YouVersion Logo
Search Icon

Ulangan 33

33
Ucapan berkat terakhir Musa ke atas orang Israel
1Inilah ucapan berkat yang disampaikan Musa, hamba Allah itu, kepada orang Israel sebelum kematiannya. 2Katanya,
“TUHAN datang dari Sinai
dan menunjukkan diri-Nya kepada orang Israel dari Seir.
Hadirat-Nya tampak bersinar dari Gunung Paran;
datang-Nya dari antara puluhan ribu orang suci.
Di sebelah kanan-Nya ada api yang menyala bagi mereka.
3Benarlah, Dia mengasihi umat-Nya, semua orang suci-Nya —
sememangnya mereka di dalam tangan-Mu.
Mereka duduk di kaki-Mu
dan menerima panduan daripada firman-Mu.
4Musa telah mengamanatkan kepada kita hukum Taurat
sebagai hak milik bagi jemaah Yakub.
5TUHAN ialah raja atas Yesyurun,
ketika para ketua umat berkumpul,
iaitu suku-suku Israel bersama-sama.
6Biarkan Ruben hidup dan jangan mati,
tetapi biarlah jumlah orangnya sedikit.”
7Mengenai Yehuda, inilah katanya,
“Ya TUHAN, dengarlah suara Yehuda
dan bawalah dia kepada bangsanya.
Dengan tangannya dia berjuang bagi dirinya.
Jadilah penolongnya menghadapi musuh-musuhnya.”
8 # Kel 28:30. Kel 17:7. Kel 17:7; Bil 20:13. Mengenai Lewi dia berkata,
“Tumim-Mu dan Urim-Mu
adalah milik orang salih-Mu yang Kauuji di Masa —
dengannya Kamu berbantah di mata air Meriba.
9Mengenai ayah dan ibunya dia berkata,
‘Aku tidak mengendahkan mereka.’
Dia juga tidak mengiktiraf saudara-saudaranya
dan tidak mengakui anak-anaknya sendiri.
Akan tetapi, bani Lewi itu berpegang teguh pada firman-Mu
dan menjaga perjanjian-Mu.
10Mereka mengajarkan peraturan-peraturan-Mu kepada Yakub,
dan hukum-Mu kepada Israel.
Mereka meletakkan dupa di hadapan-Mu
dan korban yang dibakar seluruhnya di atas mazbah-Mu.
11Ya TUHAN, berkatilah kemampuannya
dan terimalah pekerjaan tangannya.
Remukkanlah pinggang orang yang bangkit melawannya
dan yang membencinya, sehingga orang itu tidak dapat bangkit lagi.”
12Mengenai Benyamin dia berkata,
“Biarlah kekasih TUHAN itu berdiam di sisi-Nya dengan aman.
Allah melindunginya sepanjang waktu
dan bersemayam di antara kedua-dua bahunya.”
13Mengenai Yusuf dia berkata,
“Biarlah negerinya diberkati TUHAN
dengan yang terbaik dari langit, dengan embun,
dan dengan samudera yang terhampar di bawah;
14dengan yang terbaik yang dihasilkan matahari,
dan dengan yang terbaik yang tumbuh setiap bulan;
15dengan yang terutama dari gunung-gunung dahulukala,
dan dengan yang terbaik daripada bukit-bukit purbakala;
16dengan yang terbaik daripada bumi serta segala isinya,
dan dengan keredaan Dia yang hadir dalam semak menyala.
Biarlah semua itu turun ke atas kepala Yusuf,
ke atas ubun-ubun orang yang teristimewa antara saudara-saudaranya.
17Kegemilangannya bagaikan anak sulung lembunya,
dan tanduk-tanduknya ialah tanduk-tanduk lembu liar.
Dengan tanduk itu dia menanduk bangsa-bangsa
sampai ke hujung-hujung bumi.
Itulah puluhan ribu orang Efraim
dan ribuan orang Manasye.”
18Mengenai Zebulon dia berkata,
“Bersuka rialah, wahai Zebulon, dalam perjalananmu,
dan kamu, wahai Isakhar, di dalam khemah-khemahmu.
19Mereka akan memanggil bangsa-bangsa ke gunung.
Di sana mereka akan mempersembahkan pelbagai korban sembelihan yang benar.
Sesungguhnya, mereka akan menghisap kelimpahan laut
dan harta yang tersembunyi di dalam pasir.”
20Mengenai Gad dia berkata,
“Diberkatilah Dia yang meluaskan wilayah Gad.
Gad berdiam di sana seperti singa betina.
Dicabik-cabiknya lengan bahkan ubun-ubun.
21Dipilihnya bahagian yang terbaik untuk dirinya,
kerana di sana tersimpan bahagian panglima.
Maka datanglah dia bersama-sama ketua umat
dan dijalankannya keadilan TUHAN
serta hukum-hukum-Nya dalam hal orang Israel.”
22Mengenai Dan dia berkata,
“Dan anak singa
yang melompat keluar dari Basan.”
23Mengenai Naftali dia berkata,
“Naftali kenyang dengan keredaan
dan penuh dengan berkat TUHAN.
Milikilah daerah sebelah barat
dan sebelah selatan.”
24Mengenai Asyer dia berkata,
“Diberkatilah Asyer melebihi anak-anak lelaki.
Biarlah dia disukai oleh saudara-saudaranya,
dan biarlah dia mencelupkan kakinya ke dalam minyak.
25Semoga semua palang pintumu terbuat daripada besi dan tembaga
dan kekuatanmu bertahan sepanjang usiamu.
26Tidak ada yang seperti Allah, wahai Yesyurun.
Sebagai penolongmu, Dia mengenderai langit
dan mengenderai awan-awan dalam kemegahan-Nya.
27Allah yang abadi ialah tempat perlindunganmu,
dan di bawahmu ada lengan-lengan yang kekal.
Dia mengusir musuh dari hadapanmu
dan berfirman, ‘Punahkanlah!’
28Maka Israel tinggal dengan aman.
Mata air Yakub tinggal bersendirian
di negeri tempat gandum dan air anggur.
Bahkan langitnya pun menitikkan embun.
29Berbahagialah kamu, wahai Israel!
Siapakah seperti kamu?
Kamu ialah bangsa yang diselamatkan TUHAN.
Dialah perisai penolongmu
dan pedang kejayaanmu.
Musuh-musuhmu akan mengekot merendahkan diri kepadamu
dan kamu akan menginjak-injak tempat-tempat tinggi mereka.”

Currently Selected:

Ulangan 33: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in