Yeremia 12
12
Keluhan Yeremia
1Engkaulah yang benar, ya TUHAN,
apabila aku berbantah dengan Engkau.
Namun demikian, aku ingin berbicara dengan Engkau tentang keadilan:
Mengapakah hidup orang fasiq beruntung?
Mengapakah semua orang yang berbuat khianat tenang sahaja?
2Engkau menanam mereka, dan mereka pun berakar.
Mereka tumbuh, bahkan menghasilkan buah.
Engkau dekat di mulut mereka,
tetapi jauh daripada batin mereka.
3Engkau mengenal aku, ya TUHAN.
Engkau melihat aku dan menguji bagaimana hatiku terhadap Engkau.
Seretlah mereka keluar seperti domba yang akan disembelih,
dan khususkanlah mereka untuk hari penyembelihan.
4Berapa lama lagi negeri ini akan berkabung
dan tumbuh-tumbuhan layu di segala padang?
Kerana kejahatan penduduknya, binatang dan burung pun lenyap.
Orang itu berfikir, “Dia tidak akan melihat kesudahan kita.”
Jawapan Allah
5“Jika dalam perlumbaan lari dengan pejalan kaki sahaja engkau sudah kelelahan,
bagaimanakah engkau dapat bertanding melawan kuda?
Jika engkau mengharapkan negeri yang damai,
apa yang akan kaulakukan di semak belukar Sungai Yordan?
6Malah para saudaramu dan kaum keluargamu sendiri —
mereka mengkhianati engkau,
mereka berseru kuat-kuat di belakangmu.
Jangan percayai mereka, sekalipun mereka berbicara manis kepadamu.
7Aku telah membengkalaikan Bait-Ku,
dan telah membuang harta pusaka-Ku.
Aku telah menyerahkan buah hati-Ku
ke dalam tangan musuhnya.
8Harta pusaka-Ku telah menjadi seperti singa di hutan bagi-Ku.
Diperdengarkannya ngaumannya menentang Aku,
sebab itu Aku membencinya.
9Masakan harta pusaka-Ku menjadi seperti helang borek bagi-Ku?
Masakan burung pemangsa mengerumuninya?
Pergilah, kumpulkanlah segala binatang liar,
dan bawalah semua itu untuk melahapnya!
10Ramai gembala merosakkan kebun anggur-Ku.
Mereka menginjak-injak tanah-Ku,
dan membuat tanah-Ku yang indah menjadi tanah tandus yang sunyi sepi.
11Mereka telah menjadikannya sunyi,
sunyi sepi dan berkabung di hadapan-Ku!
Seluruh negeri sunyi,
kerana tidak ada orang yang ambil peduli.
12Para pembinasa datang ke atas semua bukit gondol di gurun,
kerana pedang TUHAN melahap hujung negeri yang satu sampai ke hujung yang lain.
Tidak ada damai bagi semua manusia.
13Mereka menabur gandum, tetapi menuai semak duri.
Mereka bersusah payah tanpa mendapat faedah.
Berasa malulah kerana hasil tanahmu,
kerana murka TUHAN yang menyala-nyala.”
14Beginilah firman TUHAN, “Mengenai semua tetangga-Ku yang jahat, yang mengusik harta pusaka yang telah Kukurniakan kepada umat-Ku Israel, sesungguhnya Aku akan mencabut mereka dari tanah mereka dan Aku akan mencabut keturunan kaum Yehuda dari tengah-tengah mereka. 15Tetapi nanti, setelah Aku mencabut mereka, Aku akan kembali mengasihani mereka. Aku akan mengembalikan mereka kepada harta pusaka masing-masing dan ke negeri masing-masing. 16Nanti, jika mereka sungguh-sungguh belajar cara hidup umat-Ku sehingga bersumpah demi nama-Ku, ‘Demi TUHAN yang hidup,’ — sebagaimana dahulu mereka mengajar umat-Ku untuk bersumpah demi Baal — maka mereka akan dibangunkan di tengah-tengah umat-Ku. 17Tetapi jika mereka tidak mahu mendengar, maka Aku akan sungguh-sungguh mencabut bangsa yang demikian dan membinasakannya,” demikianlah firman TUHAN.
Currently Selected:
Yeremia 12: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited