Yeremia 17
17
Pergelutan nabi kerana bangsa yang berdosa
1“Dosa Yehuda sudah tertulis dengan pena besi bermata intan,
terukir pada loh hati mereka dan pada tanduk-tanduk mazbah mereka,
2sementara anak-anak mereka mengenang mazbah dan patung Asyera mereka di samping pokok-pokok yang rimbun,
di atas bukit-bukit yang tinggi.
3Wahai gunung-Ku yang di padang,
Aku akan menyerahkan kekayaanmu dan segala perbendaharaanmu sebagai rampasan,
begitu pula bukit-bukit pemujaanmu,
kerana dosa di seluruh daerahmu.
4Kerana kesalahanmu sendiri,
engkau harus melepaskan harta pusakamu yang telah Kukurniakan kepadamu.
Aku akan membuat engkau menjadi hamba kepada musuh-musuhmu di negeri yang tidak kaukenali,
kerana dalam murka-Ku telah tercetus api yang akan menyala untuk selama-lamanya.” 5Beginilah firman TUHAN,
“Terkutuklah orang yang bergantung pada manusia,
yang bergantung pada kekuatan sendiri,
dan yang hatinya berpaling daripada TUHAN.
6Dia akan menjadi seperti semak di gurun.
Ketika hal yang baik datang, dia tidak melihatnya.
Dia akan mendiami tempat-tempat yang gersang di gurun,
di padang garam yang tidak dihuni.
7Diberkatilah orang yang bergantung pada TUHAN,
yang menaruh kepercayaannya pada TUHAN.
8 # Mzm 1:3. Dia akan seperti pokok yang ditanam di tepi air,
yang merambat akar-akarnya ke tepi sungai.
Dia tidak takut ketika panas datang,
daun-daunnya tetap hijau.
Dia tidak khuatir pada tahun kemarau,
dan tidak akan berhenti menghasilkan buah.”
9Hati itu licik melebihi segala sesuatu,
bahkan sangat parah — siapa dapat mengetahuinya?
10 # Why 2:23. Mzm 62:12. “Aku, TUHAN, menyelidiki hati
dan menguji batin.
Aku mengganjar setiap orang selaras dengan perilakunya
dan setimpal dengan hasil perbuatannya.”
11Seperti ayam hutan mengeram telur yang bukan telurnya,
demikianlah orang yang mengumpulkan kekayaan secara tidak halal.
Pada pertengahan usianya, semua itu akan hilang,
dan pada akhir hidupnya, nyatalah bahawa dia orang bodoh.
12Takhta kemuliaan yang luhur sejak mula-mula lagi
ialah tempat suci kita!
13Ya TUHAN, Pengharapan orang Israel,
semua orang yang meninggalkan Engkau akan malu.
Orang yang menjauh daripada-Mu akan lenyap seperti tulisan di atas tanah,
sebab mereka telah meninggalkan TUHAN, mata air yang hidup.
14Sembuhkanlah aku, ya TUHAN,
maka aku akan sembuh.
Selamatkanlah aku, maka aku akan selamat,
kerana Engkaulah yang kupuji.
15Lihatlah, mereka berkata kepadaku,
“Di manakah firman TUHAN?
Biarlah firman itu sampai!”
16Aku tidak lari daripada pekerjaan sebagai gembala-Mu,
aku tidak mengharapkan hari kemalangan.
Engkau tahu apa yang terucap daripada bibirku,
hal itu nyata di hadapan-Mu.
17Janganlah Engkau menjadi kengerian bagiku,
Engkaulah perlindunganku pada hari kesusahan.
18Biarlah orang yang mengejarku malu,
tetapi jangan sampai aku menjadi malu.
Biarlah mereka kecut hati,
tetapi jangan sampai aku menjadi kecut hati.
Timpakanlah hari kesusahan itu terhadap mereka,
hancurkanlah mereka dengan kehancuran berganda.
Kesucian hari Sabat harus dijaga
19Beginilah firman TUHAN kepadaku, “Pergilah dan berdirilah di Pintu Gerbang Anak Bangsa, tempat raja-raja Yehuda keluar masuk, dan di semua pintu gerbang Yerusalem. 20Katakan kepada mereka, ‘Dengarlah firman TUHAN, wahai raja-raja Yehuda, wahai semua orang Yehuda, dan seluruh penduduk Yerusalem yang masuk melalui pintu-pintu gerbang ini. 21#Neh 13:15-22.Beginilah firman TUHAN: Berjaga-jagalah demi nyawamu! Jangan mengangkut barang pada hari Sabat dan membawanya melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem. 22#Kel 20:8-10; Ul 5:12-14.Jangan keluarkan barang dari rumahmu pada hari Sabat dan jangan lakukan suatu pekerjaan, melainkan jagalah kesucian hari Sabat seperti yang Kuperintahkan kepada nenek moyangmu. 23Namun mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memberikan perhatian. Mereka bahkan mengeraskan hati sehingga tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima pengajaran.
24Jika kamu bersungguh-sungguh mendengar Aku, demikianlah firman TUHAN, untuk tidak membawa barang melalui pintu-pintu gerbang kota ini pada hari Sabat, melainkan menjaga kesucian hari Sabat dengan tidak melakukan pekerjaan pada hari itu, 25maka melalui pintu-pintu gerbang kota ini akan masuk raja dan pembesar yang akan duduk di atas takhta Daud. Mereka dan para pembesar mereka akan mengenderai rata dan kuda dengan diiringi orang Yehuda serta penduduk Yerusalem. Kota ini akan dihuni untuk selama-lamanya. 26Orang akan berdatangan dari kota-kota Yehuda dan dari sekitar Yerusalem, dari Tanah Benyamin, dari dataran rendah, dari pergunungan, dan dari Tanah Negeb dengan membawa korban bakaran, korban sembelihan, persembahan bahan makanan, kemenyan, serta korban syukur ke Bait TUHAN. 27Tetapi jika kamu tidak mahu mendengar Aku untuk menjaga kesucian hari Sabat dan untuk tidak mengangkut masuk barang melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem pada hari Sabat, maka Aku akan menyalakan api di pintu-pintu gerbangnya. Api itu akan melahap puri-puri Yerusalem tanpa dapat dipadamkan.’ ”
Currently Selected:
Yeremia 17: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited