1 Samuel 28:3-10
1 Samuel 28:3-10 AVB
Adapun Samuel sudah mati dan seluruh Israel meratapinya. Mereka telah menguburkannya di Rama, di kotanya. Pada masa itu juga Saul telah menyingkirkan pemanggil arwah dan ahli sihir dari negeri itu. Orang Filistin berkumpul, lalu mereka berkhemah di Sunem. Saul pun mengerahkan semua orang Israel, lalu mereka berkhemah di Gilboa. Apabila Saul melihat pasukan Filistin, dia pun berasa takut dan amat gementarlah hatinya. Saul menanyakan petunjuk TUHAN, tetapi TUHAN tidak menjawab dia, melalui mimpi ataupun dengan penggunaan Urim, ataupun melalui para nabi. Lalu Saul berkata kepada para pegawainya, “Carilah seorang pengantara wanita untukku yang biasa memanggil arwah. Aku hendak pergi kepadanya dan meminta petunjuknya.” Kata para pegawainya kepadanya, “Ada seorang perempuan yang biasa memanggil arwah di En-Dor.” Saul pun menyamar dengan mengenakan pakaian lain lalu pergi dengan disertai oleh dua orang. Pada malam hari sampailah mereka di kediaman wanita itu. Kata Saul, “Tenunglah untukku dengan perantaraan arwah. Hadirkan bagiku orang yang akan kusebut kepadamu.” Jawab perempuan itu kepadanya, “Tentunya engkau tahu tentang apa yang dilakukan Saul, bagaimana dia melenyapkan para pemanggil arwah dan para ahli sihir daripada negeri ini. Mengapakah engkau mahu menjebak nyawaku untuk membunuh aku?” Maka bersumpahlah Saul kepadanya demi TUHAN, katanya, “Demi TUHAN yang hidup, engkau tidak akan terkena hukuman kerana hal ini.”