Ayub 24
24
Pedulikah Allah tentang kejahatan?
1“Mengapakah Yang Maha Kuasa tidak menentukan masa penghakiman?
Mengapakah kalangan yang mengenal Dia tidak melihat hari pengadilan-Nya?
2Ada orang yang memindahkan batas tanah,
mereka merampas kawanan ternak lalu menggembalanya.
3Mereka menghalau keldai anak yatim,
mengambil lembu seorang balu sebagai gadaian.
4Mereka mendorong fakir miskin dari jalan,
fakir miskin di negeri terpaksa bersembunyi bersama-sama.
5Sesungguhnya, seperti keldai liar di gurun
fakir miskin itu pergi bekerja, mencari makanan dengan rajin.
Padang gurun mengeluarkan makanan bagi anak-anak mereka.
6Mereka menuai makanan ternak di padang,
dan memetik buah yang tertinggal di kebun anggur orang fasiq.
7Dengan telanjang mereka bermalam, kerana tidak ada pakaian;
selimut pada waktu dingin pun tidak dipunyai mereka.
8Mereka basah oleh hujan pergunungan,
mereka mendakap batu kerana tidak ada perlindungan.
9Ada orang yang merampas anak yatim daripada susu ibunya,
dan mengambil gadaian daripada orang miskin
10yang terpaksa berkeliaran dengan telanjang tanpa pakaian,
dan memikul berkas-berkas gandum tetapi tetap kelaparan.
11Mereka membuat minyak di antara tembok kalangan itu,
mereka menginjak-injak tempat pemerasan anggur tetapi tetap kehausan.
12Orang mengerang dari dalam kota,
hati orang yang terluka berteriak minta tolong,
tetapi Allah tidak menuduh seorang pun berbuat salah.
13Ada orang yang menderhaka kepada cahaya;
mereka tidak mengenal jalan-jalannya
dan tidak tetap tinggal di lorong-lorongnya.
14Si pembunuh bangun pada waktu fajar,
dibunuhnya orang miskin dan orang melarat.
Pada malam hari dia berlaku seperti pencuri.
15Mata si penzina menantikan senja,
katanya, ‘Tak ada mata yang melihat aku,’
dan dia memasang selubung muka.
16Pada waktu gelap mereka membongkar rumah,
pada siang hari mereka menyembunyikan diri.
Mereka tidak mengenal cahaya.
17Bagi mereka pagi hari sama seperti bayang-bayang maut,
kerana mereka sudah terbiasa dengan kedahsyatan bayang-bayang maut.
18Mereka hanyut dengan cepat di permukaan air,
bahagian mereka terkutuk di bumi.
Tidak ada lagi yang pergi ke kebun anggur mereka.
19Kemarau dan panas menghabiskan air salji,
demikian juga alam kubur menghabiskan kalangan berdosa.
20Rahim si ibu melupakannya,
belatung melahapnya.
Dia tidak diingat lagi,
dan runtuhlah kezaliman seperti pokok.
21Dia memangsakan perempuan mandul, yang tidak beranak,
dan tidak berbuat baik kepada seorang balu.
22Tetapi Allah menyeret kalangan perkasa dengan kekuatan-Nya.
Sekalipun mereka bangkit, hidup mereka tidak terjamin.
23Allah memberi mereka keamanan yang menjadi sandaran mereka,
mata-Nya memandangi jalan-jalan mereka.
24Mereka ditinggikan sebentar lalu tidak ada lagi,
mereka direndahkan dan dikumpulkan seperti semua orang lain,
mereka dipotong seperti bulir gandum.
25Jika tidak demikian adanya, siapa dapat membuktikan aku berdusta
dan meniadakan kata-kataku?”
Currently Selected:
Ayub 24: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited