Yeremia 42
42
Yeremia mengingatkan supaya jangan berpindah ke Mesir
1Kemudian semua panglima pasukan, termasuk Yohanan anak Kareah dan Azarya anak Hosaya, berserta seluruh rakyat daripada yang kecil sampai yang besar datang menghadap 2Nabi Yeremia dan berkata, “Semoga permintaan kami diperkenankan tuan. Berdoalah kepada TUHAN, Allahmu, bagi kami, semua orang yang tersisa ini. Kerana dahulu kami ramai, tetapi seperti mata tuan lihat sendiri, saki-baki kami hanya sedikit sahaja. 3Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, menyatakan kepada kami jalan yang harus kami tempuh dan hal yang harus kami lakukan.”
4Kata Nabi Yeremia kepada mereka, “Aku mendengar permintaanmu. Ya, aku akan berdoa kepada TUHAN, Allahmu, seperti yang kaukatakan. Nanti, segala firman yang TUHAN berikan sebagai jawapan untukmu akan kuberitahu kepadamu, tiada satu pun kusembunyikan daripadamu.”
5Kata mereka kepada Yeremia, “Semoga TUHAN menjadi saksi yang benar dan setia antara kita, sekiranya kami tidak bertindak tepat seperti segala firman yang akan disampaikan TUHAN, Allahmu, kepada tuan untuk kami. 6Sama ada baik mahupun buruk, kami akan mematuhi TUHAN, Allah kita, yang kepada-Nya kami mengutus tuan. Mudah-mudahan baik keadaan kami ketika kami mematuhi TUHAN, Allah kita.”
7Setelah sepuluh hari berlalu, datanglah firman TUHAN kepada Yeremia. 8Lalu Yeremia memanggil Yohanan anak Kareah dengan semua panglima pasukan yang menyertainya, juga seluruh rakyat daripada yang kecil sampai yang besar. 9Dia berkata kepada mereka, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, yang kepada-Nya kamu telah mengutus aku untuk menyampaikan permohonanmu, 10‘Jika kamu tetap tinggal di negeri ini, maka Aku akan membangunkan kamu dan tidak akan meruntuhkan kamu. Aku akan menanam kamu dan tidak akan mencabut kamu, kerana hati-Ku menyesal atas malapetaka yang telah Kudatangkan kepada kamu. 11Jangan takut kepada raja Babel yang kamu takuti itu. Jangan takut kepadanya,’ demikianlah firman TUHAN, ‘kerana Aku menyertai kamu untuk menyelamatkan dan melepaskan kamu dari tangannya. 12Aku akan mengurniakan rahmat kepadamu, sehingga dia akan mengasihani kamu dan membiarkan kamu kembali ke tanah airmu.’
13Tetapi jika kamu tidak mematuhi TUHAN, Allahmu, dengan berkata, ‘Kami tidak mahu tinggal di negeri ini,’ 14dan jika kamu berkata, ‘Tidak! Kami mahu pergi ke Tanah Mesir. Di sana kami tidak akan melihat perang, tidak akan mendengar bunyi sangkakala, dan tidak akan kekurangan makanan. Di sanalah kami hendak tinggal,’ 15maka sekarang, dengarlah firman TUHAN, wahai saki-baki orang Yehuda! Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Jika kamu sungguh membulatkan hati untuk pergi ke Mesir — pergi untuk tinggal sebagai pendatang di sana — 16maka pedang yang kamu takuti itu akan memintas kamu di Tanah Mesir. Bencana kebuluran yang kamu cemaskan itu akan mengejar kamu di Mesir. Di sanalah kamu akan mati. 17Itulah yang akan terjadi kepada semua orang yang membulatkan hati untuk pergi ke Mesir dan tinggal sebagai pendatang di sana. Mereka akan mati oleh pedang, oleh bencana kebuluran, dan oleh wabak penyakit. Tiada seorang pun daripada mereka akan tertinggal atau terselamat daripada malapetaka yang akan Kudatangkan terhadap mereka.’
18Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Sebagaimana murka-Ku dan amarah-Ku dicurahkan ke atas penduduk Yerusalem, demikianlah amarah-Ku akan dicurahkan ke atas kamu apabila kamu pergi ke Mesir. Kamu akan menjadi kutukan, kengerian, sumpahan, dan celaan. Kamu tidak akan melihat tempat ini lagi.’
19TUHAN telah berfirman mengenai kamu, wahai saki-baki orang Yehuda, ‘Jangan pergi ke Mesir!’ Camkanlah baik-baik bahawa aku telah mengingatkan kamu pada hari ini! 20Kamu telah menyesatkan diri dengan taruhan nyawamu ketika kamu mengutus aku kepada TUHAN, Allahmu, dengan berkata, ‘Berdoalah bagi kami kepada TUHAN, Allah kita. Nyatakanlah dengan tepat kepada kami semua yang difirmankan TUHAN, Allah kita, dan kami akan melakukannya.’ 21Hari ini aku sudah menyatakannya kepadamu, tetapi kamu tidak mahu mematuhi TUHAN, Allahmu, dalam segala hal yang disampaikan-Nya kepadaku untuk kamu. 22Sekarang, camkanlah baik-baik: kamu akan mati oleh pedang, oleh bencana kebuluran, dan oleh wabak penyakit di tempat yang hendak kamu tuju untuk tinggal sebagai pendatang di sana.”
Currently Selected:
Yeremia 42: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited