YouVersion Logo
Search Icon

1 Samuel 28

28
Raja Saul dengan seorang pengantara wanita di En-Dor
1Pada masa itu orang Filistin mengerahkan pasukan mereka untuk berperang melawan Israel. Kata Akhis kepada Daud, “Ketahuilah baik-baik, engkau dan anak buahmu harus mara bersama-samaku dalam angkatan tentera ini.”
2Kata Daud kepada Akhis, “Baik. Tuanku akan mengetahui apa yang mampu dilakukan oleh hambamu ini.”
Kata Akhis kepada Daud, “Baiklah, aku melantik engkau menjadi pengawal peribadi aku seumur hidup.”
3 # 1Sam 25:1. # Im 20:27; Ul 18:10,11. Adapun Samuel sudah mati dan seluruh Israel meratapinya. Mereka telah menguburkannya di Rama, di kotanya. Pada masa itu juga Saul telah menyingkirkan pemanggil arwah dan ahli sihir dari negeri itu.
4Orang Filistin berkumpul, lalu mereka berkhemah di Sunem. Saul pun mengerahkan semua orang Israel, lalu mereka berkhemah di Gilboa. 5Apabila Saul melihat pasukan Filistin, dia pun berasa takut dan amat gementarlah hatinya. 6#Bil 27:21.Saul menanyakan petunjuk TUHAN, tetapi TUHAN tidak menjawab dia, melalui mimpi ataupun dengan penggunaan Urim, ataupun melalui para nabi. 7Lalu Saul berkata kepada para pegawainya, “Carilah seorang pengantara wanita untukku yang biasa memanggil arwah. Aku hendak pergi kepadanya dan meminta petunjuknya.”
Kata para pegawainya kepadanya, “Ada seorang perempuan yang biasa memanggil arwah di En-Dor.”
8Saul pun menyamar dengan mengenakan pakaian lain lalu pergi dengan disertai oleh dua orang. Pada malam hari sampailah mereka di kediaman wanita itu. Kata Saul, “Tenunglah untukku dengan perantaraan arwah. Hadirkan bagiku orang yang akan kusebut kepadamu.”
9Jawab perempuan itu kepadanya, “Tentunya engkau tahu tentang apa yang dilakukan Saul, bagaimana dia melenyapkan para pemanggil arwah dan para ahli sihir daripada negeri ini. Mengapakah engkau mahu menjebak nyawaku untuk membunuh aku?”
10Maka bersumpahlah Saul kepadanya demi TUHAN, katanya, “Demi TUHAN yang hidup, engkau tidak akan terkena hukuman kerana hal ini.”
11 # Sir 46:20. Tanya perempuan itu, “Siapakah yang harus kuhadirkan untukmu?” Jawabnya, “Hadirkanlah Samuel bagiku.”
12Ketika perempuan itu melihat Samuel, dia pun menjerit dengan suara yang nyaring. Perempuan itu berkata kepada Saul, “Mengapakah tuanku memperdaya hamba? Tuanku ialah Saul!”
13Kata raja kepadanya, “Jangan takut. Apakah yang kaulihat?” Kata perempuan itu kepada Saul, “Hamba melihat sesuatu roh#28:13 Atau: Sesuatu tuhan. muncul dari dalam bumi.”
14Saul bertanya, “Bagaimanakah rupanya?” Jawabnya, “Ada seorang tua muncul. Dia diselubungi sehelai jubah.” Saul tahu bahawa itulah Samuel. Lalu dia membongkok dan sujud memberi hormat.
15Berkatalah Samuel kepada Saul, “Mengapakah engkau mengganggu aku dengan menghadirkan aku?”
Jawab Saul, “Aku sedang dalam keadaan tersepit lantaran orang Filistin memerangi aku, sedangkan Allah telah menjauhi aku dan tidak lagi menjawab aku, sama ada dengan perantaraan para nabi atau melalui mimpi. Oleh sebab itu aku memanggil engkau supaya engkau memberitahukan kepadaku apa yang harus kulakukan.”
16Kata Samuel, “Mengapakah pula engkau bertanya kepadaku walhal TUHAN juga telah menjauhi kamu dan telah menjadi musuhmu? 17#1Sam 15:28.TUHAN telah melakukan apa yang difirmankan-Nya dengan perantaraan aku. TUHAN telah merentap kerajaan itu daripada tanganmu dan mengurniakannya kepada orang lain, iaitu kepada Daud. 18#1Sam 15:3-9.Kerana engkau tidak mematuhi TUHAN dan tidak melampiaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala terhadap Amalek, maka inilah yang dilakukan TUHAN terhadap engkau pada hari ini. 19TUHAN akan menyerahkan orang Israel dan juga engkau ke dalam tangan orang Filistin. Esok engkau dan anak-anakmu akan ada bersama-samaku. TUHAN pun akan menyerahkan pasukan orang Israel ke dalam tangan orang Filistin.”
20Lantas jatuhlah Saul terjerembap ke tanah dalam ketakutan yang amat sangat kerana kata-kata Samuel itu. Tidak ada kekuatan lagi padanya kerana dia tidak makan apa-apa pun sepanjang siang dan sepanjang malam itu. 21Perempuan itu mendekati Saul dan melihat betapa gentarnya Saul, dia berkata kepadanya, “Sesungguhnya, hambamu ini telah menuruti kata-kata tuanku. Hamba telah mempertaruhkan nyawa hamba dan mendengar kata-kata yang tuanku sampaikan kepada hamba. 22Sekarang, sudilah tuanku juga mendengar kata-kata hambamu ini. Hamba akan meletakkan sepotong roti di hadapan tuanku. Makanlah, supaya tuanku mendapat kekuatan apabila tuanku perlu meneruskan perjalanan.”
23Saul menolak dan berkata, “Aku tidak mahu makan.” Tetapi para pegawainya dan juga perempuan itu mendesaknya sehingga akhirnya didengarnya kata-kata mereka. Dia bangun dari tanah lalu duduk di tempat tidur. 24Perempuan itu memiliki seekor anak lembu tambun di rumahnya. Disembelihnya segera lembu itu, diambilnya tepung, diramasnya, lalu dibakarnya menjadi roti tidak beragi. 25Kemudian dihidangkannya roti itu di depan Saul serta para pegawainya, dan mereka pun makan. Pada malam itu juga mereka segera berangkat.

Currently Selected:

1 Samuel 28: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy