1 Tawarikh 29:10-16
1 Tawarikh 29:10-16 AVB
Lalu Daud memuji TUHAN di hadapan mata seluruh jemaah itu. Kata Daud, “Segala puji bagi-Mu, ya TUHAN, Allah nenek moyang kami Israel, dari selama-lamanya sampai selama-lamanya. Ya TUHAN, memang kepunyaan-Mu kebesaran, keperkasaan, kemuliaan, kejayaan, dan kemegahan, kerana Engkaulah yang empunya segala sesuatu di langit dan di bumi. Ya TUHAN, memang kepunyaan-Mu kerajaan dan Engkau ditinggikan sebagai ketua atas segala sesuatu. Kekayaan dan hormat berasal daripada-Mu, dan Engkaulah yang menguasai segala sesuatu. Memang dalam tangan-Mu ada kuasa dan keperkasaan. Memang dalam tangan-Mu kuasa untuk membesarkan dan menguatkan segala sesuatu. Sekarang, kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Allah kami, dan kami memuji nama-Mu yang mulia itu. Sebab siapakah aku dan siapakah bangsaku, sehingga kami dimampukan untuk memberikan persembahan sukarela seperti ini? Kerana segala sesuatu berasal daripada Engkau, dan daripada tangan-Mu sendirilah persembahan yang kami berikan kepada-Mu. Kami ialah pendatang dan perantau di hadapan-Mu, sama seperti semua nenek moyang kami. Hari-hari kami di bumi seperti bayang-bayang dan tidak ada harapan. Ya TUHAN, Allah kami, semua kelimpahan bahan yang kami sediakan untuk membangunkan sebuah bait bagi nama-Mu yang suci itu berasal daripada tangan-Mu juga dan segala sesuatu ialah milik-Mu.