Kisah Para Rasul 19
19
Paulus di Efesus
1Sementara Apolos berada di Korintus, Paulus menjelajahi kawasan pedalaman lalu sampai di Efesus. Di situ dia bertemu dengan beberapa orang murid 2lalu berkata, “Adakah kamu menerima Roh Kudus pada waktu kamu percaya kepada Yesus?”
Mereka menjawab, “Kami belum pernah mendengar pun tentang adanya Roh Kudus.”
3Paulus bertanya, “Kalau begitu, dalam baptisan apakah kamu dibaptiskan?”
Kata mereka, “Dalam baptisan Yohanes.”
4 # Mat 3:11; Mrk 1:4,7,8; Luk 3:4,16; Yoh 1:26,27. Paulus berkata, “Yohanes telah membaptiskan orang dengan pembaptisan taubat dan berkata kepada mereka bahawa mereka hendaklah mempercayai Dia yang akan datang selepasnya, iaitu Yesus.”
5Setelah mereka mendengar penerangan itu, mereka dibaptiskan dengan nama Tuhan Yesus. 6Paulus meletakkan tangan di atas mereka lalu datanglah Roh Kudus menguasai mereka dan mereka semuanya bercakap dalam berbagai-bagai bahasa serta bernubuat. 7Semuanya ada kira-kira dua belas orang.
8Paulus masuk ke saumaah#19:8 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat. dan bercakap di situ dengan beraninya selama tiga bulan. Dia berbincang dengan orang di situ dan berusaha meyakinkan mereka tentang kerajaan Allah. 9Akan tetapi, beberapa orang berkeras hati dan tidak mahu percaya malah memburuk-burukkan Jalan Tuhan di hadapan orang ramai. Oleh itu, Paulus meninggalkan mereka lalu membawa murid-murid Yesus bersamanya ke dewan syarahan Tiranus dan di situlah dia mengadakan perbincangan. 10Hal itu berlaku selama dua tahun, hingga semua penduduk Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.
11Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus. 12Sesetengah mereka membawa pulang sapu tangan atau kain yang pernah dipakai Paulus kepada orang yang sakit lalu mereka sembuh dan roh-roh iblis yang merasuk mereka keluar dari tubuh mereka. 13Beberapa orang Yahudi yang mengamalkan ilmu sihir turut serta menyebut nama Tuhan Yesus untuk mengubat orang yang dirasuk roh-roh iblis, dengan berkata, “Aku menyumpahi kamu demi Yesus yang dikhabarkan oleh Paulus.” 14Ada tujuh orang anak Skewa, imam besar orang Yahudi, yang berbuat demikian.
15Akan tetapi, roh jahat itu menjawab, “Aku kenal akan Yesus, dan tahu akan Paulus, tetapi kamu ini siapa?”
16Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menerkam dan mengerjakan mereka. Mereka pun lari dari dalam rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka. 17Berita itu tersebar baik dalam kalangan orang Yahudi mahupun orang Yunani di Efesus; mereka ketakutan lalu nama Tuhan Yesus semakin dimuliakan. 18Ramai orang yang mempercayai Yesus datang sambil mengakui segala perbuatan jahat mereka yang lalu. 19Beberapa orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan semua buku sihir mereka dan membakarnya di hadapan orang ramai. Semua buku sihir itu dianggar nilainya kira-kira lima puluh ribu keping wang perak. 20Demikianlah, firman Tuhan tersebar luas dan semakin berkuasa.
Rusuhan di Efesus
21Setelah selesai peristiwa itu, Paulus berniat dalam hatinya hendak menjelajahi Makedonia dan Akhaya dan kemudian ke Yerusalem. Dia berkata, “Selepas itu, aku mesti pergi ke Roma pula.” 22Dia pun menyuruh Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantu-pembantunya, pergi dahulu ke Makedonia, manakala dia tinggal lebih lama di Asia.
23Pada masa itu berlaku huru-hara di Efesus kerana ajaran tentang Jalan Tuhan. 24Seorang tukang perak bernama Demetrius membuat balai-balai berhala Dewi Artemis daripada perak. Pekerjaan ini membawa hasil lumayan kepada pekerja-pekerjanya. 25Dia menghimpunkan para pekerja serta tukang-tukang yang sama mata pencariannya lalu berkata, “Saudara-saudara sekalian tahu bahawa daripada pekerjaan inilah kita mendapat keuntungan. 26Saudara-saudara juga melihat dan mendengar bahawa di Efesus ini malah hampir di seluruh Asia, Paulus itu telah mempengaruhi ramai orang dengan berkata bahawa barang yang diperbuat oleh manusia bukannya tuhan. 27Dengan demikian, apa yang dikhuatiri bukan sahaja mata pencarian kita ini dihina, bahkan rumah Artemis, dewi yang besar itu pun tidak akan diendahkan lagi, lalu hilanglah kebesaran dewi yang disembah orang di seluruh Asia malah di serata dunia.”
28Setelah mendengar kata-kata itu, semua yang hadir naik berang dan berseru, “Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!” 29Dengan demikian orang ramai merusuh di kota itu. Mereka menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke panggung#19:29 Panggung yang disebut di sini bukan seperti pawagam. Panggung di Efesus sangat besar dan boleh menampung sebanyak 26,000 orang. kota itu. 30Paulus hendak pergi bercakap kepada orang ramai tetapi para murid Yesus tidak membenarkannya. 31Beberapa orang pegawai kerajaan yang bersahabat dengan Paulus berpesan kepadanya supaya jangan masuk ke panggung itu. 32Orang yang berkumpul di situ berseru-seru, sesetengah berkata begini dan sesetengah begitu; kerana semuanya dalam keadaan kelam-kabut dan sebilangan besar daripada mereka tidak tahu mengapa mereka berhimpun. 33Orang Yahudi menolak Aleksander#19:33 Nama lain: Iskandar. ke hadapan untuk menghadapi orang ramai. Aleksander memberikan isyarat dengan tangannya kerana dia hendak menjelaskan segalanya kepada mereka. 34Akan tetapi apabila mereka mengenalinya sebagai orang Yahudi, semuanya berseru serentak selama kira-kira dua jam, “Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!”
35Ketika itu jurutulis kota menyuruh mereka diam lalu berkata, “Hai orang Efesus, siapa yang tidak tahu bahawa orang kota Efesuslah yang memelihara kuil dewi besar Artemis dan patung sucinya yang turun dari langit? 36Ini tidak dapat dinafikan. Oleh itu, kamu patut bertenang dan jangan bertindak gopoh-gapah. 37Kedua-dua orang ini tidak merampas harta tempat berhala dan tidak pula menghina dewi kita, tetapi kamu membawa mereka ke mari. 38Jika Demetrius dan tukang-tukang yang menyertainya itu ada sesuatu yang hendak diadukan tentang sesiapa, kita mempunyai mahkamah perbicaraan dan hakim; hendaklah mereka mendakwa orang berkenaan di mahkamah. 39Jika kamu menuntut perkara lain, hendaklah diselesaikan dalam perhimpunan yang berpatutan. 40Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan didakwa menimbulkan huru-hara tanpa sebab; dan kita tidak dapat memberikan alasan yang wajar untuk membenarkan perhimpunan ini.” 41Selepas itu, jurutulis kota menyuruh perhimpunan itu bersurai.
Currently Selected:
Kisah Para Rasul 19: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited