ROMA 7:14-25
ROMA 7:14-25 BM
Kita tahu bahawa Taurat berasal daripada Roh Allah; tetapi aku ini hanya manusia yang dijual sebagai hamba kepada dosa. Aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan. Apabila aku melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginanku, hal itu bererti aku mengakui bahawa Taurat itu baik. Oleh itu sebenarnya bukan aku yang melakukan perkara-perkara itu, tetapi dosa yang menguasai diriku. Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku, ataupun dalam tabiatku sebagai manusia. Hal itu demikian kerana walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya. Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan. Jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak ingin aku lakukan, hal ini bererti bukan aku yang melakukannya, melainkan dosa yang menguasai diriku. Oleh itu aku mendapati hukum ini berlaku: Apabila aku mahu melakukan yang baik, yang jahat sahaja menjadi pilihanku. Batinku suka akan hukum daripada Allah. Tetapi aku sedar bahawa dalam diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku. Beginilah keadaanku: aku mentaati hukum Allah dengan akal budi sahaja, sedangkan tabiatku sebagai manusia mengikut hukum dosa. Alangkah malangnya aku ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan aku daripada tubuh ini yang membawa aku kepada kematian? Aku bersyukur kepada Allah; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!