Yosua 9
9
Penipuan orang Gibeon
1Apabila berita itu sampai kepada semua raja yang tinggal di sebelah tebing barat Sungai Yordan — di pergunungan, di dataran rendah, dan di sepanjang pesisir Laut Besar sampai ke seberang Lebanon — iaitu raja bani Het, bani Amori, bani Kanaan, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus, 2bergabunglah mereka serentak dan bersatu hati untuk berperang melawan Yosua serta orang Israel.
3Akan tetapi, apabila penduduk Gibeon mendengar apa yang dilakukan Yosua terhadap Yerikho dan Ai, 4mereka pun bermuslihat menggunakan tipu helah. Mereka berpura-pura menjadi orang utusan yang membawa sekawanan keldai yang dimuatkan dengan karung usang serta kantung kulit bekas simpanan air anggur yang koyak dan bertampal-tampal. 5Kaki mereka bersarungkan kasut buruk yang juga bertampal-tampal, dan pakaian mereka juga lusuh. Segala bekalan roti mereka pun kering lagi keras. 6Lalu pergilah mereka menemui Yosua di perkhemahan di Gilgal. Kata mereka kepadanya dan kepada orang Israel, “Kami datang dari negeri yang jauh. Sekarang, ikatlah perjanjian dengan kami.”
7 # Kel 23:32; 34:12; Ul 7:2. Tetapi orang Israel berkata kepada orang Hewi itu, “Jangan-jangan kamu tinggal dekat kami. Bagaimanakah kami dapat mengikat perjanjian dengan kamu?”
8Kata mereka kepada Yosua, “Kami ini hamba-hambamu.”
Tanya Yosua kepada mereka, “Siapakah kamu ini dan dari manakah kamu datang?”
9Jawab mereka kepadanya, “Hamba-hambamu ini datang dari negeri yang amat jauh atas sebab nama TUHAN, Allahmu. Kami telah mendengar kemasyhuran-Nya, semua yang dilakukan-Nya di Mesir 10#Bil 21:21-35.dan semua yang dilakukan-Nya terhadap kedua-dua raja bani Amori di seberang Sungai Yordan, iaitu Sihon, raja Hesbon, serta Og, raja Basan, yang tinggal di Astarot. 11Oleh sebab itu para tua-tua kami dan seluruh penduduk negeri kami berkata kepada kami, ‘Ambillah bekal untuk perjalanan dan pergilah menemui mereka. Katakanlah kepada mereka, “Kami ini hamba-hambamu. Sekarang, ikatlah perjanjian dengan kami.” ’ 12Roti kami ini masih panas ketika kami ambil sebagai bekal dari rumah pada hari kami bertolak untuk menemui tuan. Sekarang, lihatlah, sudah kering dan lapuk. 13Kantung-kantung kulit bekas simpanan air anggur ini pun masih baru ketika kami isikan. Lihatlah, sekarang sudah koyak-koyak. Pakaian dan kasut kami ini menjadi lusuh akibat perjalanan yang amat jauh.”
14Maka orang Israel mengambil bekal orang itu, tetapi mereka tidak menanyakan petunjuk TUHAN. 15Kemudian Yosua berdamai dengan mereka itu dan mengikat perjanjian dengan mereka untuk membiarkan mereka hidup. Para pemimpin umat pun bersumpah kepada mereka.
16Selang tiga hari setelah mengikat perjanjian dengan kumpulan orang itu, mereka mendapat tahu bahawa orang itu jiran mereka dan tinggal berdekatan dengan mereka. 17Orang Israel pun berangkat, lalu pada hari ketiga mereka sampai di kota-kota kumpulan orang itu, iaitu Gibeon, Kefira, Beerot, dan Kiryat-Yearim. 18Orang Israel tidak menyerang orang itu kerana para pemimpin umat telah bersumpah kepada orang itu demi TUHAN, Allah Israel. Maka bersungut-sungutlah seluruh umat itu terhadap para pemimpin mereka. 19Kata para pemimpin kepada seluruh umat, “Kami telah bersumpah kepada orang itu demi TUHAN, Allah Israel, dan sekarang kita tidak dapat mengusik mereka. 20Inilah yang akan kita lakukan terhadap mereka: kita akan membiarkan mereka hidup supaya jangan kita ditimpa murka kerana sumpah yang telah kita ucapkan terhadap mereka.” 21Kata para pemimpin kepada mereka, “Biarkan mereka hidup.” Maka orang itu dijadikan pembelah kayu dan penimba air bagi seluruh umat, seperti yang ditentukan para pemimpin mengenai mereka.
22Yosua memanggil semua orang itu dan berkata kepada mereka, “Mengapa kamu memperdaya kami dengan berkata, ‘Kami ini tinggal amat jauh daripada kamu,’ padahal kamu tinggal dekat dengan kami? 23Sekarang, terkutuklah kamu! Orangmu tidak akan putus-putusnya menjadi hamba, pembelah kayu, dan penimba air bagi rumah#9:23 Atau: Bait. Allahku.”
24Jawab mereka kepada Yosua, “Kerana para hambamu ini telah diberitahukan dengan sungguh-sungguh bahawa TUHAN, Allahmu, telah memerintahkan Musa, hamba-Nya, untuk memberikan kepadamu seluruh negeri ini dan untuk memusnahkan seluruh penduduk negeri ini dari hadapanmu. Kami sangat takut kehilangan nyawa kami kerana kamu, sehingga kami melakukan hal ini. 25Sekarang, sesungguhnya kami ini ada dalam kekuasaan tuan. Perlakukanlah kami sebagaimana tuan pandang baik dan benar.” 26Demikianlah dia memperlakukan mereka dan melepaskan mereka daripada tangan orang Israel, sehingga mereka tidak dibunuh. 27Pada hari itu Yosua menjadikan mereka pembelah kayu serta penimba air bagi umat dan bagi mazbah TUHAN di tempat yang akan dipilih-Nya, dan hal itu berterusan sampai hari ini.
Currently Selected:
Yosua 9: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited