Yohanes 15
15
Pokok anggur yang benar
1“Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur. 2Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya berbuah lebih lebat lagi. 3Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu. 4Tetaplah di dalam-Ku seperti Aku di dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok anggur. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap di dalam-Ku.
5Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalammu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa. 6Sesiapa yang tidak tetap di dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar. 7Sekiranya kamu tetap di dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap di dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan. 8Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar murid-Ku.
Perintah supaya saling mengasihi
9Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku. 10Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya.
11Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu. 12#Yoh 13:34; 15:17; 1Yoh 3:23; 2Yoh 1:5.Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. 13Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya. 14Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan. 15Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu. 16Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. 17Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.”
Dunia membenci Yesus dan murid-Nya
18“Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu. 19Andainya kamu milik dunia, maka dunia akan mengasihimu seperti kepunyaannya#15:19 Atau: Anak-anaknya. sendiri. Tetapi Aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu. 20#Mat 10:24; Luk 6:40; Yoh 13:16.Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, ‘Seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga. 21Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku. 22Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka. 23Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga. 24Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku. 25#Mzm 35:19; 69:4.Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat dalam Taurat mereka: ‘Mereka membenci-Ku tanpa alasan.’
26Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku. 27Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi.
Currently Selected:
Yohanes 15: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited