2 Raja-Raja 3
3
Raja Yoram berperang melawan Moab
1Yoram anak Ahab menaiki takhta atas Israel di Samaria pada tahun kelapan belas zaman pemerintahan Yosafat, raja Yehuda. Dia bertakhta selama dua belas tahun. 2Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, tetapi tidak seperti ayah dan ibunya. Dia menyingkirkan tiang berhala Baal yang dibuat oleh ayahnya. 3Namun begitu, dia berpaut pada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan orang Israel turut berdosa; dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa itu.
4Mesa, raja Moab, seorang penternak domba. Dia biasa membayar ufti berupa seratus ribu ekor anak domba dan bulu daripada seratus ribu ekor domba jantan kepada raja Israel. 5Tetapi sesudah Ahab mati, raja Moab memberontak menentang raja Israel. 6Maka pada waktu itu Raja Yoram keluar dari Samaria dan mengerahkan semua orang Israel. 7Dikirimnya pula utusan menemui Yosafat, raja Yehuda, dengan pesan, “Raja Moab memberontak menentang aku. Mahukah tuan pergi menyertai aku untuk berperang melawan Moab?”
Jawabnya, “Aku akan pergi. Aku ini sehati denganmu, rakyatku dengan rakyatmu, dan kuda-kudaku dengan kuda-kudamu.”
8Lalu dia bertanya, “Kita akan pergi melalui jalan mana?” Jawabnya, “Melalui Gurun Edom.”
9Maka pergilah raja Israel bersama dengan raja Yehuda dan raja Edom. Akan tetapi, setelah berkeliling selama tujuh hari perjalanan, tidak ada lagi air untuk pasukan serta binatang-binatang yang mengikuti mereka. 10Kata raja Israel, “Aduh! TUHAN telah mengumpulkan kita, tiga orang raja, untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab!”
11Tetapi Yosafat bertanya, “Tidak adakah di sini seorang nabi TUHAN, supaya kita dapat mencari petunjuk daripada TUHAN dengan perantaraannya?” Seorang pegawai raja Israel menjawab, “Di sini ada Elisa anak Safat, yang dahulu berkhidmat kepada Elia.”
12Kata Yosafat, “Firman TUHAN ada padanya.” Kemudian pergilah raja Israel bersama Yosafat dan raja Edom mendapatkan Elisa.
13Kata Elisa kepada raja Israel, “Apakah urusanku denganmu? Pergilah kepada para nabi ayahmu dan ibumu.”
Tetapi kata raja Israel kepadanya, “Jangan begitu. TUHAN telah mengumpulkan kami, tiga orang raja ini, untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab.”
14Kata Elisa, “Demi TUHAN alam semesta, yang hidup dan yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, jika aku tidak menghormati Yosafat, raja Yehuda, maka aku tidak sudi memandang atau melihat engkau. 15Sekarang, jemputlah seorang pendendang bagiku.”
Pada waktu pendendang itu bermain kecapi, turunlah kuasa TUHAN ke atas Elisa, 16lalu berkatalah dia, “Beginilah firman TUHAN, ‘Penuhkanlah lembah ini dengan parit,’ 17kerana beginilah firman TUHAN, ‘Kamu tidak akan melihat angin ataupun hujan, tetapi lembah ini akan dipenuhi air sehingga kamu, ternakanmu, dan binatangmu dapat minum.’ 18Itu hanyalah perkara ringan di mata TUHAN. Dia juga akan menyerahkan orang Moab ke dalam tanganmu. 19Kamu akan mengalahkan semua kota berkubu, juga semua kota pilihan. Kamu akan menumbangkan semua pokok yang baik, menutup semua mata air, dan merosakkan semua ladang yang baik dengan batu.”
20Pada pagi esok, kira-kira pada waktu orang mempersembahkan persembahan bahan makanan, tiba-tiba datanglah air dari arah Edom sehingga negeri itu dipenuhi air.
21Semua orang Moab sudah mendengar bahawa ketiga-tiga raja itu datang untuk memerangi mereka. Maka dikerahkanlah semua orang yang dapat menggunakan senjata, baik tua ataupun muda, lalu ditempatkanlah mereka di perbatasan. 22Ketika orang Moab itu bangun pagi-pagi lagi, permukaan air di hadapan mereka yang terkena sinar matahari kelihatan seolah-olah merah seperti darah. 23Lalu kata mereka, “Itu darah! Pasti raja-raja itu saling membunuh, yang satu menghentam yang lain. Sekarang, ayuh kita menjarah, wahai orang Moab!”
24Akan tetapi, ketika mereka sampai di perkhemahan orang Israel, mereka langsung diserang oleh orang Israel sehingga mereka lari dari hadapan orang Israel itu. Kemudian orang Israel menerobos masuk ke negeri Moab serta membantai orang Moab. 25Mereka meruntuhkan kota-kota yang ada, dan setiap orang melempar batu atas kesemua ladang yang baik sehingga ladang-ladang itu tertutup. Mereka menutup semua mata air dan menumbangkan semua pokok yang baik, sampai hanya Kir-Hareset sahaja yang tertinggal dengan tembok batunya. Namun demikian, akhirnya kota ini pun dikepung dan diserang oleh para pengendali alat tarbil.
26Ketika raja Moab melihat bahawa peperangan itu terlalu berat baginya, dia mengambil tujuh ratus orang penyandang pedang untuk menerobos ke arah raja Edom, tetapi tidak berhasil. 27Lalu raja Moab mengambil anak sulungnya, yang akan menaiki takhta menggantikannya, dan mempersembahkannya di atas pagar tembok sebagai korban bakaran. Maka kemarahan yang sebegitu besar melanda orang Israel, sehingga mereka mundur meninggalkan dia dan pulang ke negeri mereka.
Currently Selected:
2 Raja-Raja 3: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited