YUNUS 4:1-11
YUNUS 4:1-11 BM
Yunus sama sekali tidak suka dengan perkara itu, lalu dia naik marah. Kemudian dia berdoa, “Ya TUHAN, sebelum aku berangkat dari rumahku dahulu, tidakkah aku katakan bahawa Engkau pasti akan berbuat begini? Itulah sebabnya aku berusaha seberapa daya untuk lari ke Sepanyol! Aku tahu bahawa Engkau Allah yang penyayang dan pengasih, sentiasa sabar, lemah lembut, dan selalu bersedia untuk mengubah fikiran sehingga tidak menjatuhkan hukuman. Sekarang, ya TUHAN, biarlah aku mati saja, kerana lebih baik aku mati daripada hidup.” TUHAN menjawab, “Engkau tidak mempunyai alasan untuk menjadi marah.” Kemudian Yunus pergi ke sebelah timur kota itu, dan duduk di sana. Dia membuat sebuah pondok, lalu berteduh di situ, sambil menunggu apa yang akan terjadi kepada kota Niniwe. Pada masa itu TUHAN Allah menumbuhkan sejenis tanaman yang memberikan naungan kepada Yunus sehingga dia berasa selesa. Yunus sangat suka pada tanaman itu. Tetapi pada waktu subuh keesokan harinya, atas perintah Allah seekor ulat menyerang tanaman itu sehingga layu. Setelah matahari terbit, Allah mendatangkan angin panas yang bertiup dari timur. Yunus hampir pengsan kerana terik matahari yang seakan-akan membakar kepalanya. Oleh itu dia putus asa dan ingin mati, katanya, “Lebih baik aku mati daripada hidup!” Tetapi Allah berfirman kepadanya, “Engkau tidak patut marah kerana tanaman itu!” Yunus menjawab, “Mengapa tidak? Memang aku patut marah sekali sampai mati.” Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Tanaman ini tumbuh dalam satu malam saja, dan layu pada hari berikutnya; engkau sama sekali tidak menumbuhkannya atau memeliharanya. Walaupun begitu, engkau berasa kasihan kepada tanaman ini. Aku pasti lebih kasihan kepada Niniwe, kota yang besar itu kerana di situ terdapat lebih daripada 120,000 orang anak yang tidak tahu membezakan apa yang baik dan apa yang jahat, dan juga banyak sekali binatang.”