YouVersion Logo
Search Icon

Hakim-Hakim 4

4
Debora dan Barak
1Susulan kematian Ehud, orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN. 2Lalu TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan Yabin, raja bani Kanaan, yang bertakhta di Hazor. Panglima tenteranya ialah Sisera yang diam di Haroset-Hagoyim. 3Orang Israel berseru meminta pertolongan TUHAN kerana Sisera mempunyai sembilan ratus buah rata besi dan menindas orang Israel dengan keras selama dua puluh tahun.
4Ketika itu, Debora, seorang nabiah dan isteri kepada Lapidot menjadi hakim kepada Israel. 5Dia biasanya duduk di bawah pokok kurma Debora antara Rama dengan Betel di pergunungan Efraim, dan orang Israel mendatanginya demi mendapatkan penghakimannya. 6Atas panggilannya, menghadaplah Barak anak Abinoam dari Kedesh di daerah Naftali. Berkatalah Debora kepadanya, “Bukankah TUHAN, Allah Israel, memerintahkan demikian, ‘Majulah, bergeraklah menuju Gunung Tabor dengan membawa bersama-samamu sepuluh ribu orang Naftali dan bani Zebulon. 7Aku akan menggerakkan Sisera, panglima tentera Yabin, dengan segala rata dan bala tenteranya ke arah Sungai Kison dan Aku akan menyerahkan dia ke dalam tanganmu.’ ”
8Maka Barak menjawab kepada Debora, “Jika kamu pergi bersama-sama, aku akan pergi, tetapi jika kamu tidak bersama-sama, aku tidak akan pergi.”
9Jawab Debora, “Baik, aku turut! Namun begitu, dalam perjalanan ini kelak, penghormatan bukan milikmu tetapi bagi perempuan yang ke dalam tangannya TUHAN akan menyerahkan Sisera.” Maka Debora bangun berdiri dan pergi bersama-sama Barak ke Kedesh. 10Maka Barak diikuti sepuluh ribu orang daripada bani Zebulon dan bani Naftali yang dikerahnya ke Kedesh, dan Debora juga mara bersama-sama Barak.
11Adapun Heber, yakni bani Keni daripada keturunan Hobab, ipar Musa itu menyisihkan dirinya daripada kaumnya lalu mendirikan khemahnya sampai sejauh pokok oak di Zaananim berdekatan dengan Kedesh.
12Maka Sisera yang diberitahu bahawa Barak anak Abinoam telah mara naik ke Gunung Tabor, 13mengerahkan kesemua sembilan ratus buah rata besi serta seluruh rakyat yang bersama-samanya mara dari Haroset-Hagoyim ke Sungai Kison.
14Lalu berkatalah Debora kepada Barak, “Bersiaplah kerana inilah harinya TUHAN menyerahkan Sisera ke dalam tanganmu. Bukankah TUHAN telah mara di depan engkau?” Lalu turunlah Barak bersama-sama sepuluh ribu orang dari Gunung Tabor, 15dan di depan Barak TUHAN menumpaskan Sisera serta segala ratanya dan juga seluruh bala tenteranya dengan mata pedang sehingga Sisera meninggalkan ratanya lalu melarikan diri dengan berjalan kaki. 16Tetapi Barak mengejar rata-rata dan bala tentera itu sampai Haroset-Hagoyim lalu menghapuskan seluruh tentera Sisera dan tidak membiarkan seorang pun hidup.
17Bagaimanapun, dengan berjalan kaki, Sisera melarikan diri ke khemah Yael, isteri Heber bani Keni itu, kerana ada hubungan baik antara Yabin, raja Hazor dengan keluarga Heber daripada bani Keni itu. 18Keluarlah Yael mendapatkan Sisera lalu berkata kepadanya, “Singgahlah, tuanku, silakan masuk. Jangan takut.” Sisera pun singgah lalu memasuki khemah perempuan itu, dan dia menutupi Sisera dengan hamparan. 19Berkatalah Sisera kepada perempuan itu, “Aku haus. Berilah aku sedikit air minuman.” Lalu perempuan itu membuka kirbat susu serta memberinya minum dan menyelimutinya semula. 20Sisera juga menyuruh perempuan itu, “Berdirilah di depan pintu khemah. Jika sesiapa datang dan bertanya kepada kamu, ‘Adakah orang di sini?’ Jawablah, ‘Tidak ada.’ ”
21Tetapi Yael, isteri Heber, mengambil pancang khemah serta penukul lalu mendekatinya secara diam-diam. Pancang itu dipasakkan pada pelipis lelaki yang tidur nyenyak itu sampai tembus ke tanah dan matilah Sisera. 22Ketika Barak yang mengejar Sisera muncul di situ, keluarlah Yael mendapatkannya lalu berkata kepadanya, “Mari aku tunjukkan kepadamu orang yang kaucari itu.” Barak pun mengikutinya ke dalam khemah maka ditemukannya mayat Sisera yang tergolek dengan pancang khemah terbenam di dalam pelipisnya.
23Demikianlah Allah menundukkan Yabin, raja Kanaan, di depan orang Israel pada hari itu. 24Semakin keraslah tekanan kuasa orang Israel terhadap Yabin, raja Kanaan hingga akhirnya mereka berjaya melenyapkan Yabin, raja Kanaan itu.

Currently Selected:

Hakim-Hakim 4: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in