YouVersion Logo
Search Icon

Yeremia 29

29
Surat kepada orang buangan di Babel
1 # 2Raj 24:12-16; 2Taw 36:10. Inilah isi surat yang dikirim Nabi Yeremia dari Yerusalem kepada saki-baki tua-tua antara orang buangan, kepada imam, nabi, dan seluruh rakyat yang dibuang oleh Nebukadnezar dari Yerusalem ke Babel. 2Hal itu terjadi setelah Raja Yekhonya, bonda permaisuri, pegawai istana, pembesar Yehuda dan Yerusalem, tukang dan pandai besi keluar dari Yerusalem. 3Surat itu dikirim dengan perantaraan Elasa anak Safan dan Gemarya anak Hilkia yang diutus ke Babel oleh Zedekia, raja Yehuda, kepada Nebukadnezar, raja Babel. Bunyinya:
4“Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, kepada semua orang buangan yang Kubuang dari Yerusalem ke Babel, 5‘Binalah rumah dan hunilah. Tanamlah kebun dan makanlah hasilnya. 6Bernikahlah dan milikilah anak lelaki serta perempuan. Lamarlah isteri bagi anak-anak lelakimu dan carilah suami bagi anak-anak perempuanmu, supaya mereka memiliki anak lelaki serta perempuan. Biarlah bertambah ramai jumlahmu di sana, jangan berkurang. 7Ikhtiarkanlah kesejahteraan kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada TUHAN untuk kota itu, kerana kesejahteraannya ialah kesejahteraanmu.’ 8Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Jangan tertipu oleh para nabi yang ada di tengah-tengahmu dan oleh penenungmu. Jangan dengarkan mimpi-mimpi yang dimimpikan mereka. 9Mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu atas nama-Ku. Aku tidak mengutus mereka,’ demikianlah firman TUHAN.
10 # 2Taw 36:21; Yer 25:11; Dan 9:2. Beginilah firman TUHAN, ‘Apabila telah genap tujuh puluh tahun bagi Babel, barulah Aku melawat kamu. Aku akan menepati janji-Ku yang baik itu kepadamu dengan mengembalikan kamu ke tempat ini. 11Aku tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan malapetaka, untuk mengurniakan kepada kamu masa depan dan harapan. 12Kamu akan berseru kepada-Ku, datang dan berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar kamu. 13#Ul 4:29; Keb 6:12,13.Kamu akan mencari hadirat-Ku dan menemukan Aku apabila kamu mencari Aku dengan segenap hatimu. 14Aku akan kamu temui,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Aku akan memulihkan keadaanmu. Aku akan mengumpulkan kamu daripada segala bangsa dan dari segala tempat Aku menghalau kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘dan Aku akan mengembalikan kamu ke tempat sebelum Aku membuang kamu.’
15Kamu berkata, ‘TUHAN telah membangkitkan bagi kita beberapa orang nabi di Babel.’ 16Tetapi beginilah firman TUHAN mengenai raja yang duduk di atas takhta Daud dan mengenai seluruh rakyat yang tinggal di kota ini, iaitu saudara-saudaramu yang tidak diangkut bersama-sama kamu ke tempat pembuangan. 17Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit kepada mereka. Aku akan menjadikan mereka seperti buah ara busuk, yang tidak dapat dimakan kerana buruknya. 18Aku akan mengejar mereka dengan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit. Akan Kubuat mereka menjadi kengerian bagi segala kerajaan di bumi, menjadi kutukan, kengerian, cemuhan, dan celaan dalam kalangan bangsa tempat Aku menghalau mereka, 19kerana mereka tidak mendengar firman-Ku,’ demikianlah firman TUHAN, ‘yang Kusampaikan terus-menerus kepada mereka melalui hamba-hamba-Ku para nabi, tetapi tidak juga kamu dengarkan,’ demikianlah firman TUHAN. 20Oleh sebab itu dengarlah firman TUHAN, wahai semua orang buangan yang telah Kusuruh pergi dari Yerusalem ke Babel!
21Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, mengenai Ahab anak Kolaya dan mengenai Zedekia anak Maaseya yang telah menyampaikan nubuat dusta kepadamu atas nama-Ku, ‘Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel. Dia akan membunuh mereka di hadapan matamu. 22Nasib mereka akan dijadikan ucapan kutukan oleh semua orang buangan dari Yehuda yang ada di Babel, demikian, “Kiranya TUHAN menjadikan engkau seperti Zedekia dan seperti Ahab yang dipanggang oleh raja Babel di dalam api,” 23kerana mereka telah melakukan kekejian di Israel. Mereka telah berzina dengan isteri jiran mereka dan telah mengucapkan perkataan dusta atas nama-Ku — hal yang tidak pernah Kuperintahkan kepada mereka. Aku mengetahuinya dan menjadi saksinya,’ demikianlah firman TUHAN.”
Sikap seorang buangan terhadap surat Yeremia
24Katakanlah kepada Semaya, orang Nehelam itu, 25“Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Engkau telah mengirim surat atas namamu sendiri kepada seluruh rakyat yang ada di Yerusalem, kepada Imam Zefanya anak Maaseya, dan kepada semua imam, mengatakan:
26TUHAN telah mengangkat engkau, Zefanya, menjadi imam untuk menggantikan Imam Yoyada, supaya engkau menjadi pengawas di Bait TUHAN. Setiap orang yang gila dan yang mengaku diri sebagai nabi harus kaumasukkan ke dalam pasungan dan belenggu. 27Sekarang, mengapa engkau tidak mengherdik Yeremia, orang Anatot itu, yang mengaku diri sebagai nabi yang meramal dalam kalangan kamu? 28Padahal dia telah mengirim pesan kepada kami di Babel demikian: Masa pembuangan akan lama. Bangunlah rumah dan hunilah. Tanamlah kebun dan makanlah hasilnya.’ ”
29Surat itu dibaca oleh Imam Zefanya bagi Nabi Yeremia. 30Kemudian datanglah firman TUHAN kepada Yeremia demikian, 31“Kirimlah pesan kepada semua orang buangan itu, ‘Beginilah firman TUHAN mengenai Semaya, orang Nehelam itu: Kerana Semaya telah menyampaikan nubuat kepadamu padahal Aku tidak mengutus dia, dan dia telah menyebabkan kamu mempercayai dusta, 32maka beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku akan menghukum Semaya, orang Nehelam itu, dan keturunannya. Tidak ada seorang pun daripada keturunannya yang akan tinggal di tengah-tengah bangsa ini. Dia tidak akan melihat kebaikan yang akan Kulakukan terhadap umat-Ku, demikianlah firman TUHAN, kerana dia telah mengajarkan pembelotan terhadap TUHAN.’ ”

Currently Selected:

Yeremia 29: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

Video for Yeremia 29