YouVersion Logo
Search Icon

Ayub 36

36
Elihu muliakan keagungan Allah
1Elihu melanjutkan kata-katanya,
2“Bersabarlah sedikit dengan aku dan aku akan menyatakan sesuatu kepadamu
kerana masih ada yang hendak kukatakan demi Allah.
3Aku akan menimba pengetahuanku dari jauh,
dan akan menyatakan Penciptaku benar.
4Sungguh, kata-kataku bukanlah dusta;
seorang yang sempurna pengetahuannya ada di depanmu.
5Ketahuilah, Allah itu perkasa tetapi tidak memandang hina sesiapa pun.
Dia perkasa, teguh kehendak-Nya.
6Dia tidak membiarkan orang fasiq hidup,
tetapi Dia memberikan keadilan kepada orang yang tertindas.
7Dia tidak mengalihkan pandangan-Nya daripada orang benar,
tetapi Dia menempatkan mereka dengan raja-raja di atas takhta untuk selama-lamanya
sehingga mereka ditinggikan.
8Jika mereka dibelenggu dengan rantai,
tertangkap oleh tali-tali kesusahan,
9maka dinyatakan-Nya kepada mereka perbuatan dan pelanggaran mereka,
bahawa mereka telah berlaku sombong.
10Dia membuka telinga mereka bagi pengajaran
dan menyuruh mereka bertaubat daripada kejahatan.
11Jika mereka mendengar dan mahu beribadat,
maka mereka akan menghabiskan hari-hari mereka dalam kemakmuran
dan tahun-tahun mereka dalam kenikmatan.
12Tetapi jika mereka tidak mendengar,
maka mereka akan dilenyapkan oleh lembing
dan putus nyawa tanpa pengetahuan.
13Orang yang berhati munafik menyimpan amarah,
mereka tidak berteriak minta tolong ketika Dia membelenggu mereka.
14Nyawa mereka putus pada masa muda,
hidup mereka berakhir dalam kalangan pelacur lelaki kuil.
15Dia melepaskan orang yang tertindas melalui penindasan mereka,
dan membuka telinga mereka melalui kesusahan.
16Dia juga memujuk engkau keluar dari dalam kesesakan
ke tempat yang lapang, tempat tiada kesusahan.
Hidangan di mejamu penuh makanan mewah.
17Tetapi engkau dipenuhi hukuman orang fasiq,
hukuman dan keadilan mencengkam engkau.
18Jangan sampai kegusaran memujuk engkau mencemuh,
janganlah besarnya tebusan menyesatkan engkau.
19Adakah kekayaanmu dapat menghindarkan engkau daripada kesesakan,
atau segenap daya kekuatanmu?
20Jangan rindukan malam hari,
ketika bangsa-bangsa dilenyapkan daripada tempat mereka.
21Berhati-hatilah, jangan berpaling kepada kejahatan,
kerana itulah yang kaupilih daripada kesusahan.
22Sesungguhnya, Allah tinggi dalam kekuatan-Nya.
Siapakah guru seperti Dia?
23Siapakah menentukan jalan bagi-Nya?
Siapakah yang dapat berkata, ‘Engkau telah berbuat zalim’?
24Ingatlah bahawa engkau harus memuliakan pekerjaan-Nya,
yang dinyanyikan oleh manusia.
25Semua orang telah melihatnya,
manusia memandangnya dari jauh.
26Sesungguhnya, Allah itu besar, tidak tercapai oleh pengetahuan kita.
Jumlah tahun-Nya tidak terdaya diselidiki.
27Dia menarik titik-titik air yang tersuling menjadi hujan daripada kabus,
28yang dicurahkan oleh awan
dan dititiskan ke atas ramai manusia.
29Siapakah yang dapat memahami perarakan awan,
dan bunyi gemuruh dari kediaman-Nya?
30Sesungguhnya, Dia memencarkan kilat-Nya di sekeliling-Nya,
dan menudungi dasar laut.
31Dengan semua itu Dia menghakimi bangsa-bangsa,
dan mengurniakan makanan dengan berlimpahan.
32Dia menyelubungi tangan-Nya dengan kilat,
dan menyuruhnya menyambar sasaran.
33Guruh-Nya menyatakan kedatangan badai,
ternakan juga menyatakannya.”

Currently Selected:

Ayub 36: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy