekor haiwan jantan yang tidak bercacat cela daripada lembu, domba, atau kambing, supaya persembahan itu diterima-Nya demi kamu. 20#Ul 17:1.Kamu tidak boleh mempersembahkan apa-apa pun yang ada cacat cela kerana persembahan itu tidak akan diterima-Nya demi kamu. 21Sesiapa sahaja yang mempersembahkan korban kedamaian kepada TUHAN sama ada sebagai pembayar nazar khusus atau sebagai korban sukarela daripada kawanan lembu, kambing atau domba, maka korban itu hendaklah tidak bercacat cela, agar Dia berkenan menerimanya. Tidak boleh ada apa-apa yang cacat pun pada tubuh haiwan korbannya. 22Jangan persembahkan kepada TUHAN binatang yang buta, yang luka, yang kudung, yang ada kudis bernanah lagi busuk, atau yang berkurap, dan jangan serahkan semua itu sebagai korban bakaran di atas mazbah untuk TUHAN. 23Seekor lembu jantan atau anak domba yang terlalu panjang atau terlalu pendek anggota tubuhnya boleh kamu persembahkan sebagai persembahan sukarela, tetapi tidak sebagai korban nazar, kerana Dia tidak akan berkenan menerimanya. 24Binatang yang buah pelirnya terjepit, atau dikerat, terluka janganlah kamu persembahkan kepada TUHAN. Hal itu tidak boleh kamu lakukan di bumimu.
25Jangan menerima binatang seperti itu daripada tangan orang asing lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk bersyukur kepada Allahmu, kerana semua binatang itu rosak dan memiliki kecacatan tubuh dan Dia tidak akan berkenan menerimanya demi kamu.’ ”
26TUHAN berfirman kepada Musa, 27“Hendaklah seekor anak haiwan yakni lembu, domba, atau kambing yang baru lahir berada dengan induknya selama tujuh hari, tetapi mulai hari kelapan dan seterusnya haiwan itu sudah boleh dijadikan korban persembahan yang dibakar untuk TUHAN. 28Namun begitu, jangan sembelih seekor lembu atau domba dengan anaknya pada hari yang sama. 29Apabila kamu mempersembahkan korban syukur kepada TUHAN, hendaklah kamu mempersembahkannya sedemikian rupa agar Dia berkenan menerimanya demi kamu. 30Korban itu mesti dimakan pada hari itu juga, dan jangan tinggalkan sisa sampai pagi hari esoknya. Akulah TUHAN.
31Kamu wajib mentaati segala perintah-Ku dan mengamalkan kesemuanya. Akulah TUHAN. 32Janganlah kamu mencemarkan nama-Ku yang suci. Aku mesti disembah sebagai Yang Maha Suci di tengah-tengah orang Israel. Akulah TUHAN yang menyucikan kamu, 33yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir supaya Aku menjadi Allahmu. Akulah TUHAN.”
Currently Selected:
Imamat 22: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited