YouVersion Logo
Search Icon

Amos 7

7
Penglihatan pertama Amos: Belalang
1Inilah yang diperlihatkan Tuhan Allah kepadaku: Lihatlah Dia sedang membentuk kawanan belalang ketika semaian terakhir mulai tumbuh, iaitu penumbuhan semaian terakhir sesudah disabit bahagian bagi raja. 2Setelah kawanan itu selesai memakan semaian yang tumbuh di tanah, aku pun berkata, “Ya Tuhan Allah, semoga Engkau mengampuni Israel! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!”
3Maka TUHAN pun berbelas kasihan atas hal itu. “Itu tidak akan terjadi,” firman TUHAN.
Penglihatan kedua: Api
4Inilah yang diperlihatkan Tuhan Allah kepadaku: Lihatlah Tuhan Allah sedang memanggil renjisan api untuk menjalankan hukuman. Kemudian api itu memakan habis samudera raya dan memakan habis tanah ladang. 5Lalu aku berkata, “Ya Tuhan Allah, semoga Engkau hentikanlah! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!”
6Maka TUHAN pun berbelas kasihan atas hal itu. “Itu pun tidak akan terjadi,” firman Tuhan Allah.
Penglihatan ketiga: Batu ladung
7Inilah yang diperlihatkan-Nya kepadaku: Lihatlah Tuhan hadir di sisi sebuah tembok yang tegak lurus dengan tangan-Nya memegang batu ladung. 8Firman TUHAN kepadaku, “Apa yang kaulihat, Amos?”
Jawabku, “Batu ladung.”
Firman Tuhan, “Sesungguhnya, Aku akan memasang batu ladung di tengah-tengah umat-Ku Israel, dan Aku tidak akan mengampuni mereka lagi.
9Akan tandus kesepianlah segala bukit pemujaan Ishak
dan tempat-tempat suci Israel akan menjadi puing-puing.
Aku akan bangkit melawan keluarga Yerobeam dengan pedang.”
Amos diusir Amazia
10Lalu Amazia, imam di Betel, menghantar perutusan ini kepada Yerobeam raja Israel, “Kini Amos bersekongkol melawan tuanku di tengah-tengah keturunan kaum Israel. Negeri ini tidak sanggup lagi menanggung segala ucapannya. 11Maka balaslah Amos,
‘Yerobeam akan mati di hujung pedang
dan orang Israel pasti dibuang dari bumi mereka.’ ”
12Lalu Amazia berkata kepada Amos, “Wahai pelihat, pergilah! Nyahlah ke Tanah Yehuda! Carilah nafkah di sana dan bernubuatlah di sana! 13Jangan lagi bernubuat di Betel, kerana ini tempat suci raja, bait suci kerajaan.”
14Jawab Amos kepada Amazia, “Aku ini bukan nabi, dan juga bukan seorang anak nabi. Aku penternak dan pemelihara pokok ara. 15Namun demikian, TUHAN mengambilku daripada pekerjaan menggiring kawanan domba dan TUHAN berfirman kepadaku, ‘Pergilah, bernubuatlah kepada umat-Ku Israel.’ 16Sekarang, dengarlah firman TUHAN. Engkau berkata,
‘Jangan bernubuat menentang Israel
dan jangan bertutur menentang keturunan kaum Ishak.’
17Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN,
‘Isterimu akan menjadi perempuan sundal di kota,
sedangkan anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan akan tewas oleh pedang.
Tanahmu akan dibahagi-bahagi dengan menggunakan tali pengukur,
sedangkan engkau sendiri akan mati di tanah yang najis,
dan orang Israel pasti dibuang dari bumi mereka.’ ”

Currently Selected:

Amos 7: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in