YouVersion Logo
Search Icon

Habakuk 1

1
1Pernyataan ilahi yang diperlihatkan kepada Nabi Habakuk.
Keluhan Habakuk
2Berapa lama lagi, ya TUHAN, harus aku berteriak meminta tolong,
tetapi Engkau tidak mahu mendengar?
Adakah aku perlu menjerit “Keganasan!” kepada-Mu,
namun Engkau tidak mahu menyelamatkan?
3Mengapakah Engkau membuat aku melihat kejahatan
dan memandang kezaliman?
Penjarahan dan keganasan terjadi di hadapanku.
Persengketaan dan perbalahan berterusan.
4Maka hukum itu pincang dan keadilan tidak pernah muncul.
Angkara kalangan fasiq mengepung orang benar;
maka keadilan yang muncul itu diputarbalikkan.
Hukuman TUHAN melalui orang Kasdim
5 # Kis 13:41. “Lihatlah di antara bangsa-bangsa dan ceraplah dengan teliti.
Kamu akan tercengang kehairanan
kerana pada zamanmu apa yang Kulakukan kini
tidak akan kamu percayai walaupun diterangkan kepadamu.
6 # 2Raj 24:2. Sesungguhnya, Aku membangkitkan orang Kasdim,
bangsa yang garang dan tangkas, yang menjelajahi luasnya bumi
untuk merampas tempat kediaman yang bukan milik mereka.
7Bangsa itu dahsyat dan menakutkan.
Keadilan dan keluhuran mereka muncul daripada diri mereka sendiri.
8Kuda mereka lebih tangkas daripada harimau bintang
dan lebih garang daripada serigala pada malam hari.
Pasukan berkuda mereka melompat,
ya, pasukan berkuda mereka datang dari jauh
dan terbang seperti burung nasar yang menyambar mangsa dengan cepat.
9Mereka semua datang demi penjarahan,
terpancar tekad kuat pada setiap wajah.
Semudah mengaut butiran pasir mereka mengumpulkan tawanan perang.
10Mereka mencemuh para raja, dan mentertawakan para pemerintah.
Mereka mentertawakan setiap kota yang berkubu.
Mereka menimbun tanggul tanah, lalu menawannya.
11Kemudian, laksana tiupan angin, mereka bergegas pergi.
Kesalahan mereka ialah kerana mendewa-dewakan kekuatan diri sendiri.”
12Ya TUHAN, bukankah Engkau sememangnya ada sejak zaman-berzaman,
Allahku Yang Maha Suci? Kami tidak akan mati.
Ya TUHAN, Engkau telah menentukan mereka sebagai bukti penghakiman.
Ya Batu Pejal kami, Engkau telah menetapkan mereka untuk menerima teguran-Mu.
13Mata-Mu terlalu suci untuk melihat kejahatan
dan Engkau tidak dapat memandang kezaliman.
Mengapakah Engkau hanya melihat pengkhianatan mereka
dan berdiam diri ketika orang fasiq menelan orang yang lebih benar daripadanya?
14Engkau menjadikan manusia seperti ikan di laut,
seperti binatang-binatang melata yang tidak mempunyai pemerintah.
15Dia menarik mereka semua dengan kail, menyeret mereka dengan jaring
lalu mengumpulkan mereka dalam pukatnya lantas dia bersuka ria dan bergembira.
16Itulah sebabnya dia mempersembahkan korban bagi jaringnya
dan membakar dupa bagi pukat tariknya,
kerana semua peralatannya itu membolehkannya mendapat bahagian yang lumayan dan makanan yang mewah.
17Sebab itukah dia dapat terus mengosongkan jaring
dan terus membunuh bangsa-bangsa tanpa belas kasihan?

Currently Selected:

Habakuk 1: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

Video for Habakuk 1